Wajarkah Konsert Lamb Of God Berlangsung Di Malaysia?

Wajarkah Konsert Lamb Of God Berlangsung Di Malaysia? Tarikh : Thursday, August 29 @ 21:00:00 MYT
Topik : Kenyataan Akhbar
Lamb of God wallpaper

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menerima maklumat berkaitan dengan sebuah kumpulan muzik berkonsepkan metalcore akan turun ke Malaysia pada 28 September 2013 ini. Mengikut maklumat yang diterima, kumpulan Lamb of God yang berasal daripada Amerika ini akan membuat persembahan sulong mereka di sini dan ia adalah merupakan kumpulan muzik yang membawa muzik keras dan melampau serta merosakkan masyarakat kerana imej kumpulan tersebut yang berlambangkan anti agama.
DPPM merasa sedih kerana Malaysia sudah dijangkiti penyakit hiburan keterlaluan. Dengan imej kumpulan rock tersebut sedemikian rupa, muzik yang ekstrem, lagu yang membawa mesej yang negatif, penganjurannya dibimbangi akan menjerumuskan umat Islam dengan kerosakan akhlak dan aqidah yang lebih parah.

Justeru, DPPM mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia agar menyatakan pendirian terhadap konsert ini. Sepatutnya Kementerian bertanggungjawab membudayakan masyarakat dengan aktiviti yang membina minda dan berfaedah, bukannya memburukkan lagi keadaan di negara ini. Dalam keadaan anak-anak muda yang hilang arah dan haluannya, kerajaan pula turut menyumbang dengan penganjuran konsert kumpulan rock metal seperti ini. Apa untungnya kepada masyarakat terutama kepada aqidah umat Islam serta pembangunan syakhsiyah umat Islam di negara ini?

DPPM kesal kerana pemimpin negara sanggup merosakkan masyarakat hanya semata-mata mahu memuaskan kehendak segelintir peminat yang gilakan artis-artis tertentu. Tidak cukupkah dengan kumpulan Metallica dan Linkin’ Park yang dianjurkan sebelum ini dan perlukah kesemua kumpulan rock di bawa masuk untuk memenuhi hasrat peminat di negara ini?

DPPM menegaskan sekiranya kerajaan benar-benar membela rakyat, agama dan membina generasi muda di negara ini,  kerajaan perlu bertegas tidak membenarkan artis seumpama ini diberi ruang mengadakan konsert di Malaysia. Tidak ada gunanya memenuhi hasrat segelintir peminat yang gilakan hiburan, sedangkan masyarakat umum di negara ini semakin rosak dan parah dengan penganjurannya. Banyak lagi artis yang sopan, memenuhi citarasa masyarakat Malaysia dan membawa mesej positif boleh di bawa masuk mengadakan konsert di negara ini selain artis-artis liar dan merosakkan.


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ulasan