WAWANCARA BERSAMA HARAKAH
HARAKAH : BAgaimana PAS mendepani pengurusan konflik yang berlaku sejak dahulu hingga ke hari ini?
Jawapan : Sebagai di antara sebuah organisasi
politik yang tertua di Malaysia, sudah pasti PAS telah menempuh
pelbagai konflik dan krisis di dalam sejarahnya. Konflik bukanlah
sesuatu yang negatif sekiranya ia dapat diurus dengan baik namun
seandainya konflik di dalam organisasi tidak diuruskan maka ia akan
menjadi krisis dan seterusnya membawa kepada pepecahan.
PAS telah berjaya melalui konflik dan krisis dalaman parti dengan baik
selama 63 tahun ini. Sehingga kini, belum ada konflik atau krisis yang
menyebabkan PAS berpecah sehingga membawa PAS kepada khancuran. Memang
benar krisis dalam PAS telah menyebabkan terbentuknya parti politik baru
seperti HAMIM dan BERJASA tetapi PAS masih terus utuh di persada
politik negara.
PAS meletakkan rujukannya Al-Quran, Hadith, Ijma'
Ulamak dan Qias sebagai panduan dalam menghadapi konflik dalaman parti.
Konflik dan krisis dalaman parti diselesaikan di dalam musyawarah yang
dibincangkan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Jika sesuatu isu itu
tidak dapat diselesaikan maka ia akan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak
(MSU) ataupun Lembaga Disiplin PAS berpndukan kepada isu yang
berkaitan.
Namun, tidak dinafikan bahawa PAS terpaksa berdepan
dengan krisis yang pelbagai akhir-akhir ini. Oleh kerana itu, PAS telah
membentuk jawatankuasa Pengurusan Krisis yang dipengerusikan oleh Haji
Salahudin Ayub.
HARAKAH : Apakah tindakan yang di ambil pemimpin-pemimpin PAS dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti?
Jawapan : Sebagai 'orang baru' dalam kepimpinan PAS Pusat, saya melihat
bahawa isu yang berlaku berkaitan dengan masalah dalaman parti bukanlah
isu besar sekiranya ia diurus dengan baik. Bukan masanya lagi untuk
'sweep under carpet' sebarang konflik yang berlaku.
Kerana itu,
tindakan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis adalah merupakan satu
tindakan yang tepat pada masanya. Isu yang berlegar dalam parti wajar
diuruskan oleh satu komiti yang memberikan fokus terhadap apa jua isu
yang berbangkit.
Perbincangan tentang konflik dalaman secara
terperinci bukan lagi perkara yang menjadi prioriti dilaksanakan dalam
mesyuarat PAS Pusat tetapi ia mestilah diperhalusi, diteliti dan dinilai
dengan sebaiknya. Jawatankuasa pengurusan konflik berperanan untuk
melaporkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk tindakan seterusnya sama
ada membuat keputusan ataupun menyerahkannnya kepada MSU atau
Jawatankuasa Disiplin PAS.
Perkembangan ini saya lihat sebagai
sesuatu yang positif dan mampu untuk mengatasi konflik dan krisis yang
berlaku dan seterusnya dapat memacu PAS lebih gemilang pada masa
hadapan.
HARAKAH : Bagaimana PAS mendepani pengurusan isu dengan pelbagai pandangan pemimpin-pemimpinnya?
Jawapan : Sebahagian daripada konflik dilihat berpunca daripada
kenyataan yang dikeluarkan oleh AJK PAS Pusat. Ada ketikanya, terdapat
kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang bukan berautoriti untuk
bercakap mengenainya.
Dalam retreat PAS Pusat baru-baru ini,
perkara ini telah dibincangkan dan setiap AJK PAS Pusat tidak mempunyai
halangan untuk membuat kenyataan yang berkaitan dengan aktiviti lajnah
atau jabatan yang mereka ketuai.
HARAKAH : Masyarakat luar
melihat PAS telah menunjukkan perlakuan yang bertentangan dengan slogan
yang dibawanya untuk membangun bersama Islam kerana beberapa krisis yang berlaku tidak dapat ditangani dengan baik...
Jawapan : Seperti yang saya nyatakan tadi, konflik yang dapat diurus
dengan baik akan mendatangkan kesan positif kepada organisasi. Itulah
yang sedang dilalui oleh PAS ketika ini. Tanpa perlu menafikan
berlakunya konflik, ia sedang diuruskan oleh PAS dan hasil daripada
retreat PAS Pusat baru-baru ini telah menemui beberapa penyelesaian.
Apa yang penting adalah kesediaan kita untuk mengakui bahawa
terdapatnya konflik dalaman dan berusaha bersama-sama untuk
mengatasinya.
Jika ia dapat diatasi maka keyakinan masyarakat terhadap PAS akan kembali semula.
HARAKAH : Adakah struktur kepimpinan dalam PAS menyumbang kepada polemik yang tidak berkesudahan?
Jawapan : Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa ia berlaku
kerana tautan ukhuwwah yang longgar di kalangan kita, bukannya struktur
kepimpinan parti. Kurangnya program tidak formal mempengaruhi hubungan
sesama pimpinan.
Pengamatan saya, ia terjadi akibat kesibukan dalam pelbagai urusan yang menyebabkan masa untuk bersama menjadi semakin kurang.
Retreat PAS Pusat yang diadakan di Kuala Selangor baru-baru ini bagi
saya adalah program yang patut diadakan dengan lebih kerap. Perlu ada
program pemukiman seperti itu.
HARAKAH : Persepsi umum melihat
PAS tidak menggunakan meja rundingan sebaliknya sesetengah isu didiamkan
sehingga akhirnya meledak dan menjejaskan perpaduan dalaman.
Jawapan : Pandangan saya, meja rundingan dan bermesyuarah adalah jalan
terbaik untuk menyelesaikan isu yang berlaku. Sama ada kita suka atau
tidak, setiap isu yang berlaku mesti diselesaikan bukannya lagi
dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Menggunakan meja rundingan
sebagai jalan penyelesaian sesuatu isu itu adalah merupakan tradisi PAS
sejak dahulu lagi. Malah saya melihat bahawa PAS berjaya menyelesaikan
banyak isu dalaman parti melalui mesyuaratnya.
Kudis yang
dibiarkan akan menjadi barah yang membunuh. Begitu juga dengan konflik
dan krisis dalam organisasi. Konflik yang berterusan akan menyebabkan
krisis akan berlaku. Jika krisis dibiarkan sahaja maka akan wujud
pertembungan.
Perundingan perlu dilakukan seawal ianya masih lagi
dalam keadaan konflik. Andai sudah menjadi pertembungan maka ia sudah
terlewat untuk berunding.
Apapun, saya percaya bahawa kepimpinan PAS Pusat matang dan berwibawa untuk berhadapan dengan segala isu yang melanda
Ulasan
Catat Ulasan