Wednesday July 4, 2012
Lima Adun DAP Digantung Enam Bulan Daripada Sidang DUN Melaka
MELAKA: Lima anggota Dewan Undangan Negeri wakil DAP,
digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Melaka,
selama enam bulan kerana mengingkari dan menimbulkan kekecohan pada
persidangan dewan pada Rabu.
Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhamad membuat keputusan
penggantungan itu terhadap Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh
Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda
Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) berkuatkuasa hari ini.
Ia berikutan kekecohan yang ditimbulkan pada persidangan hari ini
yang bermula dengan Betty Chew, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang,
meminta Adun Duyung yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Gan
Tian Loo untuk menarik balik kenyataan yang disifatkan peribadi oleh Gan
terhadapnya.
Sejurus persidangan bermula pada kira-kira pukul 9.30 pagi, selepas
doa, ucapan aluan dan agenda persidangan yang memasuki hari ketiga hari
ini, Betty Chew bangun menyatakan bahawa tohmahan telah dibuat oleh Gan
berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya.
"Atas kenyataan Adun Duyung pada persidangan dewan pada Isnin lepas,
saya rasa beliau (Gan) melakukan fitnah dan tuduhan peribadi ke atas
saya dan suami saya. Saya meminta beliau (Gan) menarik balik tuduhan
itu," katanya.
Ia berikutan kekecohan yang ditimbulkan pada persidangan hari ini yang
bermula dengan Betty Chew, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta
Adun Duyung yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Gan Tian Loo
untuk menarik balik kenyataan yang disifatkan peribadi oleh Gan
terhadapnya.
Othman berkata beliau telah meneliti kenyataan Gan itu dan
mengganggap ia sekadar pertanyaan Gan kepada Betty Chew sama ada
mengenali individu itu.
"Ia bukan "statement" (pernyataan), ianya pertanyaan, jawapannya ya
atau tidak, kenal atau tidak, ia bukan tuduhan. Kalau tidak...nafikan,
tidak timbul fitnah," kata Othman kepada Betty Chew.
Betty Chew yang tidak berpuas hati dengan jawapan Othman, menempelak
Speaker dengan berkata: "Malu ke atas awak (shame on you) Datuk
Speaker,".
Sejurus selepas itu, dua Adun DAP, Khoo dan Lim bangun sambil
merentangkan kain pemidang tertulis perkataan dalam bahasa Cina dan
bahasa Inggeris "Shame on you Gan Tian Loo".
Beberapa Adun Barisan Nasional bangun mempertahankan Speaker dan
berteriak "Shame on Betty" sambil berkata kain pemidang itu tidak
sepatutnya dibawa masuk ke dewan persidangan.
Kedua-dua pihak berbalas cakap sebelum Speaker meminta Adun Ayer
Keroh dan Bachang meninggalkan dewan kerana membawa sepanduk tetapi
kedua-dua wakil DAP itu ingkar.
Sebaik dewan berhenti rehat dan bersidang semula pada pukul 10.10 pagi,
ketua whip Datuk Yaakub Md Amin membacakan usul supaya kelima-lima Adun
DAP itu digantung enam bulan kerana mengingkari sidang dewan.
Othman selepas itu membuat keputusan menggantung kesemu Adun DAP itu
serta menangguhkan persidangan dewan ke satu tarikh yang akan
dimaklumkan.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd
Ali Rustam berkata tindakan lima Adun DAP itu menunjukkan konspirasi
wakil pembangkang untuk mengalihkan isu apabila terpalit ke atas mereka.
"Ini semua taktik kotor DAP yang tidak demokratik, malahan mereka
bawa banner ke dalam dewan yang biasanya dilakukan semasa demonstrasi
jalan raya. Ini cara mereka sehingga membawa sepanduk ke dalam sidang
dewan," katanya yang kesal dengan cara dan tindakan pembangkang itu.
Othman ketika ditemui pemberita berkata penggantungan kelima-lima
Adun DAP itu mengikut Perkara 34.(1),(2),(3),(4) sebagaimana tatatertib
dalam persidangan dewan.
"Mereka berlaku degil arahan supaya diminta keluar dewan tetapi tidak
dipatuhi, tak mahu ikut peraturan, ingkar arahan speaker dan tidak
menghormati persidangan dewan," kata Othman.
Semalam, sewaktu persidangan hari kedua, kelima-lima Adun DAP itu
bertindak keluar daripada persidangan berhubung isu seorang wanita yang
dikaitkan dengan Lim Guan Eng.
-BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan