BAHAGIAN KE 13 : PENGURUSAN KRISIS DALAM BERORGANISASI


BAHAGIAN KETIGABELAS : PENGURUSAN KRISIS DALAM BERORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Dalam bahagian yang kelima, saya telah jelaskan berkaitan dengan perbezaan di antara konflik dan krisis serta kesan positif dan negatif apabila berlaku konflik dan krisis di dalam organisasi termasuk PAS dengan tajuk Menangani Konflik dan Krisis Dalam Berorganisasi. Ia diterangkan secara umum dengan beberapa contoh yang mudah seperti konflik di peringkat PAS cawangan yang berlaku akibat daripada kecenderungan yang berbeza di antara Ahli Jawatankuasa Kerja PAS cawangan tersebut.

Di penghujung tulisan tersebut saya telah nyatakan betapa perlunya penggerak organisasi termasuk penggerak PAS di semua peringkat didedahkan dengan ilmu Pengurusan Krisis (Crisis Management) iaitu satu kaedah yang sistematik dan tersusun untuk mengenalpasti dan menangani kejadian kecemasan yang berlaku atau mungkin akan berlaku dalam sesuatu krisis. Pengurusan krisis yang cekap dan mantap akan membantu mengurangkan kerosakan pada imej organisasi dan mampu memulihkan keadaan balik ke asal dalam tempoh masa yang singkat.

PAS dan Konflik Dalaman Parti

PAS telah melalui tempoh perjuangan yang agak panjang masanya iaitu telah masuk ke usia 63 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951. PAS adalah parti kedua tertua selepas UMNO walaupun UMNO hakikatnya telah diharamkan pada tahun 1988 akibat pertembungan sesama sendiri. Sejak PAS ditubuhkan, telah berlaku konflik dan krisis sehingga menyebabkan tertubuhkan parti politik yang lain seperti HAMIM, BERJASA malah PAS pernah menghadapi krisis sehingga Naib Presiden istihar keluar daripada PAS dan menyertai UMNO, Naib Presiden dipecat daripada PAS dan pelbagai lagi episod duka namun PAS tetap kekal sehingga kini.

Namun pepatah Melayu ada menyebut bahawa Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah. Itulah yang mungkin sedang PAS melalui pada ketika ini iaitu konflik dalaman yang perlu diselesaikan dengan segera. Tidak dapat tidak, konflik yang berpanjangan akan menimbulkan krisis dan sekiranya ia tidak ditangani dengan segera maka kebimbangannya akan membawa kepada perpecahan yang merugikan banyak pihak.

Sekiranya berlaku krisis di dalam organisasi, asas yang perlu dibentuk adalah dengan mewujudkan Pengendalian Komunikasi Krisis iaitu enakmen kawalan dalam menghadapi keadaan ketidakpastian yang tinggi dalam usaha untuk memenangi hati khalayak luaran iaitu masyarakat umum. Ia sebagai langkah untuk meredakan kerunsingan dan kekeliruan masyarakat kepada konflik yang berlaku. Perlu jelas siapa yang perlu diberikan penerangan, siapa yang dilantik jurucakap rasmi organisasi, bagaimana peraturan mengendalikan media termasuk media maya dan impak terhadap kenyataan media yang dibuat. Seterusnya, penilaian terhadap tindakan yang diambil pada waktu krisis dan selepas waktu krisis perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

Peranan dalam Pengurusan Krisis

Kita juga perlu memahami tahap krisis yang berlaku. Menurut tokoh dan pelopor Pengurusan Krisis, Dr Steven Fink bahawa terhadap empat tahap berlakunya krisis. Tahap yang pertama adalah tahap amaran, tahap kedua adalah tahap krisis serta-merta di mana berlakunya sedikit kerosakan. Tahap ketiga adalah tahap krisis kronik dan tahap keempat adalah tahap pemulihan.

Ketua Penerangan ataupun mereka yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Aawm (PRO) berperanan dalam Pengurusan Krisis untuk membentuk mesej yang difahami, mudah dan tepat. Perlu juga untuk memaklumkan situasi sebenar tentang krisis dari semasa ke semasa. Walaupun organisasi telah mempunyai penjawat jawatan rasmi sebagai juru bicara namun adalah wajar untuk melantik juru bicara yang mempunyai autoriti, kewibawaan dan dipercayai ramai dalam kes tertentu agar mesej yang ingin disampaikan akan diterima dengan sebaiknya.

Elakkan mereka yang terlibat di dalam kepimpinan organisasi membuat kenyataan dalam apa jua bentuk yang menjurus kepada isu yang menimbulkan konflik mengeluarkan kenyataan peribadi. Walaupun ia adalah pandangan individu namun ia akan di ambil kira sebagai kenyataan daripada wakil organisasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam kecanggihan teknologi penyampaian maklumat yang cukup laju seperti facebook, WhatsApp dan Twitter yang kadang-kadang lebih laju penyampaian maklumat daripada media rasmi organisasi maka khabar angin dan maklumat palsu adalah cukup cepat sampai kepada masyarakat.

Kerana kecanggihan teknologi maklumat masa kini maka kita perlu menyampaikan maklumat dengan pantas dan tepat lebih-lebih lagi pada waktu yang ditetapkan. Berita hari ini jangan di bawa ke esok hari kerana sebelum ia dimaklumkan kepada umum, pelbagai spekulasi, persepsi dan andaian telah disebarkan kepada umum sehingga konflik akan menjadi parah dan membarahi fikiran masyarakat.

