Hudud Bukan Agenda PR Tapi Sebahagian Daripada Islam Yang Tetap Diperjuangkan PAS Sepanjang Zaman - Ketua Pemuda

Hudud Bukan Agenda PR Tapi Sebahagian Daripada Islam Yang Tetap Diperjuangkan PAS Sepanjang Zaman - Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, hudud adalah sebahagian daripada dakwah PAS yang tidak dapat dipisahkan dari parti itu walaupun secara realitinya mereka sedar ia sukar untuk dilaksanakan di negara ini kerana iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk.

“Hudud adalah sebahagian dari Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan PAS bukan berpaksikan hudud semata - mata, sebaliknya paksi perjuangan PAS ialah Islam dan hudud itu adalah sebahagian daripadanya.Seunjuran dengan itu, ditegaskan bahawa PAS konsisten memperjuangkan Islam,” kata Nasrudin dalam kolumnya di Harakahdaily.net sebagaimana yang diterbitkan pada Selasa.

Beliau juga menulis, hudud adalah undang-undang jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah iaitu satu realiti yang tidak boleh siapa pun menafikannya.

Oleh yang demikian, ia adalah satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh sebuah pemerintahan Islam.

Sementara pemerintahan Islam itu pula adalah terbentuk dari mandat [baiah] rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut, pemerintahan Islam tidak dapat dibina dengan kukuh dan baik.

“Jika PAS menang bersendirian melalui mandat majoriti rakyat yang diterjemah melalui peti undi [melalui proses demokrasi] maka PAS pastinya akan melaksanakan malah selesa untuk melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang-undang jenayah Syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan undang-undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.

”Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk PAS menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil.

“Namun bagi memastikan hasrat perlaksanaan syariat Islam di Malaysia menjadi satu kenyataan mudah, ia memerlukan semua pengundi dari kalangan ummat Islam termasuk ahli Umno dan atas pagar mengundi PAS.

"Maksudnya, Umno perlu menyerahkan semua kerusinya kepada PAS atau paling tidak bersama menyertai PAS, dengan itu jumlah kerusi PAS atau muslim akan melonjak maksimum ke 130 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan Islam yang bersedia mendaulatkan syariat Islam yang adil saksama dan telus,” ujar beliau lagi.

Pakatan Rakyat katanya telah beberapa kali berbincang tentang perkara ini dan mereka telah "setuju untuk tidak bersetuju" atau “DAP tidak menerima hudud dan PAS tidak boleh paksa mereka untuk menerimanya sebagaimana mereka tidak boleh menghalang hasrat PAS mahu mendaulatkan syariat Islam itu.”

Kata Nasrudin, itulah pendirian Pakatan tentang hukum hudud.

Oleh yang demikian kata beliau lagi, Pakatan Rakyat melalui mesyuarat tertingginya telahpun membincangkan perkara ini.

PAS katanya mengadakan kerjasama politik dengan parti - parti pembangkang yang lain iaitu DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat bagi mendepani Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kerjasama ini adalah kerjasama politik dan bukannya kerjasama agama dan ideologi perjuangan.

“Terdapat beberapa persamaan dalam tindakan politik antara parti-parti yang berbeza ideologi ini, antaranya seperti menentang ISA, AUKU, rasuah, pembaziran, ketirisan dalam perbelanjaan dana awam, keadilan dalam sistem pengurusan dan kendalian pilihanraya dan banyak lagi,” tegasnya.

Malah beliau menjelaskan, jika mereka (PAS) idak boleh melaksanakan semua [kandungan Islam] maka laksanakanlah apa yang termampu daripada Islam itu.

“Bertolak dari kaedah ini, PAS kemukakan pendekatan baru melalui projek "Negara Berkebajikan" yang merupakan sebahagian dari ajaran Islam itu sendiri. Sebuah projek yang dikemuka kepada rakyat ke arah pembentukan sebuah negara yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa politik, penyelewengan ekonomi dan menepati piawaian " Good Governence".

"Inilah yang menjadi keutamaan PAS masa kini,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengaitkan isu hudud yang mula diperkatakan semula ini sebagai sebahagian daripada gendang yang dipalu sekuatnya oleh Umno dan melihatnya sebagai tanda-tanda pilihan raya umum semakin hampir.

“Umno terpaksa sekali lagi menggunakan peluru karatnya iaitu hudud untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat. Saya akui hudud bukan agenda Pakatan Rakyat tetapi hudud adalah sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh PAS di sepanjang zaman,” jelas Nasrudin.

Ulasan