KITA Sememangnya Wajar Dibubar!


Salam perjuangan,

Berita terbaru berkaitan dengan parti yang telah dipimpin oleh Datuk Zaid bin Ibrahim iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan dibubarkan adalah merupakan satu perkembangan yang dirasaikan sangat sesuai pada ketika ini kerana Kita dilihat telahpun hilang arah tuju perjuangan.

Presiden Kita, Datuk Zaid mengumumkan bahawa Kita akan dibubarkan melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) tidak lama lagi dan pembubaran itu bertujuan menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada  pembangkang terutama dengan beberapa anggota parti Kita di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

Parti Kita yang baru berusia setahun pada bulan lalu sebelum ini pernah diselubungi dengan bantahan daripada ahlinya sendiri apabila di dakwa telah berlakunya penyelewengan dalam parti sehingga ada pihak yang mendesak agar Datuk Zaid melepaskan jawatannya sebagai Presiden. Sudah tentu ia adalah sesuatu yang mengejutkan kerana Kita wujud kerana adanya Datuk Zaid tetapi akhirnya beliau pula diragui oleh anggota partinya sendiri.

KITA bergolak apabila ramai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu mengecam hebat tindakan "tidak beretika dan tidak mengikut perlembagaan" Presiden Datuk Zaid Ibrahim memecat anggota CWC. Mereka percaya bahawa tindakan memecat tiga anggota CWC iaitu setiausaha pusat Abdul Latif A Tambi, bendahari Rashid Azad Khan dan anggota CWC Muhammad Firdaus Christopher dibuat tanpa sebarang sebab kukuh dan hanya menerusi surat tidak rasmi iaitu hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Datuk Zaid Ibrahim bersedia untuk disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung penyelewengan dalam parti itu seperti yang didakwa oleh sesetengah ahli yang tidak puas hati. Beliau juga mencabar mereka yang tidak berpuas hati untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti jika yakin mereka mempunyai bilangan yang mencukupi bagi menggulingkannya.

Masalah dalaman KITA terus memuncak apabila KITA negeri Melaka dibubarkan pada 11 Januari lalu dengan 60 daripada ahli mereka memilih menyertai PKR. Bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh memberitahu bahawa tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah terkeluar daripada perjuangan asal parti. Datuk Zaid juga terpaksa menegur anggota partinya yang kerap mengeluarkan kenyataan yang mengkritik kerajaan PR di Kedah.

Mengimbas kembali detik awal penglibatan Datuk Zaid bersama KITA, beliau secara rasmi dilantik sebagai presiden baru parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) 15 Disember 2010. Bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu mengambil alih jawatan barunya daripada Zakaria Salleh dalam muktamar parti itu dan muktamar juga bersetuju AKIM ditukar namanya kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Di antara tindakan awal yang dilakukan oleh Datuk Zaid, selain daripada memperkembangkan KITA adalah dengan mengumumkan bahawa KITA adalah sebuah parti sekular kerana perlembagaan persekutuan menetapkan Malaysia sebagai negara sekular, berbeza dengan negara seperti Iran yang dipimpin oleh ketua agama.

Pada peringkat awalnya, KITA dilihat tidak berpihak kepada BN ataupun PR tetapi lebih dilihat sebagai alternatif kepada rakyat untuk membuat pilihan. Bagi Datuk Zaid, PR hanya sebuat pakatan politik yang berebut kuasa. BN pula, mengikut pandangan Datuk Zaid tidak akan mampu berubah dan akan terus bersikap autokratik dan autoritarian. Walaupun Datuk Zaid juga menyebut tentang DS Najib merupakan pemimpin Umno yang paling sesuai untuk melaksanakan perubahan progresif dan moden dalam negara namun beliau tidak akan dapat mendapat sokongan dari pelbagai lapisan ekstremis di dalam partinya sendiri.

Datuk Zaid juga telah menggesa agar PAS dan DAP meninggalkan PR pada bulan Mac tahun lalu kerana PKR pada ketika itu berdepan dengan isu video lucah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Datuk Zaid melihat sewajarnya hubungan itu perlu dikaji semula kerana sudah terlalu banyak isu integriti membabitkan Ketua Umum PKR itu dipertikaikan termasuk isu video lucah itu.

Sikapnya yang tidak mahu berpihak dicemari lagi dengan siri jelajah demokrasi KITA ke seluruh negara bagi meminta rakyat menyokong usaha Perdana Menteri menyelamatkan demokrasi di Malaysia setelah Najib mengumumkan pemansuhan undang-undang darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang berkaitan akhbar.

Sikap yang berbolak-balik Zaid telah menyebabkan hala tuju perjuangan KITA semakin keliru dan celaru. Sebab itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila KITA negeri Melaka membubarkan cawangan mereka dan mengumumkan menyertai PKR. Begitu juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh anggota KITA di Kedah dan Perlis yang mengkritik kerajaan PR Kedah seolah-olahnya mereka menentang pakatan pembangkang.

Sebab itu, saya melahirkan rasa sukacita di atas pengumuman Datuk Zaid untuk membubarkan KITA dan saya menyeru kepada anggota KITA untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang.
2 Februari 2012

Ulasan