Adalah lebih baik agar sidang media diadakan selepas mesyuarat mengenai konflik atau krisis tersebut dibincangkan. PRO mestilah bersikap terbuka dengan pelbagai persoalan yang diajukan oleh wartawan dan memberikan penjelasan dengan sebaik mungkin untuk mereka melaporkan maklumat terkini dengan tepat dan betul.

Langkah-langkah Menghadapi Krisis

Apabila sesuatu krisis berlaku di dalam organisasi maka langkah-langkah menghadapi krisis perlu dilaksanakan. Pertamanya, perlu dapatkan situasi terkawal dengan mengenalpasti pernyataan masalah dan mengatur strategi komunikasi. Keduanya, mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin bagi memahami masalah yang sebenar dihadapi oleh organisasi. Ketiganya, membentuk pusat pengurusan krisis sama ada pusat pengurusan krisis itu dibentuk daripada kalangan mereka yang berada di dalam kepimpinan organisasi ataupun daripada pihak luar yang dilihat mampu melaksanakan tugas tersebut. Keempatnya, berkomunikasi dengan cepat, pantas dan berkesan serta berkomunikasi secara terus dengan massa. Kelimanya, fokus kepada gerakerja organisasi kerana perhatian yang terlalu dipusatkan kepada menangani krisis akan menyebabkan organisasi terjejas.

Punca-Punca Kegagalan Menghadapi Krisis

Terdapat punca sesuatu organisasi gagal mengatasi konflik dan krisis mereka sehingga berlakunya perpecahan. Di antaranya adalah disebabkan ketua yang kurang berwibawa menangani krisis yang berlaku. Adalah sangat penting seorang Ketua atau Pengurus atau Pengerusi atau atas apa jua namanya pun mesti meletakkan kepentingan menyelesaikan konflik atau krisis sebagai kepentingan utama. Keduanya, tidak wujudnya kerjasama di antara Ketua dengan jawatankuasanya. Arahan ketua tidak diendahkan oleh AJK malah AJK bertindak memboikot, mengkritik dan menolak cadangan ketua. Jika ini terjadi maka konflik akan berterusan tanpa jalan penyelesaian. Ketiganya, media tidak diuruskan dengan baik sehingga keperluan media tidak dipenuhi dengan sebaiknya. Kenyataan media yang terlalu ringkas, terawang-awang, kabur dan tanpa maklumat jelas akan menyebabkan pelbagai persepsi timbul. Keempatnya, organisasi tidak dibekalkan dengan ilmu Pengurusan Krisis. Kelimanya, individu dalam organisasi tidak jelas dengan hala tuju organisasi. Individu yang dimaksudkan di sini termasuklah kepimpinan dan ahli organisasi tersebut.

Penutup : Pengajaran Daripada Kisah Titanic

Saya pasti ramai yang mengetahui tentang kisah tenggelamnya kapal Titanic yang telah tengelam pada 15 April 1912. Masyarakat dunia diberitahu pada masa itu bahawa Titanic adalah kapal yang gagah dan kukuh namun akhirnya tenggelam dalam keangkuhannya bersama kapten dan 1,513 penumpang yang malang seperti mana yang ditayangkan melalui sebuah filem bertajuk Titanic lakonan Leonardo De Caprio pada akhir tahun 1997.

Titanic yang kukuh telah tenggelam akibat tiga kesilapan utama iaitu terlalu percaya kepada kekebalan bahawa ia tidak akan tenggelam dalam apa jua keadaan. Kapten Ernest Smith sedikit pun tidak bimbang walaupun telah mendapat laporan bahawa Titanic telah melanggar tepi aisberg yang tajam sedangkan akibat daripada perlanggaran itu air daripada Lautan Atlantik mencurah masuk ke dalam kapal melalui rekahan sepanjang 300 kaki di bahagian plat kapal.

Keduanya, kapten dan anak buahnya tidak mengambil kira tentang ancaman daripada persekitaran. Titanic terus bergerak laju dengan kelajuan 22 knots sejam melalui kawasan aisberg walaupun telah diberi makluman melalui isyarat wayarles. Begitu juga dengan persiapan bot penyelamat yang hanya mampu menampung seramai 1,250 orang sahaja sedangkan jumlah penumpang pada masa itu adalah seramai 2,300 orang.

Ketiganya, krew dan anak kapal Titanic tidak membuat apa-apa tindakan selepas 25 minit berlakunya perlanggaran pada pukul 11.40 malam. Arahan untuk menurunkan bot penyelamat hanya dibuat pada pukul 12.05 malam ketika kapal sudah mula tenggelam.

Faktor terlalu percaya kepada kekebalan, mengambil ringan terhadap ancaman dan faktor lambat mengambil tindakan perlu dielakkan dalam menangani konflik dan krisis termasuklah apa yang berlaku di dalam PAS pada ketika ini. Apa jua konflik dan krisis perlu ditangani dengan segera dan cermat. Isu-isu yang berlaku tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu sahaja dan ianya perlu ditangani dengan kadar sesegera yang mungkin.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Sektor Pemerkasaan Organisasi.



Ulasan