Esok Kita Ke Padang Merbok!

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Pada pukul 11 pagi tadi saya telah diamanahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) untuk hadir dalam perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan anggotanya di pejabat Datuk Bandar KL. Pertemuan ini juga dihadiri oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi beserta beberapa anggotanya bagi membincangkan Himpunan Munajat 100K yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada 17 Ogos 2013 ini di Dataran Merdeka.

Hadir bersama saya pada ketika itu adalah sdr Yusapiza Yaakob, Penolong Setiausaha 3 DPPM dan seorang pegawai penyelidik DPPM ustaz Mohd Azmeer Moideen.

Himpunan Munajat ini tercetus apabila timbul rasa kecewa dengan tindakan ganas kerajaan kudeta Mesir yang menzalimi dan membunuh rakyat Mesir yang berdiri teguh mahu Dr Morsi dibebaskan kerana beliau adalah merupakan Presiden Mesir yang SAH dipilih melalui sistem demokrasi di sana. Kerana itu, himpunan ini tidak dirancang awal sehingga menyebabkan permohonan untuk menganjurkan himpunan ini hanya dibuat pada lewat petang semalam.

Setelah perbincangan dibuat maka kami telah bersetuju dengan cadangan daripada Datuk Bandar KL untuk memindahkan lokasi himpunan ke Padang Merbok yang terletak kira-kira 200 meter daripada cadangan lokasi asal.

Pukul 3.30 petang tadi, perbincangan lanjut diteruskan di IPK Dang Wangi bagi membincangkan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian sepanjang program ini berjalan kelak. Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Polis Daerah sendiri.

Walaupun lokasi himpunan terpaksa dipindahkan namun apa yang penting adalah penganjuran himpunan munajat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya pada hari esok dan matlamat untuk mengutuk kezaliman kudeta Mesir oleh rakyat Malaysia dapat direalisasikan bersama-sama. Penghujung himpunan ini akan disudahi dengan solat hajat dan munajat kepada Allah S.W.T agar Mesir akan kembali aman dan Dr Morsi akan dibebaskan serta diberikan semula kuasa sebagai Presiden Mesir.

Perkembangan ini juga membuktikan bahawa Pemuda PAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pihak Polis dan DBKL dalam sebarang program yang ingin dilaksanakan dan sedaya upaya akan menjaga perjalanan Himpunan Munajat ini dengan aman dan teratur.

Kehadiran Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi PAS yang telah memberikan persetujuan untuk memimpin munajat ini adalah sangat besar ertinya kepada himpunan ini. Saya dimaklumkan bahawa para pimpinan Pakatan Rakyat daripada PKR dan DAP juga telah berkmpen agar rakyat turun beramai-ramai pada hari esok. Begitu juga dengan NGO-NGO yang telah menghubungi kami untuk turut hadir bersama.

Justeru bagi menjayakan Himpunan Munajat ini maka saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan agama untuk turun bersama bagi menunjukkan soladiriti kita kepada rakyat Mesir yang berterusan dizalimi oleh kerajaan kudeta Mesir.

Mudah-mudahan munajat kita ini akan diterima oleh Allah S.W.T

Jumpa anda di Padang Merbok, terus berjuang!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
16 Ogos 2013/9 Syawal 1434
6.23 petang.

Ulasan