POLIGAMI - AND MY HEART WILL GO ON



1.       AND MY HEART WILL GO ON

Para pembaca sekalian,

Mungkin ada tertanya-tanya apakah kaitan tajuk lagu popular “My Heart Will Go On” daripada filem Titanic dalam penulisan buku ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah menonton filem tersebut pasti akan sedar bahawa tidak ada kaitan pun cerita filem ini dengan poligami.

Baiklah, saya mengesahkan sememangnya tiada kaitan kisah filem ini dengan poligami tetapi saya mengambil inspirasi tajuk tersebut dengan apa yang telah saya lalui selama ini sebelum berjaya berpoligami.

Mungkin anda bertanya, bila bermula kecenderungan saya untuk mengamalkan poligami. Saya fikir, mungkin keinginan untuk berpoligami sebenarnya telah mula berputik apabila saya bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh lagi sebab sebelum itu saya tidak melihat contoh-contoh poligami yang positif di hadapan mata.

Sewaktu di STAR saya telah menyertai satu kumpulan usrah yang menjadikan silibus Al-Arqam sebagai panduan usrah di sana. Salah satu yang mengkagumkan saya apabila bersama kumpulan usrah ini adalah apabila melihat kejayaan pengikut Al-Arqam melaksanakan poligami di kalangan pimpinan dan pengikut-pengikutnya seperti mana yang dipaparkan dalam kehidupan seharian mereka.

Hasrat tersebut saya sematkan di dalam hati dan berdoa agar satu hari nanti saya akan terpilih untuk menjadi salah seorang pengamal poligami yang harmoni.

“Satu hari nanti, aku juga mampu berpoligami…” kata dalam hati saya.

Saya mula mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun dan lima tahun selepas itu saya telah memulakan langkah untuk berpoligami. Tetapi ianya tidak semudah yang saya jangka bahawa hasrat saya ini akan diterima oleh isteri tetapi hasrat ini mendapat bantahan yang keras daripadanya.

Bermula daripada detik itu, saya belajar untuk memperbaiki diri dan belajar untuk memahami erti sebenar poligami. Ia sememangnya mudah untuk dilafazkan tetapi sangat sukar untuk dilaksanakan. Niat yang baik belum tentu akan diterima dengan mudah oleh isteri.

Saya tidak berhasrat untuk menitipkan segala pengalaman saya telah lalui di sini (melainkan sesi pertemuan face to face) tetapi saya ingin nyatakan bahawa saya telah berusaha dari masa ke masa untuk memastikan bahawa saya sememangnya telah bersedia untuk mengamalan poligami dengan keizinan isteri saya.

‘My Heart Will Go On’ sebagai tema kepada keazaman saya untuk memastikan bahawa hasrat untuk berpoligami dapat direalisasikan. Keazaman yang tinggi dan dibantu oleh keyakinan bahawa poligami yang harmoni mampu untuk dibina dan dilakukan maka saya bertekad untuk terus memperbaiki diri yang ada kekurangan dan kelemahan.

Alhamdulillah, walaupun masih lagi baharu dalam dunia poligami dan masih jauh untuk mewujudkan satu konsep poligami harmoni namun sehingga kini telah menunjukkan banyak perkembangan positif, mudah-mudahan akan terus mencapai kejayaan pada masa hadapan. Tiada istilah ‘give up’ dalam perjuangan.

Pelayaran akan diteruskan sehingga berjaya berlabuh di perlabuhan yang di tuju…


Ulasan