BAHAGIAN
KETIGA : MENGADAPTASI TEORI PENGURUSAN KE DALAM PENTADBIRAN PAS.
Assalamu’alaikum dan salam
perjuangan,
Dalam ilmu Pengurusan, kita akan
didedahkan dengan teori pengurusan yang melibatkan teori daripada pelbagai ahli
falsafah dan pakar pengurusan sejak tahun 1770an sehinggalah ke peringkat teori
terkini yang digunakan oleh pelbagai sektor. Teori-teori ini terhasil daripada
pelbagai sebab yang akan dinyatakan nanti.
Secara ringkasnya, teori-teori ini ada
di antaranya pun telah kita aplikasikan dalam sistem pentadbiran kita pada
ketika ini. Akan dinyatakan sebab-sebab teori pengurusan ini perlu
diperjelaskan kepada penggerak organisasi PAS di setiap peringkat.
Sejarah awal teori pengurusan telah
dipelopori oleh Robert Owen dan Charles Babage sekitar tahun 1771 – 1871. Robert Owen menyatakan bahawa pekerja
merupakan sumber daya pengurusan yang signifikan. Owen percaya bahawa
pengurusan yang memperbaiki keadaan persekitaran kerja atau pelaburan pada
sumber daya manusia dapat meningkatkan output dan keuntungan.
Konsep
yang dipelopor oleh Charles Babbage pula membabitkan pembahagian kerja di mana
beliau meyakini bahawa pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama secara
berulang-ulang akan semakin terampil dan semakin efisien.
Konsep Pendekatan Klasik (1880 – 1927) pula berlaku akibat daripada
perkembangan revolusi industri pada pertengahan kurun ke 19. Isu yang
berbangkit pada ketika ini adalah masalah yang dihadapi oleh para pengurus
syarikat untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Apa yang ingin dicapai
adalah organisasi menjadi cekap sehingga menghasilkan pengeluaran yang tinggi
dan kejayaan organisasi. Disamping itu juga, pengurusan mencari kaedah bagaimana
menjadikan organisasi menjadi cekap.
Dalam
dunia Sains Pengurusan, Federick W. Taylor cukup dikenali dan beliau digelar
sebagai “Bapa Pengurusan Saintifik”. Taylor memulakan kajian secara saintifik
terhadap pergerakan pekerja dalam industri melebur besi. Beliau telah membuat
pemilihan terhadap pekerja yang mempunyai keupayaan sebenar, memberikan pekerja
latihan dan insentif untuk melaksanakan kerja dengan kaedah kerja yang tepat.
Taylor juga memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah
memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui
konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak
memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan dari sistem
kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu . Taylor
turut memperkenalkan sistem waktu rehat berjadual bagi membantu mengurangkan
kepenatan bekerja.
Secara keseluruhannya,
Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik yang melibatkan perkara
seperti penentuan pergerakan, pengkhususan kerja, perancangan dan penjadualan
rapi, pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi dan yang terakhirnya
insentif upah. Pandangan Taylor tentang
memotivasikan pekerja melalui perkara-perkara seperti dinyatakan tadi digunakan
oleh kita pada hari ini.
Teori
Klasikal telah mengenalpasti pengurusan sebagai elemen penting dalam masyarakat
terancang dan menjadi begitu penting dalam dunia yang global. Pendekatan
Klasikal telah mengenal pasti fungsi utama pengurusan iaitu perancangan,
pengorganisasian, pengarahan, penyelarasan dan pengawalan.
Bagaimanapun
fungsi pengurusan bergantung kepada keupayaan dan kemahiran seseorang pengurus.
Pendekatan
Klasikal juga telah memberi sumbangan kepada teknik-teknik pengurusan seperti
analisis pergerakan dan masa, kemudahan kerja, sistem upah, jadual pengeluaran,
pengujian personel dan belanjawan.
Ada juga Teori
Pengurusan yang mengambil pendekatan melalui tingkahlaku yang mana Pengurus yang
inginkan kejayaan perlu memahami tentang manusia, iaitu pekerja & berusaha
menyesuaikan organisasi dengan manusia. Di
antaranya, Elton Mayo dan kesan Hawthorne dalam kajian dilakukan di Hawthorne
Works of The Western Electric Company oleh Elton Mayo dan rakannya dari Universiti
Harvard. Begitu juga dengan Elton Mayo dengan teorinya sentuhan kemanusiaan itu
penting dalam mewujudkan produktiviti yang tinggi, Hugo Munsterberg yang
mencipta lapangan psikologi industri iaitu kajian saintifik individu ditempat
kerja dalam usaha untuk memaksimakan produktiviti dan untuk sebarang perubahan.
