POLIGAMI - PEMBUKA KATA



PEMBUKA KATA

Salah satu perkara yang disambut oleh manusia khususnya kita di Malaysia dengan dan linangan air mata kegembiraan adalah perkahwinan. Perkahwinan adalah diibaratkan sebagai kemuncak dalam kehidupan seseorang yang berstatus bujang.

Selepas selesai akad nikah maka secara automatiknya status bujang sudah bertukar menjadi Suami ataupun Isteri. Tiada lagi gelaran orang bujang atau single atau solo atau yang seumpamanya. Selamat tinggal dunia bujang. Maka bermulalah kehidupan seseorang itu sebagai suami/isteri.

Itu kisah untuk mereka yang baru berkahwin menjalani dunia perkahwinan. Cerita Uda dan Dara yang menjalani kehidupan berdua bersama-sama.

Namun, topik perbincangan dalam buku ini akan berkisar tentang poligami, bukannya perkahwinan monogami yang dilalui oleh kebanyakkan kita. Ya, tentang poligami yang dibenarkan oleh Islam tetapi sukar dilaksanakan dalam dunia realiti. Berbincang tentang poligami boleh bikin ribut seantero dunia. Silap-silap akan terjadinya kejadian ‘pinggan terbang’ tanpa arah tuju. Silap-silap akan terjadi perang dunia ketiga yang tidak diundang. Silap-silap ada yang kena tidur di beranda rumah. Macam-macam perkara boleh terjadi mengikut keadaan yang sukar diramalkan.

Sebahagian daripada masyarakat kita melihat poligami daripada sudut kaum bukannya daripada sudut agama sehingga menyebabkan poligami yang sepatutnya menyelesaikan masalah telah menjadi punca masalah lain dalam hubungan suami/isteri dan hubungan keluarga.

Sedangkan Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah maka Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Ya, poligami sepatutnya menjadi penyelesaian masalah tetapi ia tidak terlaksana seperti itu. Biasanya, itulah hujah para suami bila berdepan dengan isteri, kan? Itu salah satu hujah namun sudah pasti akan di'reject' oleh isteri. Para isteri tidak melihat poligami sebagai penyelesaian kepada masalah tetapi ia menjadi punca keluarga bermasalah.

Islam menetapkan bagi memastikan amalan poligami dilaksanakan dengan cara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah memberikan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. 

Kita akan bincangkan dengan lebih terperinci tentang syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam supaya ia menjadi panduan kepada kita, tidak kira lelaki atau wanita. 

Saya menulis dan menerbitkan buku ini kerana saya berhasrat untuk kongsikan pengalaman saya dan pengalaman rakan-rakan yang sedang melalui kehidupan sebagai seorang suami yang mempunyai lebih daripada seorang seorang isteri. Ada pengalaman yang menceriakan dan ada pengalaman yang mendukacitakan.  Kita belajar daripada pengalaman untuk memastikan segala yang baik dapat kita laksanakan pada masa hadapan, insya Allah. Tujuannya, supaya jangan kita anggap semuanya indah dan jangan kita rasa semuanya parah. 

Permintaan daripada kawan-kawan yang kerap bertanya dengan saya tentang poligami juga telah menyebabkan saya cuba untuk menerbitkan sebuah buku berkaitan dengan poligami.

Sebaik-baiknya kita cuba dengan sedaya upaya agar poligami yang kita bina dilaksanakan dengan persetujuan di antara kita dengan isteri. Walaupun payah namun kita perlu berusaha untuk merealisasikannya.

Bak kata pepatah, Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat yang bermaksud kalau hendak berbuat sesuatu, eloklah dirundingkan dengan kaum keluarga supaya pekerjaan itu selamat.

Para pembaca sekalian, kejayaan poligami bergantung kepada banyak faktor, tidak cukup dengan hanya membaca buku, mendengar cerita atau membuat teori. Banyak yang perlu kita pelajari malah saya sendiri masih terus belajar dan belajar. Justeru harapan saya buku ini dapat membantu para pembaca untuk melihat poligami daripada sudut yang berbeza.

Bahasa penulisan saya penuh dengan kesantaian, supaya anda yang membaca tidak stress seperti membaca buku akademik. Apa yang penting mesejnya sampai masuk ke dalam minda dan hati. Orang kata, santai tapi sampai.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua isteri saya Monaliza dan Rosmawati yang telah memberikan sokongan kepada saya untuk melahirkan buku ini dan sedia untuk memahami diri saya sebagai seorang suami yang sememangnya perlu lebih banyak belajar untuk memperbaiki diri.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan sekiranya kehadiran buku ini tidak menyenangkan mana-mana pihak. Saya sememangnya bercita-cita untuk memperjuangkan agar poligami satu hari nanti akan menjadi konsep perkahwinan yang dapat diterima oleh sebahagian besar daripada masyarakat kita di Malaysia.

Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala kelemahan dan kekurangan itu datangnya daripada diri saya yang lemah ini.

Sekian, salam perjuangan…

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Ulasan