KENYATAAN MEDIA : PENANGGUHAN PEMBINAAN LEBUH RAYA KOTA BAHRU – KUALA KRAI, DI MANA INTEGRITI PEMERINTAH?


Intelek Malaysia ingin memberikan pandangan terhadap penjelasan Menteri Kerja Raya Datuk Shahziman Abu Mansor di Parlimen bahawa Kerajaan Pusat tidak bercadang untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam masa terdekat biarpun telah dirancang sejak Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) lagi menunjukkan bahawa tiada integriti dalam melaksanakan pembangunan secara menyeluruh di negara ini.

Dalam jawapan kepada soalan asal yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar meminta Menteri Kerja Raya menjelaskan mengapa cadangan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai tidak dilaksanakan walaupun telah dirancang dalam RMK9, Datuk Shahziman memberi alasan skop pembinaan projek lebuh raya akan diteliti semula dan akan dilaksanakan kemudian iaitu pada tempoh RMK11 dan selanjutnya. Datuk Shahziman juga memberikan alasan bahawa anggaran kos yang tinggi iaitu sebanyak RM5.5 billion menyebabkan kerajaan pusat memutuskan supaya projek ini dilaksanakan secara berfasa.

Intelek Malaysia melihat bahawa isu pembinaan Lebuh Raya ini sebenarnya bukanlah perkara baru kerana cadangan untuk membina lebuh raya telah dikemukakan sejak Rancangan Malaysia Ke-5 masih tertangguh sehingga sekarang dengan pelbagai alasan termasuklah yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya di Parlimen baru-baru ini.  

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan negeri termasuklah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan. Dalam satu wawancara khas yang disiarkan secara langsung oleh KelantanTV pada 30 Mei yang lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Husam Musa menjelaskan bahawa Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memperuntukkan bajet bagi pembinaan lebuh raya ini. Beliau menjelaskan bahawa kontraktor telah dilantik iaitu Pandan Indah manakala tiga perunding telah dilantik oleh JKR Malaysia. Sejumlah RM 50 juta telah dibelanjakan untuk membayar  perunding-perunding ini dan kontraktor tersebut telah pun datang berunding dengan kerajaan negeri dan telah melantik subkontraktor dan jurutera perancang masing-masing. Tetapi cadangan peruntukan ini telah ditarik balik tanpa sebab yang munasabah.

Disebabkan terlalu lama menunggu dan menanti dengan penuh harapan untuk melihat pembinaan lebuh raya tersebut menjadi realiti maka kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membina sendiri lebuh raya yang dinamakan sebagai Lebuh Raya Rakyat yang mana kerajaan Kelantan telah pun mengadakan upacara pecah tanah pembinaan Lebuhraya Rakyat tanpa tol dari Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 73  Kilometer untuk manfaat rakyat dengan anggaran kos RM1.8 bilion dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan pada 28 Mei 2012 yang lalu. Langkah terakhir ini dilakukan setelah kerajaan negeri telah ‘putus harap’ dengan sikap kerajaan Pusat yang terus menganaktirikan hak rakyat di Kelantan selama ini maka tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan patut dipuji dan kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil tindakan segera untuk mempercepatkan pembinaan lebuh raya tersebut dengan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Inisiatif kerajaan negeri Kelantan sepatutnya disokong sebagai tanda integriti kerajaan Persekutuan namun ia dilihat sebaliknya oleh sebahagian daripada pemimpin kerajaan. Sebagai contohnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah membuat kenyataan bahawa beliau percaya bahawa cita-cita tersebut tidak mungkin dapat tercapai mengikut realiti semasa dan percaya bahawa ia adalah gimik politik semata-mata kerana beliau tidak percaya bahawa dengan hanya bergantung kepada dana yang dikutip daripada rakyat walaupun tempoh berpuluh tahun lagi pun tidak akan tercapai hasrat tersebut.

Sebagai Menteri yang berada di dalam kabinet, Datuk Mustapa perlu bersikap jujur dan bertanggung jawab untuk memastikan bahawa projek untuk kebaikan bersama ini diberikan sokongan yang tinggi termasuklah membawa perkara ini ke dalam mesyuarat kabinet, bukannya memperlekehkan projek tersebut jika beliau mempunyai integriti sebagai seorang Menteri.

Intelek Malaysia menegaskan bahawa pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan perlulah mengambil kira keperluan rakyat secara menyeluruh khususnya yang melibatkan kawasan luar bandar. Ini kerana berdasarkan kepada kajian trafik dan pengalaman anak-anak negeri ini, kesesakan di jalan Kota Bharu-Kuala Krai yang sedia ada sudah melampau dan kadangkala melibatkan kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa. Difahamkan, perjalanan daripada Kota Bharu ke Kuala Krai  sahaja sudah mengambil masa kira-kira 5 jam manakala dari Kota Bharu ke Kuala Krai memakan masa sehingga berbelas  jam dan ini memerlukan keprihatinan semua pihak.

Intelek Malaysia percaya masih belum terlambat bagi kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perancangan dan tanggung jawab yang telah dijanjikan sejak RMK9.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden Intelek Malaysia
14 Jun 2012

Ulasan