Pemuda PAS Terima Kunjungan Pemuda Parti Kebajikan Turki

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menerima kunjungan rasmi daripada beberapa wakil pemuda Parti AK, Turki.

Menurut Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dalam pertemuan tersebut, fokus perbincangan menjurus kepada gerakan pemuda di Malaysia dan juga Turki.

"Kami banyak bertukar-tukar pandangan dan Pemuda PAS ingin tahu bagaimana AKP mendekati anak muda di sana memandangkan meraka mempunyai kira-kira 1.2 juta pemuda, lebih ramai daripada ahli PAS di Malaysia," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

AKP diketuai oleh Pengerusi Legal Youth Organization, Ismail Karaosmanoglu dan beberapa ahli yang lain.

Manakala DPPM turut disertai Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, ahli jawatankuasa Yusapisa yaakob dan Fawaz Aminudin.

Faizi juga berkata, dalam pertemuan tadi, DPPM turut menceritakan perkembangan PAS yang mendapat sokongan orang bukan Islam di Malaysia.

"Mereka agak terkejut mendengar laporan kita ini dan amat tertarik dengan penyertaan orang bukan ISlam ke dalam PAS," katanya.

Sehubungan itu ujar Faizi, AKP akan berusaha untuk menjemput DPPM berkunjung ke Turki dan melihat sendiri gerak kerja mereka di sana.

"Mereka akan menjemput pemuda ke Turki dan meneruskan perhubungan yang baik di antara kedua-dua pihak," katanya.

Tahun lalu, AKP berjaya memenangi pilihan raya Turki kali ketiga berturut-turut.

Dalam pilihanraya Turki 12 Jun, AKP memecahkan rekod pilihan raya Turki apabila menjadi satu-satunya parti politik yang menang pilihan raya tiga kali berturut-turut dengan meningkatkan peratusan undinya pada setiap kali pilihan raya.

Ulasan