BAHAGIAN PERTAMA : PROSES PEMULIHAN KRISIS KEHAKIMAN MALAYSIA

1.Pendahuluan 

Kehakiman di Malaysia merupakan gambaran maruah dan imej di kalangan pengamal undang-undang, rakyat biasa dan perspektif masyarakat antara bangsa terhadap pemisahan antara kuasa eksekutif dengan kuasa kehakiman di Malaysia sepertimana yang dipraktikkan dalam doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di antar
a Badan Kehakiman, Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.

Namun, campur tangan pemimpin politik dalam negara terhadap sistem kehakiman pada tahun 1988 telah mencetuskan satu krisis yang cukup berpenjangan sehingga menyebabkan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohd Salleh Abas telah dipecat daripada jawatannya sedangkan jawatan tersebut dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Pemecatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir bin Mohamad telah menyekat kebebasan kehakiman dan sistem kehakiman sehinggakan keputusan-keputusan yang ingin dibuat oleh hakim dikatakan dipengaruhi oleh campur tangan pemimpin politik.

Pendedahan skandal perlantikan hakim melalui ‘klip video Linggam’ yang mengandungi perbualan telefon di antara seorang peguam terkemuka, Datuk V.K. Lingam dengan seorang hakim kanan bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia pada 2002 seperti yang didedahkan pada tahun 2007 telah menambahkan lagi kepercayaan bahawa sistem kehakiman telah berada dalam keadaan yang cukup parah. Catatan ini akan menghuraikan sejarah sistem kehakiman negara, doktrin pengasingan kuasa, apakah punca krisis kehakiman, sejauh mana semakan kehakiman terjejas disebabkan krisis kehakiman ini, tindakan untuk memulihkan sistem kehakiman negara dan sejauh mana krisis ini dapat diselesaikan.

2. Struktur Pentadbiran Kerajaan Malaysia

Corak pemerintahan di Malaysia telah ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara, iaitu badan perundangan (legislatif), badan pentadbiran (eksekutif) dan badan kehakiman (judiciary). Pengasingan ketiga-tiga badan dalam pemerintahan negara disebut sebagai doktrin pengasingan kuasa. Doktrin ini dikemukakan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis pada abad ke-18.

Tujuan pengasingan kuasa ini adalah untuk memastikan bahawa individu yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakan undang-undang dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan.

Di Malaysia, kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan Ketua kepada ketiga-tiga cabang kerajaan. Menurut Perlembagaan, Baginda bukan sahaja memegang kuasa eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa perundangan Persekutuan.

Struktur pentadbiran kerajaan Malaysia terdiri daripada tiga badan yang berbeza:-
  
a. Badan Kehakiman

Badan kehakiman adalah merupakan badan yang diberi tanggungjawab untuk mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Badan ini juga dikenali sebagai sistem perundangan dan ahlinya terdiri dari para hakim dan majistret yang biasanya dilantik oleh Ketua negara masing-masing. Mereka juga biasanya menjalankan tugas di mahkamah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa terutamanya polis dalam menegakkan undang-undang.

b. Badan Eksekutif

Badan Eksekutif kerajaan Malaysia adalah Kabinet Malaysia yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Kabinet adalah merupakan sebuah majlis menteri-menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukan bahawa anggota Kabinet hanya boleh dipilih daripada mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong melantik semua menteri atas nasihat Perdana Menteri. Namun begitu, seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik terlebih dahulu dari Dewan Rakyat.

Anggota Kabinet sering dilantik daripada majlis terendah bagi Parlimen, Dewan Rakyat. Walaupun Timbalan Menteri dan/atau Setiausaha Parlimen dilantik mengikut setiap portfolio, tetapi mereka tidak termasuk dalam Kabinet. Kabinet seringkali bermesyuarat secara mingguan, setiap Rabu.


C. Badan Perundangan

Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara yang berdasarkan kepada sistem Parlimen Westminster. Parlimen Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.  Ahli Dewan Rakyat dikenali sebagai Ahli Parlimen, manakala ahli Dewan Negara diberi gelaran Senator. Satu pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun untuk memilih wakil-wakil ke Dewan Rakyat; manakala ahli-ahli Dewan Negara, iaitu Senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.

3. Apa itu semakan kehakiman

Negara-negara demokrasi biasanya membenarkan proses semakan kehakiman diadakan oleh badan kehakiman untuk membatalkan keputusan-keputusan badan perundangan dan badan eksekutif yang ditafsirnya sebagai bertentangan dengan perlembagaan.

