Thursday July 5, 2012
Wardina Tidak Akan Berlakon, Tetap Jadi Pengacara
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah
Fadlullah Wilmot tidak akan bersara daripada dunia hiburan sebaliknya
mahu mengurangkan aktivit seni dengan mencuba perkara baru dalam
hidupnya.
Wardina berkata, dia berpendapat tiada istilah bersara dalam dunia
hiburan kerana ramai selebriti mencari rezeki melalui industri tersebut
dan mengakui rindukan kepada bidang pengacaraan.
"Kalau bercakap pasal bersara sebagai pelakon itu benar kerana sudah
lama saya tidak menerima tawaran berlakon tetapi tidak bersara daripada
industri hiburan.
"Saya masih menerima tawaran pengacaraan kerana itu adalah satu
pekerjaan yang sangat saya gemari kerana saya suka bercakap dan
berkongsi idea dan akan menerima jika bersesuaian," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.
Wardina adalah pengacara program Al-Hadiyah yang disiarkan pada setiap Jumaat, pukul 1 petang di TV3.
Dalam pada itu, Wardina berkata, dia ingin mempunyai program bual
bicara sendiri jika diberi peluang suatu hari nanti dan mahu menfokuskan
kepada isu-isu semasa yang boleh memberi manfaat kepada penonton.
Wardina berkata, dia bukan memilih tetapi lebih cenderung kepada
program seumpama itu bersesuaian dengan pemikirannya yang lebih matang
dalam memperkatakan perkara lebih serius.
"Rasanya sudah tidak sesuai mengacarakan program-program yang lebih
ke arah santai dan hiburan kerana lebih cenderung dengan topik yang
lebih serius. Itu adalah minat saya," katanya.
Dalam perkembangan sama, Wardina berkata, walaupun sudah tidak begitu
aktif dalam bidang seni aktiviti hariannya padat setiap hari.
"Selain menguruskan rumah tangga dan anak-anak, saya juga banyak
terlibat dalam program-program turun padang dan sedang memberi fokus
kepada pengajian dalam bidang psikologi yang berbaki setahun lagi,"
katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai kerjasamanya dengan jenama langsir
terkenal iaitu Elyza's, Wardina memberitahu dia bersetuju berbuat
demikian kerana selain merupakan pelanggan tetap dia tertarik dengan
kualiti dan pilihan fabriknya yang pelbagai dan menarik.
"Saya sudah lama menggunakan jenama ini untuk hiasan langsir kediaman
saya dan apabila pihak Elyza's ingin menaja set langsir rumah baru
saya, ia adalah saat indah untuk saya.
"Bagaimanapun saya bukan bertindak sebagai duta jenama ini sebaliknya lebih kepada kerjasama antara dua belah pihak," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan