KEMPEN SAWIT ANUGERAH TUHAN AKAN DIPERLUAS




Alhamdulillah, semalam telah diadakan majlis pra-pelancaran kempen SAWIT ANUGERAH TUHAN (SAT) di Parlimen dan ianya telah disempurnakan oleh YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Majlis yang serba ringkas ini sebagai acara permulaan kepada satu majlis lebih besar yang dijangkakan akan diadakan pada awal tahun hadapan. 

Slogan SAT telah diperkenalkan oleh Dato' Mohd Khairuddin ketika perbahasan di Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada bulan Julai yang lalu adalah sebagai langkah menjenamakan semula kempen Sayangi Sawitku. Beliau menjelaskan bahawa pendekatan sedemikian dengan anggapan ia lebih baik dan merupakan pendekatannya sepanjang menjadi menteri.

Menteri terdahulu Teresa Kok telah memperkenalkan kempen Sayangi Sawitku dan menurut beliau ianya merupakan salah satu langkah untuk mendepani kempen menangani usaha kempen pihak tertentu yang berniat menjejaskan imej minyak tersebut di pasaran antarabangsa. 

Sawit adalah anugerah Tuhan yang sangat tinggi nilainya kepada ekonomi negara yang menjadi sumber rezeki kepada rakyat Malaysia. Asalnya ia hanyalah bertujuan sebagai pokok hiasan yang di bawa oleh Tanah Melayu melalui Singapura yang ketika itu menanam pokok Sawit di Taman Botani di negara tersebut. Mengikut catatan sejarah, benih sawit dibawa ke Asia Tenggara dan ditanam di Taman Botani Singapura pada tahun 1870 yang sebelum itu di bawa oleh orang Belanda ke Indonesia pada tahun 1848. 

Kuala Selangor menjadi saksi apabila sebuah ladang sawit telah dibuka di sana pada tahun 1917. Ladang Estet Tannamaran ini telah memperolehi benih sawit daripada Rantau Panjang, Kuala Selangor yang dipanggil Dura Deli kerana benih ini asalahnya telah diperolehi daripada Deli, Indonesia yang ketika itu menggunakan pokok sawit sebagai tanaman hiasan.

Walaupun pada asalnya pokok Sawit dijadikan sebagai pokok hiasan di rantau ini (Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu) namun kehadiran pokok sawit ini telah berjaya diusahakan menjadi sumber ekonomi kepada negara melalui program pembiakan dan pemilihan baka sawit di Malaysia melalui Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 1912, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) mulai tahun 1969, Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada tahun 1979 dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak tahun 2000 sehingga kini.

Selain daripada pembukaan estet oleh pihak perladangan, kerajaan juga telah mengambil inisiatif untuk membuka kawasan ladang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar apabila Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah membuka tanah-tanah baru untuk diteroka dan dijadikan ladang kelapa sawit pada tahun 1960an. 

Sehingga tahun 2019, terdapat seluas 5.9 juta hektar tanah telah ditanam dengan sawit meliputi 2.98 juta hektar kawasan estet yang mana 578,707 hektar diusahakan oleh pekebun kecil tersusun dan 89,454 hektar diusahakan oleh persendirian kecil persendirian (PKP).

Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Dato' Mohd Khairuddin semalam,  kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat. Kempen melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen berkenaan dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

Bagi memastikan kempen ini akan memberikan kesan kepada pengguna, pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform dan acara yang akan dimaklumkan dari masa ke masa. 

Sesungguhnya sawit adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai kepada negara. Menyayangi dan menghargai sawit perlu kita terjemahkan dalam tindakan kita bersama. 

Sekian, terima kasih.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Sawit Anugerah Tuhan

20 November 2020

Ulasan