X50 mencabar rakan sekelas di pasaran - KOSMO!

 


  • 2 Oktober 2020, 9:03 pm

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR


Kehadiran model terbaharu Proton, X50 pasti sedikit sebanyak akan memberikan persaingan dalam pasaran automotif segmen sub kompak kenderaan utiliti sukan (SUV) atau Crossover.

Kelahirannya secara langsung memberi persaingan kepada Honda HRV, Toyota CHR, Mazda CX3, Subaru XV dan Peugeot 2008.

Nama Proton X50 menjadi sebutan selepas tanda nama itu didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tular di laman sosial pada awal tahun 2019.

Sejak itu, Proton X50 menjadi sebutan dan banyak pihak yang membuat ramalan tentang model yang akan menggunakan nama tersebut.

Beberapa minggu lalu, bertempat di Kilang Proton Tanjung Malim, Perak satu majlis prapelancaran model tersebut telah diadakan.

Pihak media yang dijemput telah dipertontonkan dengan model berkenaan. Ia didatangkan dengan beberapa varian yang ditawarkan termasuk jenis enjin yang digunakan.

Namun, tanda harga Proton X50 itu masih lagi rahsia. Mungkin Proton menantikan pelancaran rasmi untuk mengumumkannya. Apa yang boleh kita ramalkan, harganya mungkin lebih rendah daripada model X70 yang dijual bermula daripada RM94,800.

X50 merupakan model pertama Proton yang dilengkapi pemanduan autonomi tahap dua yang hadir dengan APA dan Intelligent Cruise Control (ICC).

Proton X50 merupakan model kedua SUV keluaran Proton selepas bernaung di bawah satu payung bersama Geely dan Volvo.

Model itu dibina menggunakan asas Geely Binyue (SX11) atau Coolray yang menggunakan platform BMA.

Semasa majlis prapelancaran itu, antara ciri-ciri X50 yang dimaklumkan kepada pihak media seperti model ini bakal ditawarkan dua pilihan enjin.

Enjin pertama, 1.5 liter TGDI ditawarkan untuk varian Flagship yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 177 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 255Nm pada 1,500 hingga 4,000 rpm.

Sementara enjin untuk tiga varian lain iaitu Premium, Executive dan Standard adalah 1.5 T yang menghasilkan kuasa maksimum 150 PS dan tork maksimum 226 Nm.

Model itu akan menggunakan transmisi tujuh kelajuan dual klac.

Dalam pada itu, kelmarin, penulis dan beberapa pengamal media lain diundang untuk menghadiri sesi pandu uji model terbaharu itu di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

Pada majlis itu, petugas media diberi penerangan dengan lebih terperinci dan peluang untuk memandu varian Flagship X50.

Antara aktiviti semasa sesi pandu uji di litar tersebut adalah ujian pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) bersaing dengan BMW X1 dan Honda HR-V. Hasilnya X50 berjaya mengalahkan lawannya.

PANDANGAN dari belakang tempat pemandu dan papan pemuka X50 yang lebih pasti menarik minat orang ramai untuk membelinya.

Selain itu, pihak media juga diberi penerangan tentang teknologi sistem Auto Park Assist (APA) yang membantu pemandu untuk memarkir kenderaan.

Sistem APA berfungsi apabila pemandu menekan butang yang terletak di konsol tengah. Hanya perlu mengikut arahan yang diberikan di skrin.

Apa yang menarik, tangan dan kaki pemandu tidak perlu memegang stereng atau memijak brek, semuanya dilakukan secara automatik ketika memarkir kenderaan.

Penulis juga dimaklumkan beberapa perubahan telah dibuat seperti spring dan penyerap hentak serba baharu, anti roll bar, respons stereng dan gear yang ditala semula untuk disesuaikan dengan permukaan jalan raya di negara ini.

Model X50 varian Flagship yang kami pandu uji menggunakan tayar Continental Ultra Contact UC6.

X50 merupakan model pertama Proton yang dilengkapi pemanduan autonomi tahap dua yang hadir dengan APA dan Intelligent Cruise Control (ICC).

Model ini juga turut dilengkapi sistem pintar lain seperti sistem maklumat blind spot, kawalan lampu tinggi pintar, forward collision warning, brek kecemasan autonomi dengan ciri pengesan

pejalan kaki, lane departure warning, lane keep asist dan adaptive cruise control dengan ciri stop & go.

Proton X50 yang kami pandu turut mempunyai empat mod stereng untuk kesesuaian pemandu seperti sport, normal, comfort dan individual.

Tempahan model ini sudah dibuka bermula 16 September lalu sempena dengan Hari Malaysia dengan bayaran serendah RM500.

Selain pembukaan tempahan dan sesi pratonton, Proton juga mengadakan pengundian slogan untuk model baharu itu. Semua rakyat Malaysia digalakkan mengundi slogan yang paling sesuai.
Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman web www.proton.com.

Ulasan