PAS yakin tawan Melaka

PAS yakin tawan Melaka

Muda Mohd. Noor | June 26, 2012 


 
Berdasarkan perhimpunan hijau di Melaka Ahad lalu yang dihadiri kira-kira 25, 000 orang.

PETALING JAYA: Pemuda PAS melaungkan keyakinan merampas Melaka dalam pilihan raya umum 13.

Keyakinan itu berdasarkan perhimpunan hijau di Melaka Ahad lalu yang dihadiri kira-kira 25, 000 orang, kata Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

“Sudah pasti, ia bukanlah sekadar satu majlis untuk menghimpunkan rakyat namun ia lebih jauh daripada itu hasratnya iaitu untuk membuktikan bahawa PAS dan PR sudah bersedia untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Melaka daripada Umno/BN,” kata beliau.

Beliau berkata, perhimpunan hijau PAS itu sehari sebelum Perdana Menteri Malaysia melawat Melaka.

Katanya, hadirnya Datuk Seri Najib Razak sudah tentu menggembirakan Ketua Menteri Datuk Seri Ali Rustam yang mungkin membayangkan BN akan merampas kerusi Parlimen Kota Melaka dan bebera DUN lalin.

Namun, tambah beliau semuanya yang diimpikan itu hancur berkecai apabila rakyat Melaka telah memberikan satu isyarat yang cukup jelas bahawa masa untuk Umno/BN menerajui kerajaan negeri Melaka sudah hampir kepada penghujungnya.

“Walaupun Umno berusaha seperti biasa untuk mengganggu ceramah dan aktiviti PAS dengan menghalakan corong pembesar suara daripada kawasan aktiviti BN yang jaraknya kira-kira 200 meter daripada tapak program Himpunan Hijau namun ia tidak pun berjaya mengganggu program himpunan ini.

“Melihat sendiri perkembangan dan perhimpunan ini dengan mata, saya cukup optimis bahawa masa depan PAS dan PR cukup cerah untuk mengambil alih pemerintahan negeri Melaka.

“Rakyat Melaka sudah jauh lebih bijak untuk menilai yang mana kaca dan yang mana permata,” tambah Khairul Faizi.

Ulasan