Hasil kutipan levi dijangka RM500 juta

 


RAUB: Kerajaan dijangka memperoleh hasil kutipan levi keuntungan luar biasa atau ‘durian runtuh’ sehingga RM500 juta jika harga minyak sawit terus stabil pada paras RM3,000 satu metrik tan sehingga tahun depan.

Pengerusi Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, stok minyak sawit negara kini berada di bawah paras dua juta tan dan permintaan daripada negara luar terus meningkat.

“Cukai luar biasa atau durian runtuh yang dikenakan terhadap hasil jualan sawit pada paras harga sekarang akan membolehkan negara mengutip cukai dianggar RM348 juta.

“Jika harganya terus stabil pada paras RM3,300 satu metrik tan ke atas sehingga 2021, kerajaan mungkin memperoleh RM500 juta atau lebih lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kempen Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil di pejabat KWL Bina Jaya Sendirian Berhad di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengurus KWL, Chang Kok Wah.

Ahmad Jazlan berkata, berkuat kuasa 1 Januari lalu, cukai luar biasa atau ‘durian runtuh’ sebanyak tiga peratus dikenakan apabila harga sawit mencecah lebih RM2,500 satu metrik tan bagi Semenanjung manakala Sabah serta Sarawak dikenakan cukai 1.5 peratus apabila komoditi itu mencecah RM3,000 ke atas.


Dalam pada itu, beliau meminta lebih ramai pekebun kecil persendirian mendaftar untuk pensijilan MSPO bagi memudahkan mereka memasarkan hasil sawit ke luar negara.

“Pekebun kecil di negara ini dianggarkan 481,375 orang manakala pekebun kecil persendirian seramai 248,182 orang dan mereka ini mengusahakan ladang seluas 959,444 hektar. Kita mendapati setakat ini lebih 30 peratus dalam kalangan pekebun kecil yang sudah disijilkan dan ramai yang belum memilikinya terdiri daripada pekebun kecil persendirian.

“Sijil MSPO amat penting dan menjadi penanda aras bagi memenuhi permintaan di peringkat antarabangsa di mana memberi keyakinan kepada negara pengimport bahawa minyak itu selamat digunakan,” katanya.

Ulasan