Mary Parker Follett, salah seorang ahli falsafah dalam bidang pengurusan
dalam Teori
Organisasi Klasik melalui pendekatan
Pergerakan Hubungan Manusia menyatakan organisasi patut dilihat dari perspektif gelagat manusia secara individu
dan berkumpulan.
Apabila
zaman berubah maka pendekatan teori pengurusan juga terdapat perubahan pada
bahagian-bahagian tertentu. Contohnya, Tom Peters telah memberikan teori dan
pendekatan terhadap mengurus kekaburan dan paradoks. Tom Peters menyatakan
bahawa menguruskan organisasi perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan
ketidaktentuan pasaran, keberanian mencuba tanpa memikirkan kepada kegagalan
dan perlu menghampiri dengan pelanggan.
Tokoh pengurusan moden yang popular masa
kini adalah seperti Abraham Maslow, Chris Argyris, D. Mc. Gregor, Edgar Schein,
D. Mc. Cleland, R. Blake & J. Mouton, Ernest Dale dan Peter Drucker. Begitu
juga dengan Douglas Mc Gregor dengan Teori X & Y, William Ouchi dengan
Teori Z dan Michael Porter dengan memberikan lima kekuatan persaingan utama.
Begitulah gambaran serba sedikit
perkembangan Sains Pengurusan yang perlu diketahui perkembangannya. Saya akan
menyentuh berkaitan dengan sistem pengurusan Islam pada bahagian yang akan
datang. Justeru apa pentingnya bagi kita untuk membaca dan memahami teori-teori
pengurusan ini?.
Saya berpandangan terdapat 4 perkara yang
penting ingin disampaikan dalam penulisan ini berkaitan dengan Teori Pengurusan.
1. Teori
terhasil daripada pengalaman, pengamatan, kajian dan pemerhatian. Pengurusan
PAS walaupun mengaplikasikan pelbagai teori pengurusan di dalam pentadbiran
namun perlu juga kita menggunakan segala pengalaman yang telah dilalui selama
ini untuk menjadi ‘guide’ kepada gerakerja pengurusan dalam organisasi kita.
Walaupun secara umumnya pengurusan PAS di
peringkat cawangan-cawangan sebagai contohnya, tidak jauh bezanya di antara
satu cawangan dengan cawangan yang lain namun waqi’ cawangan mempunyai
perbezaannya. Oleh itu, dalam menguruskan organisasi kita, keperluan untuk
melihat keadaan setempat wajar diberikan perhatian. Ingat, berdepan dengan
jawatan kuasa yang terdiri daripada golongan professional tidak sama dengan
situasi mengendalikan cawangan yang didokongi oleh golongan petani (contoh).
2. Perkara
yang penting dalam teori pengurusan adalah output daripada produktiviti. Apakah
output yang menjadikan produktiviti kita berjaya mencapai sasaran? Andai output
tidak sampai sasaran maka apa tindakan yang perlu dilakukan oleh pengurusan
parti? Atau kita merasakan sudah cukup dengan hasil yang ada atau pun kita
sememangnya tidak menghiraukan apa yang sepatutnya dicapai.
3. Evolusi
Teori Pengurusan berterusan sepanjang zaman dan sentiasa ada penambahbaikan
mengikut zamannya. Sebab itu, ilmu pengurusan perlu disegarkan pada setiap sesi
dan sebaik-baiknya apabila sesi baru bermula. Kursus pengurusan organisasi
wajib dilaksanakan agar organisasi PAS dapat ditadbir dengan sebaiknya. Dunia
ketika ini dihubungkan dengan pelbagai aplikasi seperti Facebook dan Whatsapp,
tidak sama seperti mana pengurusan PAS 20 tahun lalu yang tidak kenal dengan
SMS pun lagi.
4. Adaptasi
sistem yang baik untuk menambah baik sistem pengurusan yang sedia ada. Bengkel
pengurusan diadakan untuk memastikan setiap pengurusan PAS Cawangan dan Kawasan
didedahkan dengan sistem pengurusan yang terkini dan ianya selari dengan
kehendak di peringkat yang lebih tinggi. Aplikasi SISPRO, SSDP dan SPOKAS yang
telah disediakan oleh Jabatan ICT perlu difahami dan digunapakai dalam
pentadbiran PAS di semua peringkat.
Oleh itu, proses penambahbaikan terhadap
pengurusan PAS dengan penggunakan pelbagai konsep pengurusan perlulah
dilaksanakan mengikut arus masa kini. Sekretariat PAS Pusat akan cuba untuk
membantu merealiasikan harapan ini dengan bantuan daripada Lajnah Pemerkasaan
Parti dan Jabatan ICT PAS.
Sekian,
wassalam.
Khairul
Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong
Setiausaha Agung PAS
Sektor
Pemerkasaan Organisasi.
Ulasan
Catat Ulasan