11 Januari 2013
SAYA tidak menduga petikan ucapan saya di awal 80-an telah
dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam Pas yang telah melompat
masuk Umno selepasnya, telah dijadikan satu polemik.
Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah
untuk merendahkan Pas, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya
bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh Umno, mungkin kerana
menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi
peneroka Felda dan penyelewengan yang berlaku kepada Felda, riuh-rendah
pembongkaran Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan
lain-lain kelemahan kerajaan Umno-BN yang begitu menekan mereka di
hujung penggal pemerintahan ini.
Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah ke hadapan untuk menyahut
cabaran manakala mereka pula berundur 10 langkah ke belakang.
Isu “takfir” (kafir-mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di
dalam Umno, di seluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi
menyanggah kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan
seawal tahun 60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa
serangan pemikiran barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa
oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih
menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam
yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti
halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat,
politik, ekonomi dan sebagainya.
Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan
hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan.
Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’ dilabelkan
kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. Ada pula
yang berdiri di atas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan
menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang.
Sebahagian umat Islam
pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya,
tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum
murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat di zaman kita bitu
dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah
gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya di
satu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir-mengkafir dalam
masyarakat Islam.
Isu ini berlaku di seluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang
berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam
bagi mengekalkan kedudukan mereka diatas landasan yang salah dan
menjadikan parti Islam dan paraulamanya sebagai kambing hitam yang
dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya.
Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus
memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli
kerosakan akidah yang berlaku.
Ramai di kalangan ulama Pas dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara
sejak awal 60an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi
syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang
menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti: “Kalau
laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak cukup batu nak bina
jalan dan bangunan, boleh makan sup tangan bila banyak tangan dipotong
kerana mencuri” dan sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi
imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam
sepenuhnya, hanya tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja.
Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala
sistemnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan angkasa lepas.
Pas dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi
membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah
kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan
yang zalim. Di negara Arab, Mursyid Am Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan
Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim
Yang menjatuhkan hukuman).
Pas berada dalam kerajaan campuran 1970
-1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri,
menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang
merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam
adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja
membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut Umno tidak
mempelajarinya di waktu itu.
Apabila Pas ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu
kafir-mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan Pas di bawah pimpinan Datuk
Asri, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas –
Batas Iman dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada
kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan
lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.
Apabila kalangan Umno yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka
sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi
mereka, sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang
ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan
munasabah. Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982.
Saya terus menjawab: "Ya! Sebenarnya itu ucapan saya."
Maka hamba ALLAH yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya
kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis
daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej
untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak
sengaja.
Pas berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam Umno secara
langsung dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang
terbuka dengan Umno boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang
sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu
secara terbuka. Umno tidak menjawab.
Tiba-tiba Presiden Umno di masa itu memberi isyarat kepada kalangan
agama dalam Umno supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak
Umno yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak Pas, pihak Umno
melantik pengerusi dan penentuan masa.
Pas menerima dengan terbuka. Akhirnya Pas dipujuk membatalkan debat
dengan Umno, padahal Umno lah yang membuka pintunya. Akhirnya Umno
terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa
dan hari raya.
Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.
Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.
Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara dari
kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan
dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang
berlaku dalam tahun 80an dahulu.
Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam.
Maka saya nasihatkan kepada ahli Pas tidak melatah dengan permainan
kalangan Umno yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas
halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.
Firman ALLAH yang bermaksud:
"Dan hamba-hamba (ALLAH) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (al-Furqaan : 63)
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas
Firman ALLAH yang bermaksud:
"Dan hamba-hamba (ALLAH) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (al-Furqaan : 63)
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas
Ulasan
Catat Ulasan