Malaysia adalah sebuah Negara yang mewarisi sistem politik British India yang berdasarkan kepada Sistem Westminster yang tidak memberikan peruntukan untuk semakan kehakiman namun hakim-hakim diberikan kuasa untuk membuat keputusan di luar peruntukan undang-undang (ultra vires) jika ia bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Bagaimanapun, kuasa yang diperuntukan kepada hakim ini telah dikawal setelah berlakunya krisis kehakiman Malaysia pada tahun 1988 melalui pindaan perlembagaan Malaysia yang menghapuskan kuasa semakan kehakiman ini dan sesuatu keputusan mestilah dibincangkan di bawah undang-undang Negara.

Mengikut Dato’ Umi Kalthum, peruntukan untuk perlaksanaan semakan semula kehakiman ditentukan oleh Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan telah dipinda pada tahun 2000 dan berkuatkuasa pada 22 September 2000.

4. Latar belakang sistem kehakiman

Sistem Kehakiman Malaysia dalam keseluruhannya di bawah organisasi kerajaan Persekutuan.
Bidang kuasa serta prosiding :

i. Mahkamah Persekutuan

Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan adalah yang melibatkan rayuan, nasihat, sedia ada dan rujukan dan tidak meliputi bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ketua Mahkamah Persekutuan ialah Ketua Hakim Negara. Anggota-anggotanya yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Borneo dan 7 orang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

ii. Mahkamah Rayuan

Bidang kuasa Mahkamah Rayuan adalah rayuan untuk mendengar kedua-dua kes sivil dan jenayah daripada Mahkamah Tinggi. Manakala, dari Mahkamah Sesyen, hanya kes-kes jenayah didengar rayuannya. Diketuai oleh seorang Presiden dan dianggotai oleh 10 orang hakim.

iii. Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa bagi rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dan bidang kuasa sedia bagi kes-kes jenayah dan sivil. Bidang kuasa yang sedia ada bagi kes-kes jenayah dan sivil adalah tidak terhad di mana kes-kes di luar bidang kuasa Mahkamah Rendah dibawa di hadapannya. Secara amnya, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes yang membawa hukuman mati mandatori.

Mahkamah Tinggi juga mempunyai kuasa untuk membuat kajian semula bagi kes-kes jenayah diputuskan di Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa sivil mendengar kes-kes:
a. cerai dan nafkah
b. admiraliti
c. kebangkaran dan syarikat
d. penjagaan kanak-kanak
e. surat kuasa mentadbir dan probet

iv. Mahkamah Sesyen

Bidang kuasa mahkamah sesyen ialah mendengar dan melupuskan apa-apa kes sivil atau jenayah yang timbul dalam kawasan yang dihadkan bagi bidang kuasanya. Bagi bidang kuasa jenayah, Mahkamah Sesyen boleh mendengar semua kes selain daripada kes yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagi bidang kuasa sivil pula, mahkamah mempunyai kuasa yang tiada had bagi kes-kes kemalangan dan pertelingkahan atau pertikaian yang melibatkan tuntutan tidak melebihi darippada jumlah RM 25000.00.

v. Mahkamah  Majistret

Mahkamah Majistret terbahagi kepada Mahkamah Majistret Kelas 1 dan Majistret kelas 2.

a. Mahkamah Majistret Kelas 1

Bidang kuasa mahkamah Malistret kelas 1 adalah kes Jenayah iaitu mendengar semua kes jenayah dan hukuman penjara yang boleh dijatuhkan ialah penjara tidak melebihi 10 tahun. Secara amnya, seorang Majistret Kelas 1 boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang tidak melebihi 5 tahun penjara, denda sebanyak RM 10 000.00, rotan hingga 12 kali atau kombinasi mana-mana hukuman di atas. Bagi bidang kuasa sivil pula mahkamah boleh mendengar perkara yang dipertikaikan di mana jumlah tuntutan tidak melebihi RM 25,000.00.

b. Mahkamah Majistret Kelas 2

Bidang kuasa mahkamah ini adalah kes jenayah iaitu boleh mendengar kes-kes di mana hukuman penjaranya tidak melebihi 12 bulan atau denda sahaja. Boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang tidak melebihi 12 bulan penjara, denda sebanyak RM 250.00 atau kombinasi mana-mana hukuman di atas. Bidang kuasa sivil pula mahkamah boleh mendengar kes-kes yang tidak melebihi RM3000.00.

