BAHAGIAN PERTAMA : PENGENALAN - PENTINGNYA MEMPERKEMAS DAN MEMPERKASA PENGURUSAN ORGANISASI DALAM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

BAHAGIAN PERTAMA : PENGENALAN - PENTINGNYA MEMPERKEMAS DAN MEMPERKASA PENGURUSAN ORGANISASI DALAM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Aspek yang penting dalam sesebuah organisasi adalah pengurusan. Kepentingan di dalam menguruskan organisasi bagi mencapai sesuatu kejayaan telah dibuktikan dalam sejarah Islam sejak dari awal lagi tanpa menafikan bahawa faktor pertolongan daripada Allah S.W.T. Tanpa pengurusan yang teratur, cekap dan berstrategik akan menyebabkan sesuatu perancangan itu sukar untuk dicapai kerana Allah lebih menyukai mereka yang berjuang dengan bersistematik, bertepatan dengan FirmanNya dalam Surah As-Saff ayat ke 4;

“Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang pada jalanNya dalam Saff yang tersusun seperti sebuah bangunan yang kukuh”

Islam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber primer atau sumber utama rujukan dalam aspek pengurusan Islam. Al-Quran merupakan kitab Allah yang mengandungi ajaran yang syumul untuk kemashlahatan seluruh umat manusia.  Terdapat ayat-ayat dan peraturan yang berkaitan dengan tatacara kehidupan bermasyarakat yang meliputi pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial dan pendidikan termasuklah pengurusan.

Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang bukan sahaja model akhlak yang terbaik bagi umat seluruh alam malah Baginda juga merupakan contoh arkitek, pentadbir, pemimpin dan ahli strategis yang cukup unggul kerana kerana sikap, sifat atau tingkah lakunya yang berakhlak mulia yang harus dicontohi serta mempunyai hati yang suci murni. 


Sejarah Islam telah membuktikan bahawa Islam mempunyai contoh pengurusan yang berkesan sepanjang zaman pemerintahannya sejak dari awal lagi yang bermula sejak zaman Khalifah Ar-Rasyidin selama 29 tahun dengan penuh perubahan serta kemajuan kepada wilayah-wilayah Islam dibawah pimpinan mereka seperti kejayaan Saidina Abu Bakar mengirim tentera ke Qudha‘ah dan Abna di Syria serta pengurusan mempertahankan Madinah daripada ancaman Parsi dan Rom Timur. 

Begitu juga dengan Saidina Umar Al-Khattab effisien dan dianggap mendahului zamannya.  Di antaranya, Saidina Umar telah mewujudkan baru untuk golongan Dzimmi iaitu dengan mengadakan cukai tanah dan jizyah.  Begitu juga dengan polisi pentadbiran Umar yang telah menyusun semula pentadbiran tanah yang dikuasai oleh tentera. Saidina Umar juga telah menyusun semula pentadbiran Majlis Syura, mengitiharkan kalender mengikut tahun dan menubuhkan jabatan bagi melicinkan pentadbiran Negara seperti Diwan al-Jund dan Diwan al-Kharaj.

Pada zaman Saidina Uthman bin Affan selama 12 tahun, beliau banyak melakukan perluasan kuasa dan berjaya menakluki Cyprus, Afghanistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Pada zaman ini jugalah, Al-Quran telah dibukukan.

Khulafa ar-Rasyidin yang terakhir ialah Saidina Ali bin Abi Talib.  Antara kepimpinan beliau ialah menubuhkan pasukan tentera berjalan kaki.  Ciri pengurusan kepimpinan khulafa ar-Rasyidin amatlah sesuai dijadikan sebagai aras panduan dan contoh kepimpinan kita.

Terdapat banyak kitab yang ditulis oleh ilmuan Islam berkaitan dengan ilmu pentadbiran dan kepimpinan.  Antaranya ialah Ibnu Khaldun dengan kitabnya Muqadimmah menjelaskan perihal mendalam tentang falsafah sejarah, sains sosial dalam sosiologi, demografi dan ekonomi.  Abu Yusuf membicarakan tentang pemikiran ekonomi Islam dalam Kitab al-Kharaj dan Al-Mawardi telah menulis kitab Al-Ahkam as-Sultaniyyah berkaitan dengan proses kerja kerajaan Islam dan teori keberkesanan sistem pengurusan kerajaan Islam.

Kerana itu, PAS wajar memberikan perhatian terhadap pengurusan di semua peringkat tanpa ada yang terkecuali. Bertepatan dengan peringatan Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi bin Awang di dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS yang ke 59 di Shah Alam yang mana Presiden PAS telah menggariskan 10 ARAHAN untuk tindakan bersama dan terdapat duanya berkaitan dengan PENGURUSAN. Arahan Presiden PAS Kepada Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan agar perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Keduanya, penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Ketiganya, perlu kukuhkan organisasi parti dengan berbagai ilmu pengurusan

Seterusnya, Tuan Guru Presiden mengarahkan agar PAS di peringkat Kawasan dan PAS Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas yang dan dipantau oleh pimpinan negeri dan mesyuarat mesti bersistem dan berkala.

Maklumat berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran perlu disampaikan secara berterusan kepada pimpinan PAS di semua peringkat khususnya yang terlibat dengan pentadbiran dan pengurusan. Sektor Pengurusan Organisasi PAS Pusat sedang menyedia dan menyiapkan Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS dalam masa terdekat dan dijangka akan dilancarkan pada bukan Mei yang akan datang ini. 

Berusahalah untuk mewujudkan suasana harmoni dalam melaksanakan tugas kita ini untuk mentauhidkan Allah S.W.T dan mewujudkan sikap bekerjasama dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.  Kerjasama hendaklah diberikan oleh kedua-dua pihak, pihak yang memimpin dan pihak yang dipimpin.

Wassalam

Disediakan oleh :

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pengurusan Organisasi


Ulasan