ADAKAH PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA TIDAK SERIUS UNTUK SELESAIKAN ISU KERUGIAN PKFZ?


ADAKAH PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA TIDAK SERIUS UNTUK SELESAIKAN ISU KERUGIAN PKFZ?
Tarikh : 10 November 2013

Sehingga catatan ini dibuat, masih belum lagi kedengaran kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri Malaysia atau mana-mana pemimpin kerajaan (kecuali Menteri Belia dan Sukan sebentar tadi) terhadap keputusan mahkamah membebaskan Mantan Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang sebelum ini dituduh menipu Putrajaya berhubung urusan pembelian tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dr Ling dibebaskan pada 25 Oktober 2013 lalu apabila mahkamah mendapati beliau tidak bersalah atas dakwaan menipu dan sengaja tidak memaklumkan maklumat kepada kerajaan persekutuan dalam kes PKFZ.

Tuduhan ke atas beliau cukup berat iaitu beliau dituduh sengaja tidak mendedahkan dan menipu kabinet bahawa terdapat kadar faedah tambahan sebanyak 7.5% setahun pada harga pembelian tanah untuk projek PKFZ, sedangkan ia telah ditetapkan pada RM1,088,456,000 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berasaskan RM25 sekaki persegi, termasuk kadar faedah.

Malang lagi buat rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan kes ini sejak siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang ditubuhkan untuk menyiasat isu PKFZ apabila Peguam Negara (AG) mengambil sikap untuk tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan Dr Ling sehingga tarikh tutup rayuan telah berakhir pada 8 November 2013.

Ia semenangnya keputusan 'malang yang berbau' untuk rakyat Malaysia kerana AG dan Jabatan Peguam Negara (JPN) yang seakan tidak ambil pusing dengan salah urus dalam pentadbiran PKFZ telah menyebabkan kerajaan rugi RM12.5 bilion.

Intelek Malaysia mendesak agar AG perlu menjelaskan kenapa JPN tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah ini. Adakah kerana ianya melibatkan mantan seorang Menteri daripada Parti Pemerintah maka JPN merasakan 'redha' dengan keputusan mahkamah?

Adakah isu PKFZ ini sengaja ingin dikuburkan? Apa yang pasti, ketirisan telah berlaku dalam isu PKFZ dan ketirisan itu dilakukan oleh manusia yang tidak berintegriti dalam menjalankan amanah.

Sikap acuh tak acuh Perdana Menteri dan jamaah Menteri juga akan menebalkan lagi kepercayaan rakyat bahawa Transformasi yang dilaung-laungkan oleh PM adalah retorik semata-mata.

Rakyat sedang menunggu penjelasan Peguam Negara di atas keputusan tidak membuat rayuan dan tindakan lanjut daripada Perdana Menteri berhubung isu kerugian PKFZ ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden Intelek Malaysia
www.intelekmalaysia.org.

Ulasan