5. Bagaimana Krisis Bermula

Dalam satu temu bual wawancara wartawan Utusan Malaysia bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, beliau telah mengupas mengenai beberapa teras dan intipati reformasi, masalah dan cabaran pelaksanaannya selain keperluan untuk memastikan bahawa hakim-hakim tidak takut untuk menjalankan tugas mereka. Dalam wawancara ini juga, Datuk Zaid telah menyentuh mengenai campur tangan kuasa eksekutif termasuk ahli politik dalam sistem kehakiman Negara khususnya ketika Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong sehingga terjadinya krisis perlembagaan sehingga kemuncaknya Tun Salleh Abas selaku Ketua Hakim Negara telah dipecat.

a. UMNO diharamkan

Pada 24 April 1987, Dr Mahathir Mohamad telah memenangi kerusi Presiden UMNO mengalahkan Tengku Ghazaleigh Hamzah dengan kelebihan 43 undi saja. Akibat daripada kemenangan tipis ini 11 orang ahli UMNO yang selepas itu dikenali sebagai Kumpulan 11 melahirkan rasa tidak puas hati dan membawanya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon pemilihan itu dibatalkan atas alasan pemilihan itu disertai cawangan-cawangan tidak didaftarkan di bawah undang-undang persatuan.

Kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di bawah Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, yang mana hanya seorang hakim ada di situ, iaitu Hakim Dato’ Harun Hashim. Dato’ Harun Hashim telah membuat keputusan dan mengisytiharkan secara lisan dan tidak bertulis bahawa Pertubuhan UMNO sebuah parti haram. Keputusan ini menggemparkan negara. Apabila Hakim Harun Hashim memberi keputusan bertulis, Perdana Menteri membuat sungutan dan mengkritik cara pengadilan itu, kerana katanya ada perbezaan di antara keputusan lisan dan keputusan bertulis.
  
b. Cubaan menyingkirkan Hakim Harun Hashim

Hakim Harun Hashim dikenali dalam sejarah kehakiman negara kerana beliau telah membuat keputusan kehakiman dengan mengharamkan UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Beliau telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Ia bermula dengan satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 1987 oleh 11 orang ahli UMNO (yang kemudiannya dikenali sebagai UMNO 11) di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal.

Dr Mahathir telah membawa usul ke Dewan Rakyat pada Oktober 1987 untuk menyingkirkan Hakim Harun Hashim dengan membawa hujah bahawa setengah-setengah hakim telah mengeluarkan fikirannya atas isu politik di luar bilik mahkamah seperti menyeru Perlembagaan disemak semula tetapi tidak mendapat sokongan.

c. Kes Penangkapan Karpal Singh di bawah ISA

Ketidaktentuan politik yang melibatkan soal perkauman apabila pelbagai kenyataan bercorak perkauman dibuat oleh tokoh-tokoh politik dalam negara yang melibatkan tokoh politik kerajaan dan pembangkang termasuklah melibatkan Karpal Singh, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Ibrahim Ali, Ustaz Halim Arshat, Mohamed Fahmi Ibrahim dan ramai lagi telah di tahan di bawah ISA. Sebahagian tahanan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebebasan. Mahkamah Agung berdasarkan kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, telah menolak dakwaan dan memutuskan tangkapan adalah sah. Bagaimanapun, Karpal Singh membuat dakwaan berasingan di Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan penahan Karpal Singh tidak sah dengan alasan salahguna kuasa dan membebaskannya pada 9 Mac 1988 tetapi dia ditangkap semula sebaik sahaja dibebaskan. Pembebasan Karpal Singh sebenarnya tidak menyenangkan hati Dr Mahathir.

d. Pindaan Perlembagaan

Pada 17 Mac 1988, Dr Mahathir telah mengemukakan ke Parlimen Malaysia beberapa pindaan Perlembagaan untuk melucutkan kuasa kehakiman yang telah diberikan kepada hakim-hakim selama ini. Bermula dengan tindakan mahkamah mengharamkan UMNO, penarik balik pengharaman Jurnal Asia Wall Street yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia melalui Dr Mahathir selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri oleh Mahkamah Agung telah mencabar Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia.

Begitu juga dengan kes yang mana Mahkamah Agung menggunakan kuasa semakan semula kehakiman, dan membatalkan pindaan-pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi tanpa melalui Mahkamah Majistret. Selepas Operasi Lalang pada tahun 1987 di mana kerajaan menahan beberapa penentang politik tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA), Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan Karpal Singh untuk dibebaskan daripada penahanan disebabkan keteknikan-keteknikan terhadap cara beliau ditahan.

