Laporan Polis PAS Kawasan Kluang 25 September 2012



LAPORAN POLIS

25 September 2012

Saya, Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, nombor kad pengenalan 730111-01-6625 ingin membuat satu laporan polis terhadap dua perkara seperti yang dinyatakan di bawah.

1.         Menggunakan sekolah sebagai tempat untuk berkempen politik

Baru-baru ini saya telah menerima satu salinan video format MP4 yang menunjukkan bahawa satu program sumbangan duit raya telah dibuat di salah sebuah sekolah di dalam daerah Kluang sebelum menjelangnya Idilfitri baru-baru ini.

Di dalam rakaman video ini telah memaparkan bagaimana sebuah sekolah telah digunakan oleh Pergerakan Wanita UMNO dan Skuad Sayang untuk memberikan sumbangan duit raya kepada pelajar sekolah tersebut. Mengikut maklumat yang diperolehi, program tersebut telah diadakan pada 13 Ogos 2012 iaitu beberapa hari sebelum menjelang Idilfitri pada tahun ini.

Adalah sangat memusykilkan apabila program tersebut telah diadakan pada waktu sesi persekolahan dengan mengerahkan agar guru-guru dan pelajar-pelajar hadir ke majlis tersebut sedangkan yang menganjurkannya adalah sebuah parti politik bukannya daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kluang yang telah memberikan ucapan dalam majlis tersebut telah memberikan pesanan kepada pelajar-pelajar sekolah agar memberitahu kepada ibubapa mereka agar mengundi Barisan Nasional (BN).

Ini adalah merupakan satu bentuk pencabulan kepada integriti bagi sesebuah institusi pendidikan yang mana menggunakan premis sekolah untuk tujuan berkempen politik adalah merupakan satu kesalahan lebih-lebih lagi memaksa guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah terlibat sama dan ianya diadakan pada waktu persekolahan.

Justeru saya membuat laporan polis ini adalah untuk pihak polis melakukan siasatan terhadap perkara ini sehingga sekolah telah dicemari dengan kempen parti politik untuk menghadapi pilihanraya.

(Klip Video ini tidak diserahkan semasa laporan polis dibuat tetapi berjanji akan diserahkan selepas daripada itu) 




2.         Ceramah ‘PAS Pengkhianat Islam’


Tiga hari yang lalu telah didapati beberapa helai kain rentang telah dinaikkan di beberapa lokasi di Kluang yang mana kain rentang tersebut telah mencatatkan bahawa akan berlangsungnya sebuah ceramah yang bertajuk ‘PAS Pengkhianat Islam’ yang akan diadakan pada 30 September 2012 dan dijadualkan akan diadakan di tapak pasar malam Kampung Melayu Kluang.

Menjadi tanda Tanya apabila kain rentang tersebut tidak menyatakan siapa yang menganjurkan ceramah tersebut. Adakah ceramah tersebut merupakan satu provokasi atau pun sememangnya akan berlangsung tidak dapat diketahui kerana kami tidak dapat menghubungi penganjurnya.

Menjadi persoalan juga bagaimanakah kain rentang tersebut masih boleh terus dibiarkan di lokasi-lokasinya di sekitar kawasan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sedangkan ia didapati tidak mempunyai cop kebenaran daripada MPK untuk dipasang di kawasan yang dibenarkan.

Justeru laporan polis dibuat pada hari ini untuk pihak polis menyiasat terhadap kain rentang dan ceramah tersebut yang masih belum diketahui penganjurnya. Dengan laporan polis ini juga, PAS memohon agar pihak MPK segera bertindak terhadap kain rentang tersebut sebagai satu langkah membuktikan MPK tidak berkompromi dengan pihak yang tidak bertanggung jawab.

Sekian laporan polis saya untuk tindakan tuan.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua
PAS Kawasan Kluang
Twitter : khairulfaizi73

Ulasan