Kempen "Earth Hour"

Earth Hour: Bandingkan kos elektrik rumah PM

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac ini bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

“Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan.

“Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac 2013 bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam di seluruh negara.

Kempen selama sejam itu akan digerakkan ke seluruh dunia dengan penyertaan sebanyak lebih 135 buah negara. Kempen ini bermula sejak tahun 2007 oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) dan ia berterusan setiap tahun sejak itu.

Kempen ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya penjimatan eletrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini. Menjimatkan eletrik bererti menjimatkan tenaga dan sekaligus akan menyelamatkan bumi ini.

Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap penggunaan eletrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa henti yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.

Dengan kos hidup yang tinggi, ditambah dengan pembaziran penggunaan eletrik yang tidak berpatutan, kempen ini memupuk sikap supaya masyarakat pada waktu-waktu tertentu perlu menghargai tenaga dengan mengurangkan penggunaannya seminimum mungkin.

Adakalanya manusia menggunakan tenaga eletrik secara berlebihan sehinggakan pada ruang dan tempat yang tidak diperlukan penggunaannya juga masih digunakan dengan pelbagai alasan. Setidak-tidaknya selama sejam bergelap mengingatkan masyarakat supaya bersyukur dengan nikmat alam yang dikurniakan Allah SWT.

Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang pengguna dapat dijimatkan. Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bernilai RM1,188 sejam (dibahagikan dengan RM10,267,868.15 untuk setahun menurut sumber Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Ini bererti sebanyak RM1188.00 dalam masa sejam dapat dijimatkan dari perbelanjaan eletrik rumah kedua-dua pemimpin tertinggi negara dan masuk ke kantung kerajaan.

Hakikatnya, dunia ini terlalu tercemar akibat pemanasan global yang boleh menyumbang kepada bencana alam akibat ketidaktentuan pada iklim.

Para saintis berpendapat suhu dunia menjadi semakin panas kerana pelepasan gas karbon dioksida yang berlebihan yang menyebabkan ia memerangkap haba.

Biasanya haba meresap dalam udara dan boleh dilepaskan ke atmosfera, tetapi dengan adanya satu lapisan karbon dioksida berlebihan, ia memerangkap haba. Sekaligus ia memberi kesan buruk kepada keadaan bumi seperti kecairan di Kutub Utara dan pergerakan ombak yang berubah yang akan memberi kesan kepada hidupan dunia.

Adalah diharapkan supaya masyarakat di seluruh negara terutama di bandar-bandar menyahut kempen ini dengan membantu bersama-sama menghidupkannya.

Ulasan