Semasa membahas pindaan perlembagaan ini, Dr Mahathir meneruskan agenda mengkritik kehakiman dengan menyatakan:-

“…mahkamah-mahkamah telah memutuskan bahawa dalam penguatkuasaan undang-undang, mereka terikat kepada tafsiran-tafsiran sendiri dan bukannya terhadap alasan-alasan yang menyebabkan Parlimen merumuskan undang-undang ini… akhir-akhir ini, badan kehakiman telah berasa wajar untuk menyentuh perkara-perkara yang dahulu dianggap sebagai hanya dalam kuasa eksekutif.”

Pada hari yang sama, Tun Salleh Abas telah mempengerusikan mesyuarat yang melibatkan kesemua 20 orang hakim daripada mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi yang diadakan di Kuala Lumpur sebagai tanda balas terhadap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Sepucuk surat telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bagi mengemukakan ketidakpuasan hati mereka terhadap berbagai-bagai komen dan tuduhan yang telah dibuat oleh Yang Berhormat Perdana Menteri terhadap Badan Kehakiman tetapi tidak mendesak sebarang tindakan yang khusus untuk diambil. Sebaliknya, surat itu hanya mahu segala tuduhan tidak berasas dapat dihentikan.

e. Pergantungan Tugas dan Pemecatan Tun Saleh Abbas

Pada 12 Januari 1988 Tun Salleh Abas telah memberikan ucapan dan menerangkan fungsi badan kehakiman sempena majlis pelancaran buku bertajuk “Law, Justice and the Judiciary, Transnational Trend”. Tun Salleh telah menyebut bahawa dalam sistem demokarasi, peranan mahkamah ialah penjaga perlembagaan. Namun, peranan ini telah dipersoalkan yang mana kebebasan mahkamah adalah berada di dalam kecemasan sehingga keputusan-keputusan yang dibuat oleh kehakiman dilabel sebagai menentang kerajaan.

Pada 20 Mei 1988, Tun Salleh telah menetapkan supaya rayuan UMNO dibicara pada 13 Jun 1988 dan perbicaraan rayuan Peguam Negara ke atas pembebasan Karpal Singh diadakan pada 15 Jun 1988. Namun, pada 27 Mei 1988 Tun Salleh telah menerima surat pergantungan tugas daripada Dr Mahathir selepas pertemuan di Jabatan Perdana Menteri.

Tun Salleh mendakwa di dalam bukunya, “May Day For Justice”, bahawa pemecatannya disebabkan Perdana Menteri waktu itu bimbang kemungkinan rayuan UMNO 11 akan dibenarkan sekiranya Tun Salleh bersama dengan 8 orang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan membentuk korum penuh bagi mendengar rayuan tersebut dan sekiranya rayuan tersebut dibenarkan kedudukan Dr Mahathir selaku Presiden UMNO tidak akan selamat.

Tun Salleh Abas telah dihadapkan ke tribunal yang diadakan oleh Dr. Mahathir atas tuduhan salah lakunya dan tribunal telah dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar.

Sebagai tindak balas terhadap tribunal tersebut, Tun Salleh Abas mengambil tindakan guaman dalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk mencabar keperlembagaanan tribunal itu. Ketika meneruskan tindakan guamannya, Beliau membuat permohonan untuk penggantungan sementara terhadap tribunal sehingga 4 Julai 1988. Permohonannya telah ditolak malah kelima-lima orang hakim Mahkamah Agung digantung jawatan mereka dan tiga orang hakim telah dipecat. Pemecatan-pemecatan ini menyebabkan Mahkamah Agung Malaysia digantung dan oleh itu, cabaran terhadap kesahan tribunal tidak dapat dibicarakan. Akhirnya pada 8 Ogos 1988 Tun Salleh Abas telah dipecat sebagai Ketua Hakim Negara.

6. Kesan Kepada Sistem Kehakiman di Malaysia

Doktrin pengasingan kuasa telah memberikan kuasa yang besar kepada hakim untuk menentukan keputusan sesuatu kes. Kuasa mutlak ini dipanggil ‘judicial power’ atau kuasa kehakiman. Namun, selepas krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1988 telah menyebabkan perubahan dalam sistem kehakiman dengan kuasa mahkamah itu adalah apa sahaja yang dibenarkan ke atas mahkamah mesti di bawah undang-undang yang digubal di Parlimen. Sebenarnya, perubahan ini membawa maksud kuasa mutlak hakim telah dirampas oleh badan eksekutif.

a. Hakim membuat keputusan bergantung kepada arahan.

