Roadshow Xpresi Hijau Anak Muda ke seluruh negara

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS akan meneruskan roadshow Xpresi Hijau Anak Muda yang dilancar di Stadium Darul Aman semalam ke seluruh negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata roadshow tersebut akan diadakan sepanjang dua bulan ini sehingga pertengahan Julai akan datang.

Bermula dari Kedah, mereka akan ke Perlis dan kemudian akan ke Johor pada 16 Jun ini.

Mengikutinya Pahang pada 17 Jun, Pulau Pinang 23, Perak 24 dan Terengganu 30 haribulan.

Untuk Julai pula, program akan dimulakan di Kelantan pada 1 haribulan kemudian Melaka 7, Selangor 14 dan Negeri Sembilan pada 15 haribulan.

Menurut Nasruddin, tarikh untuk program tersebut di Sabah dan Sarawak akan diumum pihaknya kemudian.

Kesemua tarikh-tarikh tersebut turut diumumkannya sewaktu menyampaikan pidato khas Ketua Pemuda di Stadium Darul Aman petang semalam sempena program Himpunan Hijau ke Putrajaya di sini.

Xpresi Hijau Anak Muda semalam bermula dengan konvoi 200 buah motosikal dari Masjid Perwaja, Gurun ke Alor Setar dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan dengan diiringi barisan exco.

Sejurus konvoi tiba di Stadium Darul Aman, program diteruskan dengan bacaan Ma'thurat dan solat Asar berjemaah.

Selepas itu acara pentas bermula dengan pidato oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-His.

Ia kemudian disusuli dengan pelancaran maskot dan animasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Hadi dan Huda.

Pentas kemudian menampilkan Pengerusi Ameerah Fareedah Samad menyampaikan pidato sebelum Sketsa Kopi Amal membuat persembahan.

Program kemudian diteruskan dengan pidato oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Puluhan ribu hadirin kemudian dihidangkan dengan kuliah oleh penceramah tersohor Ustaz Azhar Idrus selama 40 minit.

Acara kemuncak program Xpresi Anak Muda petang tadi adalah pidato oleh Nasruddin sendiri selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Dalam program itu juga menyaksikan buku Siapa Menganut Ajaran Sesat terbitan Dewan Pemuda PAS dilancarkan bagi menjawab tomahan Umno.

Selain itu, hadirin turut dihidangkan dengan persembahan sketsa khas oleh selebriti Bob Lokman yang sekaligus melancarkan Kopi Amal.

Ulasan