Xpresi Hijau Anak Muda Terbaik!







Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Apabila Ketua Dewan Pemuda PAS, ustaz Nasrudin memberitahu saya bahawa Muktamar Tahunan PAS pada tahun ini akan ditangguhkan ke bulan November, saya menyambut berita tersebut dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan sudah tentu gembira dengan berita tersebut. Kerana, apabila musim muktamar maka sekretariat adalah merupakan kumpulan yang paling sibuk sepanjang masa.

Maka, berkira-kiralah saya untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada persiapan pilihan raya di Kluang ataupun khususnya kepada persiapan jentera Dun Mahkota yang bakal menjelang tiba dalam masa yang tidak dipastikan lagi oleh Perdana Menteri ketika ini.

Namun, disebalik berita gembira tersebut, ustaz Nasrudin memberitahu saya bahawa PAS menggantikan muktamar tahunan tersebut dengan satu himpunan besar yang dipanggil Himpunan Hijau ke Putrajaya yang akan diadakan pada 1 Jun 2012. Secara automatik, saya di minta untuk menyelaraskan satu slot untuk anak muda pada sebelah petang.

Masya Allah, masa hanya tinggal dua minggu sahaja untuk berhadapan dengan himpunan tersebut.Ku sangkakan panas berpanjangan, rupa-rupanya hujan di tengahari, lebih kurang begitulah perasan saya pada ketika itu.

Pada asalnya, program tersebut hanya pengendalian kuliah asar oleh Ustaz Azhar Idrus namun setelah mengambil kira peluang yang terhidang maka Ketua Pemuda mencadangkan satu program yang dipanggil Ekspresi (Xpresi) Anak Muda yang mana idea tersebut KP serap dalam sebuah program yang menggunakan nama yang sama anjuran Pemuda PAS Negeri Selangor.

Secara ringkasnya, selama dua minggu sebelum berlangsungnya program tersebut, tumpuan saya kepada perkara yang lain terpaksa dikurangkan malah ada yang terpaksa ditawakufkan sementara waktu. Boleh dikatakan setiap hari perbincangan menumpu ke arah perlaksanaan program yang perlu dilaksanakan dengan gemilang dan terbilang.

Dalam masa dua minggu, kami perlu pastikan perkara-perkara berikut :-

1. Kehadiran pemuda-pemuda seramai seminima 50 ribu orang daripada seluruh negara,
2. Tema dan konsep program yang bersesuaian dengan anak muda,
3. Penyediaan T-Shirt untuk pimpinan Pemuda dan peserta konvoi,
4. Pengisian program termasuklah kehadiran Ustaz Azhar Idrus dan abang Bob Lokman,
5. Lagu tema Xpresi

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerjasama yang utuh daripada kalangan jawatankuasa adhoc khususnya Sekretariat DPPM dengan kerjasama Pemuda PAS Kedah maka program dapat dilaksanakan dengan sangat baik dan berkesan.

Walaupun, hujan turun ketika program baru sahaja bermula dengan iringan lagu tema Hijau (instrumental) namun program tidak terganggu dengan pelbagai adegan yang dirancang dan tanpa perancangan.

Terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan program Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya. 

Tahun hadapan DPPM merancang untuk menganjurkan Himpunan 50 ribu (H50K) sebagai susulan daripada H30K yang telah diadakan di Komplek PAS Kedah pada bulan Mac 2011. Saya bercadang himpunan ini akan diadakan bersempena sambutan 60 tahun DPPM dan sebagai penutup kepada sesi ini.

Wassalam

Ulasan