Perkara ini diperakui oleh beberapa orang Hakim yang pernah bertugas dan terpaksa mengikut arahan dan campur tangan daripada pihak tertentu ketika era zaman Tun Dr Mahathir. Mereka menjelaskan, campur tangan terbabit bagaimanapun bukan dibuat secara arahan langsung oleh pihak eksekutif sebaliknya ia lebih kepada permintaan daripada pihak atasan dalam badan kehakiman sendiri.

Di antara yang membuat perakuan tersebut adalah bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah yang mengesahkan bahawa sepanjang berkhidmat sebagai hakim sehingga 1996, beliau memang pernah diganggu oleh pihak atasan daripada badan kehakiman berhubung kes tertentu. Datuk Syed Ahmad mengakui bahawa terdapat kes membabitkan orang politik yang sepatut beliau kendalikan tiba-tiba diserahkan kepada hakim lain.

Begitu juga dengan Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian HC Chin yang turut mendedahkan bahawa terdapat campur tangan pihak eksekutif dalam bidang kehakiman, menganggap tanggungjawab memulihkan badan kehakiman perlu dilakukan semua pihak yang terbabit. Beliau membuat pengakuan bahawa beliau telah menerima arahan Eusoff Chin menggugurkan kes pilihan raya membabitkan Datuk Yong Teck Lee (bekas Ketua Menteri Sabah), bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Likas. Chin juga mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah mengugut untuk melucutkan jawatan mana-mana hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan, 11 tahun lalu.

Begitu juga dengan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Kamil Awang yang mengakui bahawa beliau pernah menerima arahan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, untuk membuang kes pada 2001.

b. ISA disalahgunakan

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 ataupun Internal Security Act (ISA) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Ia dirangka pada awalnya oleh R.H. Hickling dan dijadikan undang-undang pada tahun 1960. ISA telah dipinda sebanyak lebih 20 kali untuk disesuaikan dengan situasi semasa. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

c. Klip video Linggam (kemuncak)

Kontroversi pendedahan Isu klip video “Lingam” pada tahun 2007 sebenarnya menjadi kemuncak kepada krisis kehakiman yang selama ini muncul pada 2002 tetapi menimbulkan kontroversi di Malaysia pada tahun 2007. Klip video ini dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka, Datuk V.K. Lingam dan seorang hakim kanan bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia pada 2002. Klip video ini menjadi serius kerana cubaan mengatur pelantikan Ketua Hakim Negara dan lain-lain. Kredibiliti badan kehakiman akan dipersoalkan.

Menurut Kod Etika Kehakiman 1964, Peruntukan 3 (d), perbuatan melobi oleh seseorang hakim boleh mencemarkan nama baik Badan Kehakiman. Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan tidak jujur sehingga mencemar nama Badan Kehakiman.

Pendedahan daripada Klip video ini juga telah menyebabkan Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) juga telah menghantar memorandum kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa Kabinet menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rentetan krisis badan kehakiman negara sejak 1988. Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenivasan, berkata kes terbaru membabitkan klip video kononnya mengandungi perbualan telefon antara seorang hakim kanan dan peguam yang didakwa cuba mempengaruhi pelantikan seorang hakim membuktikan betapa terjejasnya badan kehakiman negara.

1.     Tindakan Kerajaan Untuk membetulkan Kesilapan

Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil sikap untuk memperbetulkan sistem kehakiman Malaysia dengan memberikan ruang kebebasan kepada Mahkamah untuk membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh pemimpin politik. Kenyataan Tun Abdullah yang mahukan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang akan membuat keputusan berkaitan dengan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan sejak dariada tahun 2000 merupakan gambaran awal ke arah memperbetulkan sistem kehakiman negara. Ini diperakui oleh Datuk Seri Anwar apabila beliau telah menyuarakan penghargaan kepada Perdana Menteri dan menyebut bahawa pembebasannya merupakan satu permulaan yang baik ke arah sistem keadilan yang lebih berwibawa.

Selepas Kabinet Malaysia diwujudkan selepas PRU ke 12, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Datuk Zaid Bin Ibrahim sebagai Menteri Kabinet Malaysia. Datuk Zaid Ibrahim yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi badan kehakiman, mencadangkan pada 22 Mac 2008 agar kerajaan Malaysia meminta maaf kepada mereka yang dikatakan menjadi mangsa dalam Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 yang membawa kepada pemecatan Tun Salleh Abas dan lima hakim Mahkamah Agung.

