Peluang Kedua Dr Hassan Ali Bersama PAS



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Siapa tidak kenal Dr Hassan Ali? Seorang pakar motivasi yang cukup popular pada satu ketika dahulu dan sering membuatkan penonton Hal Ehwal Islam di siaran TV1 terpaku apabila melihat keluarbiasaan dan kehebatannnya mengemudi program yang cukup mendapat sambutan selaku Pengerusi Panel Forum Perdana itu.

Dengan Akademi Keluarga Bahagia (AKRAB) yang telah berjaya mengendalikan program untuk memperkukuhkan institusi keluarga melalui program seperti Summer Camp yang menjadi rebutan para ibu bapa, Dr Hassan Ali dlihat sebagai tokoh masyarakat yang disegani.

Apabila berlakunya reformasi setelah DS Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri maka ia telah menyebabkan ramai tokoh-tokoh daripada pelbagai peringkat membuat keputusan untuk menyertai PAS termasuklah Dr Hassan Ali.

Saya masih teringat lagi paparan di muka hadapan Harakah cetak yang menyiarkan Dr Hassan menyerahkan borang keahlian kepada Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor selaku Presiden PAS pada ketika itu untuk menyertai PAS. Dr Hassan apabioa di tanya apakah tujuan beliau menyertai PAS, beliau menyatakan pada ketika itu dengan satu kata-kata yang tak mungkin saya lupakan iaitu "Saya ingin menghabiskan sisa-sisa hidup saya bersama PAS".

Sungguh indah ayat itu dan saya percaya Dr Hassan ikhlas untuk menyatakan perkara tersebut tanpa apa-apa sebab yang terselindung disebaliknya.

Dengan keikhlasan beliau untuk menghabiskan sisa-sisa hidup bersama parti Islam ini, beliau terus turun menyampaikan ceramah secara berterusan di seluruh negara sebaik saja menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas.

Saya masih ingat lagi ceramah beliau di sekitar Batu Pahat sebagai ceramah sulong beliau di Johor, beliau sebut bahawa beliau belum berhenti berceramah pada setiap malam kerana mahu bekerja keras mengajak masyarakat Melayu untuk bersama dengan PAS.

Ungkapan yang disebut antaranya,

"Imam Besar Masjid Negara pun dah masuk PAS, tak kan iman kecil di sini tak nak masuk PAS? Masuk PAS lah tuan-tuan, masuk PAS!"

Begitu bersungguh-sungguh Dr Hassan Ali sehingga tegang urat leher menggesa orang Melayu menyertai PAS. Hasilnya, di atas kesungguhan beliau dan tokoh-tokoh yang lain turun padang menyebabkan PAS menerima keahlian baru secara mendadak. Saya ditaklifkan sebagai Setiausaha PAS kawasan Kluang pada tahun 1999 dan tugas memproses keahlian sememangnya satu perkara yang cukup mencabar kerana penerimaan keahlian baru di Kluang sahaja melebihi daripada1000 borang.

Bermula dengan peristiwa bersejarah itu maka Dr Hasan diberikan pelbagai amanah yang banyak membantu kepada kecemerlangan PAS sehingga ke hari ini. Walaupun saya tahu bahawa ramai lagi yang telah berjuang seperti mana yang dilakukan oleh Dr Hassan namun peranan beliau tidak boleh kita nafikan.

Bak kata orang tua-tua, ku sangka panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan ditengahari. Begitulah yang berlaku ketika ini apabila Dr Hassan Ai dipecat daripada PAS, parti yang disertainya untuk dihabiskan sisa-sisa hidup sehingga nafas terakhirnya dihembuskan. Keputusan yang mengejutkan banyak pihak termasuklah saya telah dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai satu tindakan di atas rentetan peristiwa yang berterusan melibatkan Dr Hassan Ali seperti mana yang telah diketahui ramai.

Dr Hassan khabarnya terkejut dengan keputusan ini kerana beliau tidak menjangkakan keputusan seperti ini dikenakan terhadap beliau. Keputusan sebulat suara PAS Pusat telah diumumkan oleh Presiden dan Dr Hassan diberi tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura PAS di atas pemecatan beliau ini.

