MUKTAMAR SEBAGAI MEDAN MEMPERKUKUHKAN TAHLUF SIASI PAS BERSAMA PAKATAN RAKYAT



MUKTAMAR SEBAGAI MEDAN MEMPERKUKUHKAN TAHLUF SIASI PAS BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Saya diamanahkan untuk membahas tentang perkara yang berkaitan dengan Tahluf Siasi semasa Konvensyen PAS negeri Johor yang diadakan pada hari Ahad yang lalu.

Saya telah membentangkan tentang sejarah tahluf siasi yang pernah dilalui oleh PAS Johor sejak ditubuhkan pada 19 Mac 1954. Sepanjang tempoh ini, ada kalanya PAS dilihat tidak mendapat kelebihan dan ada kalanya ia menguntungkan.

Apabila PAS menyertai Parti Perikatan selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Ini kerana kerusi Melayu UMNO di dalam Perlimen ketika itu sangat sedikit dan untuk mengekalkan kuasa Melayu PAS telah bersetuju untuk menjadi anggota baru Parti Perikatan dan seterusnya menukar nama kepada Barisan Nasional pada tahun 1974.

Dek kerana Johor adalah kubu UMNO maka PAS Johor tidak meletakkan calon dalam PRU ke 4 iaitu pada tahun 1974 di atas pemuafakatan politik pada ketika itu dan BN terus menguasai pentas politik dan Pilihan Raya di Johor. Keputusan PAS Johor untuk tidak meletakkan calon telah menyebabkan beberapa ahli PAS mengistiharkan diri bertanding sebagai calon bebas.

Apabila PAS ditendang keluar daripada BN pada tahun 1978, barulah PAS Johor kembali mengorak langkah menyertai Pilihanraya dengan bertanding menentang BN di 23 kerusi Dun dan 12 kerusi Parlimen di seluruh Johor.

Perpecahan UMNO pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Parti Melayu semangat 46 (S46) memberikan kelebihan kepada PAS secara keseluruhannya sehingga terbentuknya kerajaan APU di Kelantan yang masih utuh sehingga kini namun ia bukanlah khabar gembira untuk PAS Johor. Pilihan Raya Umum ke 10 pada tahun 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan partai pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat.

PAS Johor sekali lagi ‘mendapat nasib malang’ PAS Johor hanya dibenarkan untuk meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau, Rengit dan Benut kerana ia disebabkan keputusan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.

Walaupun peratusan sokongan kepada PAS melepasi 30% di setiap kerusi yang ditandingi namun ia telah mengurangkan pengaruh PAS di kawasan-kawasan lain di seluruh negeri Johor. PAS berterusan mengalami nasib yang sama apabila menghadapi PRU ke 9 dengan jumlah kerusi yang sedikit.

Namun, ia berbeza dengan situasi tahluf siasi apabila PAS bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN), DAP dan PRM pada tahun 1998 setelah Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Kerjasama di gabungan Barisan Alternatif ini telah memberikan ruang kepada PAS untuk bertanding lebih daripada 20 kerusi DUN dan Parlimen manakala pada tahun 2004 PAS telah meletakkan calon di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS menang satu kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan teknikal BN. PAS berjaya mendapat sokongan sebanyak 18.3% undi keseluruhannya kerusi yang telah ditandingi.

Pilihan Raya Umum kali ke 12 yang diadakan pada tahun 2008 memberikan ruang untuk PAS bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN. PAS buat pertama kalinya telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13, PAS Johor telah bertanding 30 kerusi DUN dan 7 Parlimen tetapi kali ini PAS Johor telah mendapat keputusan yang terbaik dalam sejarah PAS di Johor apabila berjaya menang 4 kerusi DUN dan meningkatkan sokongan kepada 42% daripada jumlah kerusi yang ditandingi. PAS menang di Dun Putri Wangsa dan Dun Parit Yani serta mengekalkan kerusi Dun Maharani dan Dun Sungai Abong.

Apa yang dapat saya nyatakan di sini, PAS Johor telah mendapat banyak manfaat di atas keputusan permuafakatan politik ini walaupun pada dua permuafakatan awal telah memberikan kesan negatif kepada perkembangan PAS di Johor sehingga berlakunya perpecahan di dalam PAS.

PAS kawasan Kluang memperakui bahawa Tahluf Siasi PAS telah membantu kepada peningkatan sokongan pengundi kepada PAS di Dun Mahkota, Kluang. PAS Kluang telah mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah penubuhan PAS selama 30 tahun. Bermula dengan pengalaman 'hilang deposit' pada tahun 1986 sehinggalah mencatatkan sokongan 48.5% pengundi di Dun Mahkota.

Tahun
PRU
PAS
BN
Majoriti
Peratus
2004
Kali ke 11
4,107
19,045
14,938
17.7 %
2008
Kali ke 12
9,009
17,489
8,480
34.0%
2013
Kali ke 13
18,323
19,431
1,108
48.5%

Apa yang perlu ketika ini adalah penegasan terhadap Tahluf Siasi yang telah dibina sejak tahun 2008 itu diperkuatkan dan diperbaiki segala bentuk kelemahan. Diperakui bahawa terdapat beberapa kelemahan yang berlaku seperti pertindahan kerusi di beberapa tempat tetapi ia bukanlah satu perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung pada 22 – 24 November 2013 yang akan datang ini di Shah Alam adalah medan terbaik untuk PAS secara keseluruhannya memperhalusi segala bentuk kelemahan yang wujud sepanjang permuafakatan politik ini, mudah-mudahan pergabungan di dalam Pakatan Rakyat akan menjadi lebih utuh untuk menumbangkan BN dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan berkebajikan untuk rakyat Malaysia.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
8 November 2013.

Ulasan