Langkau ke kandungan utama

Najib Perlukan Tambahan Masa Lagi Sebelum Bubar Parlimen

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,


Agak melucukan apabila Perdana Menteri tergamak untuk membuat perakuan bahawa beliau memerlukan masa tambahan sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum yang masih tak kunjung tiba lagi.
Apa alasan Najib? Alasannya adalaha beliau perlu buktikan kepada rakyat terlebih dulu bahawa pelan serta agenda transformasi yang dibawanya berjaya. 

Najib merasakan bahawa tempoh masa yang telah dilaluinya sebelum ini masih belum cukup dapat meyakinkan rakyat bahawa BN telah lakukan pelbagai perkara dalam masa empat tahun dan beliau mahu rakyat berikan lagi mandat kepada BN untuk membuat lebih baik dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Memang Najib cuba untuk membuat satu sketsa yang penuh dengan kelucuan. Saya katakan begitu kerana Najib seolah-olah tidak sedar bahawa tempoh sah kerajaan yang sedia ada pada ketika ini sudah sampai ke penghujungnya. Sama ada najib telah bersedia ataupun tidak untuk berhadapan dengan PRU ke 13 perlu ditempoh juga kerana tarikh akhir kerajaan yang ada ini akan tamat selepas 28 April yang akan datang ini. 

Bagi saya kelucuan yang ditimbulkan Najib ini telah meletakkan BN semakin jauh daripada pengundi. Ada ketika, Najib seperti sudah cukup bersedia untuk membubarkan Parlimen seperti mana yang telah dipertontonkan kepada rakyat pada hari terakhir Persidangan Tahunan UMNO yang lalu apabila semua perwakilan telah memberikan sokongan kepada beliau untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong. Tetapi sampai ke sudah ia tidak berlaku lagi.

Mungkin Najib tidak sedar bahawa 'grassroot' UMNO di semua peringkat telah pun menaikkan bendera BN untuk pusingan yang kedua dan mungkin juga yang ketiga. Ada bendera BN dah lusuh dan menyembah bumi kerana dipasang lebih setahun yang lalu kerana mereka percaya bahawa parlimen akan dibubarkan namun ia masih tidak mendatangkan hasil. Ada juga yang dijadikan pembungkus buah nangka.

Bagi saya, apa sebenarnya yang bermain diminda Najib sekarang ini adakah BN akan mendapat mandat lagi atau tidak daripada rakyat dan tidak timbul soal rakyat faham atau tidak transformasi yang di bawa oleh Najib.

Dalam bab ini, Najib sememangnya perlu belajar daripada Pak Lah yang dengan tenang membubarkan Parlimen walaupun tidak sampai setahun menjadi PM gantian pada tahun 2004.
Wassalam
 
-------------------------------------------------------------- 
PRU: Saya perlukan masa, kata Najib - Malaysiakini




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memerlukan masa sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang dihujani soalan berkaitan pilihan raya dalam rancangan  “Conversation with the PM” yang disiarkan di TV3 malam tadi berkata, beliau perlu membuktikan kepada rakyat terlebih dahulu bahawa pelan serta agenda transformasi yang dibawanya berjaya.

"Ya (boleh umum pilihan raya). Tetapi saya mahu berdepan dengan rakyat dan menunjukkan bahawa agenda transformasi kami sebenarnya sedang berjalan dan ini adalah kemajuan sebenar kepada negara. Inilah perubahan dan kita sedang menyampaikan. Dan rakyat boleh merasainya.

"Jadi saya perlukan masa kerana seperti yang anda tahu, apabila kita merancang sesuatu perkara, kita boleh merancang dan menyampaikan. Ia mengambil masa. Tetapi saya bersyukur yang keputusan (transformasi) adalah positif. Dan keputusan keseluruhannya menunjukkan bahawa ia mencapai di luar jangkaan kami dalam masa empat tahun.

"Mesej kami kepada rakyat ialah, kami telah lakukan pelbagai perkara dalam masa empat tahun ini.  Jika kami masih diberikan mandat, saya akan buktikan yang kami akan lakukan lebih baik dalam masa lima tahun akan datang," katanya.

Selain itu, dalam rancangan itu, Najib yang diajukan sebanyak 20 soalan berkata, rakyat Malaysia juga perlu bijak memilih serta menentukan sesebuah kerajaan pada masa akan datang.

Katanya, rakyat tidak wajar mempertaruhkan negara kepada pembangkang yang menurutnya mempunyai ideologi yang berbeza antara satu sama lain.

"Saya ingin memberitahu rakyat yang kita memerlukan kerajaan yang kuat untuk negara. Kita tidak boleh menerima ketidakstabilan dan ketidakstabilan ini yang akan menjadikan kerajaan lemah. Semua perkara yang baik telah dilakukan dan semua pencapaian yang telah kita lalui selama 50 tahun ini boleh dihakis dalam sekelip mata dan ini bukanlah untuk eksperimen.

"Ini adalah masa untuk kita semua meletakkan masa depan kepada kerajaan yang mempunyai rekod yang kukuh. Kerajaan yang mempunyai masa depan yang jelas. Kita tidak boleh memperjudikan kepada pembangkang sebab mereka tidak mempunyai platform yang kukuh serta masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza. Mereka juga tidak berdaftar dan mempunyai tiga simbol yang berbeza. Mereka juga tidak dapat menentukan siapa yang akan memimpin sekiranya mereka menjadi kerajaan.

"Jadi pesan saya kepada rakyat Malaysia, kita mempunyai masa depan yang cerah," kata Najib lagi.

Ulasan