Himpunan Hijau : Masa Depan PAS dan PR di Melaka Semakin Cerah



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Alhamdulillah, PAS Melaka telah berjaya merakamkan satu sejarah baru dengan kejayaan menghimpunkan lebih daripada 5 ribu para pendokong dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di seluruh negeri Melaka pada 24 Jun 2012 yang lalu.

Sudah pasti, ia bukanlah sekadar satu majlis untuk menghimpunkan rakyat namun ia lebih jauh daripada itu hasratnya iaitu untuk membuktikan bahawa PAS dan PR sudah bersedia untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Melaka daripada UMNO/BN.

Sehari sebelum Himpunan Hijau, Perdana Menteri Malaysia yang setia dengan agenda 1Malaysia telah turun padang melawat dan menziarahi rakyat di Melaka. Hadirnya PM Najib Razak ke Melaka dalam program Jelajah Janji Ditepati untuk meyakinkan rakyat bahawa segala apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan telah diberikan kepada rakyat. Dalam masa yang sama, Najib Razak mahu meletakkan kepercayaan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak melaksanakan janji-janji mereka.

Ketua Menteri Melaka sudah tentu gembira dengan perkembangan ini kerana rakyat Melaka telah berpusu-pusu hadir ke program yang dilaksanakan sepanjang sehari itu. Dalam perkiraan DS Ali Rustam, PRU akan datang Parlimen Kota Melaka dan beberapa buah DUN yang dimenangi oleh PR akan akan dispu bersih tanpa meninggalkan sebarang kesan kotoran.

Ali Rustam mungkin terbayang-bayang bahawa para penyokong PR telah bersedia untuk berpaling tadah setelah melihat betapa sesaknya Bandar Hilir dan Kota Melaka dengan kehadiran PM. Sambil tersenyum beliau menjangkakan bahawa Himpunan Hijau yang bakal diadakan pada keesokkan harinya akan berakhir dengan kegagalan kerana rakyat Melaka pasti tidak akan bersama dalam himpunan tersebut.

Namun, semuanya yang diimpikan itu hancur berkecai apabila rakyat Melaka telah memberikan satu isyarat yang cukup jelas bahawa masa untuk UMNO/BN menerajui kerajaan negeri Melaka sudah hampir kepada penghujungnya.
 
Walaupun UMNO berusaha seperti biasa untuk mengganggu ceramah dan aktiviti PAS dengan menghalakan corong pembesar suara daripada kawasan aktiviti BN yang jaraknya kira-kira 200 meter daripada tapak program Himpunan Hijau namun ia tidak pun berjaya mengganggu program himpunan ini.


Melihat sendiri perkembangan dan perhimpunan ini dengan mata, saya cukup optimis bahawa masa depan PAS dan PR cukup cerah untuk mengambil alih pemerintahan negeri Melaka. Rakyat Melaka sudah jauh lebih bijak untuk menilai yang mana kaca dan yang mana permata. 

Justeru gerakerja perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan dengan lebih baik lagi di semua peringkat.

Bermunajatlah kepada Allah agar Allah membuka hati-hati rakyat negeri Melaka untuk berani membuat perubahan pada PRU yang akan datang ini.

'Teknologi Hijau, Politik Hijau, Melaka Hijau'.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
26 Jun 2012, 9.58 pagi
.

Ulasan