MEMPERKUKUH MUAFAKAT NASIONAL DI KLUANG




Alhamdulillah, baru-baru ini Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Pelaksana Muafakat Nasional (MN) Parlimen Kluang telah berlangsung di Pejabat UMNO Bahagian Kluang. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YB Dato' Jais bin Sarday selaku Ketua UMNO bahagian Kluang dan Tuan Rumah kepada mesyuarat kali pertama ini.

Walaupun ianya kali pertama namun sebenarnya ia adalah pertemuan rasmi kali yang ketiga di antara kedua-dua parti cuma dua kali yang sebelum itu diadakan tidak rasmi di atas format yang disediakan oleh MN Pusat.
Parlimen Kluang secara keseluruhan penduduknya adalah majoriti kaum Cina, disusuli dengan kaum Melayu dan India. Sejak daripada PRU kali Pertama tahun 1955 sehingga tahun 1974, kerusi Parlimen Kluang ditandingi oleh wakil daripada parti bukan Melayu.
Tahun 1978, PAS Kluang yang baru ditubuhkan pada tahun 1976 telah meletakkan calon bagi kerusi Parlimen dengan meletakkan seorang calon dan ianya pertama kali Parlimen Kluang ditandingi oleh calon Melayu.
Selepas PRU tersebut, PAS Kluang telah tidak aktif dan ianya dihidupkan kembali pada tahun 1982 dan diterima pendaftarannya pada tahun 1983 dan PAS Kluang yang didaftarkan kali kedua itu terus kekal sehingga ke hari ini.
Tahun 1986 PAS Kluang kembali meletakkan calon di Parlimen Kluang (Haji Abu Hassan) dan seorang calon di DUN Lambak (Kamal Liang bin Abdullah). Calon-calon PAS telah hilang wang pertaruhan. Ia memberi kesan kepada PAS namun PAS terus bertahan di atas kekalahan itu, tidak seperti tahun 1978.
PAS tidak meletakkan calon pada tahun 1990, 1995 dan 1999 namun kembali meletakkan calon pada tahun 2004 apabila persempadanan baharu telah mewujudkan DUN Mahkota yang mana ianya adalah kerusi majoriti Melayu.
Sebelum tahun 2004, semua kerusi (satu Parlimen dan dua DUN) diwakili oleh parti MCA bagi pihak Perikatan/Barisan Nasional. Ini membrri peluang kepada UMNO untuk meletakkan calon buat pertama kalinya di Kluang.
Tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018 berlaku pertembungan PAS dan UMNO di kerusi DUN Mahkota dan tahun 2018 menyaksikan buat pertama kalinya UMNO tumpas di kerusi ini dan ianya dimenangi oleh PAN/PH.
Muafakat Nasional akan terus diperkukuhkan di Kluang. Rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional iaitu BERSATU kini diberikan tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Mahkota oleh Menteri Besar Johor.
Memperkukuhkan Muafakat Nasional adalah tanggungjawab kita. Jika bukan kita, siapa lagi. Jika bukan sekarang, bila lagi.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Di Pertua PAS kawasan Kluang
10 Oktober 2020

Ulasan