Apakah Dr Hassan Ali perlu membuat rayuan? Itu terpulang kepada Dr Hassan untuk menentukanya tetapi pada pandangan peribadi saya, Dr Hassan bertindaklah untuk mengemukakan rayuan dengan menginsafi untuk tidak mengulangi kisah duka yang lalu

Sebaga anak muda dalam PAS, saya percaya bahawa tindakan PAS Pusat ini sebagai 'wake up call kepada Dr Hassan dan kepada ahli PAS yang lain bahawa PAS adalah satu jamaah Islam yag didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik di Malaysia. Apabila kita berjamaa maka kita akan ada pemimpin dan mereka yang dipimpin. Pemimpin bertukar ganti namu jamaah ini akan terus wujud.

Kepada Dr Hassan, ambilah peluang yang diberikan untuk megemukakan rayuan, mudah-mudahan ia akan menjadi langkah yang terbaik kepada Dr untuk kembali bersama PAS dan seterusnya akan merealisasikan hasrat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup bersama Parti Islam SeMalaysia seperti mana yang Dr Hassan pernah nyatakan 12 tahun yang lalu.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
10 Januari 2012

Ulasan

  1. Mendengar penjelasan DHA bahawa beliau dipecat kerana tidak bersetuju dengan DSAI menunjukkan beliau konsisten bahawa beliau menolak pemimpin yang tidak bermoral menunjukkan kematangan dan wisdom beliau sebenar. Jika pada satu masa beliau bersama sama PAS untuk mencari keadilan utk DSAI kini beliau menjadi org yg lantang mengkritik ketua Umum PKR setelah mengetahui siapa DSAI sebenarnya. Syabas untuk pemimpin Islam yang sanggup mempertaruhkan segala2nya untuk Islam, Melayu dan Raja berdaulat walaupun beliau boleh berdiam seperti pemimpin Islam yang lain.
    Seperti diduga ramai yang gembira dengan keputusan mahkamah ke atas kemenangan DSAI...dan kelihatan DSAI gembira di atas keputusan mahkamah tersebut walaupun Beliau sebelum ini lantang menuduh badan kehakiman tidak adil. Sekiranya mahkamah di negara ini adalah tidak adil seperti yang persetujui oleh sebahagian rakyat terutamanya pembangkang maka keputusan semalam adalah sememangnya TIDAK ADIL dan sepatutnya DSAI dibicarakan di mahkamah yang paling adil mengikut pandangan DSAI dan penyokong DSAI. Salah satu ciri keadilan adal consistence terhadap keputusan tanpa mengira darjat dan pangkat. SEMOGA ALLAH MEMBERKATI MALAYSIA.

    BalasPadam
  2. Sdr Aeron Nawa,

    Pemecatan Dr Hasan Ali tidak ada kaitan dgn DSAI, apa perlunya Pas ambil keputusan utk pecat Dr Hasan Ali kerana Anwar.

    Kes Dr Hasan adalah kes yg melibatkan beliau dgn parti. Apabila kita berada dlm satu organisasi maka kita perlu ikut peraturan dlm organisasi tersebut.

    Kes Dr Hasan Ali adlh kes yang panjang, bukan sebulan dua tapi sudah lama. Jkuasa Pas mengambil pertimbangan yg sebaiknya setelah usaha utk menenangkan keadaan dibuat.

    Peranan media massa sememangnya tlh berjaya mewujudkan kepercayaan dalam fikiran masyarakat bahawa Dr Hasan saja yang berada di landasan yg benar sedangkan Pas tersasar drpd dasar perjuangannnya.

    Hakikatnya, media arus perdana yang dikuasai oleh pemerintah secara konsisten meletakkan berita yg negatif terhadap Pas selama ini dan kesempatan diambil oleh media ini di atas isu yang melibatkan Dr Hasan Ali.

    Dalam kes Anwar semalam, sememangnya mengejutkan bahawa Anwar didapati tidak bersalah kerana sepanjang dua tahun perbicaraan menunjukan bagaimana kes dibicarakan dgn terpaksa berhadapan dgn hakim yg dilihat berat sebelah.

    Ditambah lagi, isu ini dijadikan modal umno dan sekutunya dalam kempen pilihanraya kecil dan kempen2 yg lain sedangkan kes masih lagi dalam mahkamah.

    Pemimpin negara juga ramai yg menempelak himpunan 901 dengan pelbagai alasan, diantaranya pembangkang tidak mahu menerima keputusan mahkamah, mahu menghuru-harakan negara dan tidak mahu meneria hakikat tetapi apabila keputusan diterima dgn baik maka apakah itu bermakna perkara yang mereka ingin kan?

    BalasPadam

Catat Ulasan