Ketika menyampaikan ucapan di dalam majlis yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia pada 17 April 2008, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membuat pengumuman pembayaran ex-gratia kepada Tun Salleh Abas dan lima orang lagi hakim yang terlibat secara langsung dalam kes 20 tahun ini iaitu Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdul Kader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Dalam ucapannya Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyentuh berkaitan dengan personaliti hakim-hakim yang dipecat dan digantung pada 1988, mengenai kehakiman, mengenai pemisahan kuasa dan mengenai suruhanjaya kehakiman. Namun, Tun Abdullah tidak pula memohon maaf kepada bekas hakim-hakim ini melainkan hanya melahirkan kekesalan.

8. Adakah Krisis Kehakiman Telah Dapat Diselesaikan?

Selepas tindakan berani Tun Abdullah memulangkan semula hak hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman, mahkamah dilihat telah mula kembali menjadi badan yang bebas. Namun, persoalan sama ada krisis kehakiman telah dapat diselesaikan masih lagi dipersoalkan. Ini diperakui oleh Datuk Zaid Ibrahim bahawa persoalan untuk memberikan semula keyakinan rakyat bukan satu perkara yang mudah kerana masih ramai lagi yang sangsi dengan tindakan kerajaan ketika ini.

Perletakkan jawatan sebagai Menteri oleh Datuk Zaid Ibrahim kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan terus menggunakan ISA untuk menahan suspek tanpa mendapatkan perbicaraan sepertimana yang telah digunakan terhadap Ahli Parlimen Seputeh iaitu YB Teresa Kok dan seorang blogger iaitu Raja Petra Kamaruddin.

Apabila Datuk Zaid meletakkan jawatan dan pengunduran Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri, perjuangan untuk menangani krisis kehakiman semakin pudar kerana tidak ada pelan tindakan yang jelas dikemukakan oleh Perdana Menteri ataupun mana-mana menteri yang ada pada hari ini.

Ditambah lagi dengan kes Klip Video Linggam yang telah ditutup tanpa dakwaan terhadap mana-mana pihak yang terlibat sedangkan klip video ini telah menyebabkan system kehakiman negara ini dipandang rendah oleh umum. Walaupun Menteri Dalam Negeri semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 29 Oktober 2009 bahawa kes ini masih belum ditutup lagi kerana ia sedang disiasat oleh SPRM namun secara umumnya siasatan pihak PDRM telah pun ditutup dan tidak ada tangkapan telah dibuat.

9. Kesimpulan

Krisis kehakiman yang telah berlaku pada tahun 1988 terbukti telah memberikan kesan terhadap keupayaan badan kehakiman dalam melaksanakan semakan kehakiman. Hakim yang ingin membuat keputusan penghakiman terutamanya yang melibatkan kepentingan parti pemerintah perlu memikirkan sama ada keputusan yang ingin dibuat akan menjejaskan masa depan mereka sebagai seorang hakim.

Ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim ini untuk menjalankan tugas secara adil dan bebas dilihat dapat dilihat dengan jelas semasa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tuduhan liwat pada tahun 1998 sehingga beliau telah dijatuhkan hukuman penjara. Sepanjang perbicaraan dijalankan, rakyat Malaysia khususnya telah didedahkan dengan corak penghakiman yang cukup memalukan sehingga sistem kehakiman negara dipersendakan.

Kerajaan perlu mempercepatkan proses pemulihan sistem kehakiman Malaysia seperti mana yang pernah disebut oleh mantan PM iaitu Tun Abdullah di mana beliau memberikan jaminan bahawa pelaksanaan perubahan dalam badan kehakiman tidak akan dilengahkan. Sekiranya ia dilengahkan dan tidak diberikan perhatian yang serius dibimbangi bahawa usaha-usaha yang telah dimulakan untuk memulihkan krisis kehakiman akan berkubur dan sistem kehakiman Malaysia akan bertambah lebih parah.

Disediakan oleh :
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kemasyarakatan (Sains Politik)
Universiti Sains Malaysia

NOTA : Bahan ini telah saya siarkan pada tahun 2009 di dalam blog saya www.minda-kembara.com namun disebabkan blog itu telah digodam maka saya siarkan semula di sini sebagai bahan rujukan semua pihak.

Saya juga sedang menyiapkan Bahagian Kedua yang mengaitkan DS Najib Razak sepanjang pemerintahannya dalam menangani isu Sistem Kehakiman.

Wassalam.

Ulasan