Himpunan Hijau 2.0 Dapat Permit!

Polis benar Himpunan Hijau 2.0

2012/02/24 KUANTAN: Polis hari ini memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan Himpunan Hijau 2.0 di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 Ahad ini. Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof, berkata pihak terbabit boleh mengadakan perhimpunan berkenaan tetapi bersyarat.

"Menerusi perjumpaan dengan penganjur pada 10 pagi tadi, kami sudah menjelaskan syarat yang perlu dipatuhi. Antaranya perhimpunan itu hanya boleh bercakap mengenai perhimpunan hijau sahaja selain mereka yang hadir tidak boleh membawa senjata dan benda tajam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata tempoh untuk mengadakan perhimpunan itu hanya dibenarkan bermula pada 10 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja.

Menerusi perjumpaan itu juga, katanya, penganjur bersetuju dengan syarat yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk di sekitar Kuantan selain mengelak berlaku kesesakan.

Mengenai perubahan tempat, Mohd Jasmani berkata MPK tidak dapat memberi kebenaran untuk menggunakan padang MPK 1 berikutan pengubahsuaian padang berkenaan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia.

"Polis sudah mencadangkan tempat penganjuran diubah ke padang MPK 4, Kemunting dan telah dipersetujui oleh MPK serta penganjur," katanya.

Beliau turut menjelaskan kebenaran kepada penganjur itu bukan satu permit yang dikeluarkan polis tetapi kebenaran mengikut Akta Himpunan Aman.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata beliau akan memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar dan aman dengan mengikut lunas undang-undang.

"Kita percaya semua pihak mahu ia berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi," katanya.

Selasa lalu, 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Pahang membuat laporan polis membantah perhimpunan itu dengan alasan ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

Himpunan Hijau 2.0 bertujuan membantah operasi syarikat Lynas Advanced Material Plants yang diberikan lesen beroperasi sementara. - BERNAMA

Ulasan