KM rayu bantuan buat mangsa banjir Johor



Sebanyak 47 PPS dibuka di seluruh Johor melibatkan daerah Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Batu Pahat dan Pontian dengan 4,930 mangsa membabitkan 1,289 keluarga telah dipindahkan sehingga jam 10.30 pagi, semalam.
Sementara itu, daerah Kluang dan Johor mencatatkan jumlah pembukaan PPS paling tinggi iaitu sebanyak 13 lokasi.
Sebanyak 10 laluan utama di negeri tersebut dinaiki air dengan tujuh daripadanya ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan paras air yang tinggi dan arus deras selain jambatan runtuh.

Tujuh jalan berkenaan adalah Jalan Sungai Sayong, Kota Tinggi (Jambatan Sungai Sayong); Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi; Jambatan Jalan Semanggar, Kota Tinggi manakala jambatan di Jalan Mawai Lama, Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, Johor Bahru runtuh.

Selain Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang (Pertubuhan Peladang Negeri Johor) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Pelangi) turut dinaiki air, manakala tiga laluan lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kluang-Mersing, Kluang (Kampung Contoh, Kahang) kerana tebing runtuh, selain dua lagi laluan masing-masing di Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Paloh) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (SMK Kahang).

Pengerusi Khidmat Malaysia (KM) Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya telah mula turun padang bagi menghulurkan bantuan yang diberikan beberapa badan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir di semua PPS yang telah dibuka, semalam.

Katanya, misi bantuan dimulakan semalam pada jam 9.00 pagi bermula di PPS Sekolah Taman Sri Kluang dan ke Bilik Operasi Khidmat Malaysia di Simpang Renggam.

“Pada waktu tengahari, kami singgah di PPS Taman Senai Utama, sebelum menghala ke Kampung Cahaya Baru.

“Seterusnya kami singgah ke Bilik Operasi Khidmat Malaysia di Simpang Renggam pada jam 5 petang, kemudian di PPS Sri Gading.

“Lokasi terakhir bantuan adalah di SMK Yong Peng yang terletak di Parlimen Air Hitam,” ujarnya dalam satu kenyataannya semalam.

Jelasnya, walaupun terdapat beberapa lagi kawasan PPS yang tidak berpeluang bagi menghulurkan bantuan, wakilnya telah melawat ke semua kawasan yang terjejas.

“Ada beberapa lagi kawasan yang saya tidak sempat untuk turun, antaranya Pontian, Mersing, Segamat dan Kota Tinggi, apapun Jawatankuasa Penyelaras Khidmat Malaysia di peringkat kawasan telah melawat semua lokasi berkenaan,” tambah Khairul.

Difahamkan Bandar Mersing telah terputus hubungan ekoran jalan menuju ke Kluang, Endau dan Kota Tinggi telah dinaiki air di beberapa bahagian, lewat petang semalam.

Sehubungan dengan itu, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang telah meninggal dunia semalam iaitu Allahyarhamah Halijah Majid dari Kampung Contoh, Kahang Johor akibat tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika hendak menuju ke PSS berdekatan.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan ini khususnya dalam kalangan anggota Khidmat Malaysia dan ahli gabungannya seperti Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan Lajnah Kebajikan PAS.

Dalam pada itu, pihaknya menggesa orang ramai agar dapat menghulurkan derma dan sumbangan melalui akaun CIMB 8006967429 di atas nama Perhubungan PAS Negeri Johor.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Bendahari Khidmat Malaysia Johor, Ekhwan Nazari di talian 0136002123.

Sebarang maklumat berkaitan banjir boleh dirujuk kepada senarai Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor yang dikeluarkan NADMA.

Bilik Gerakan Negeri Johor: 07-232 2484/85
Bilik Gerakan Daerah Johor Bahru:07-220 0604
Bilik Gerakan Daerah Kota Tinggi: 07-883 5451
PKOB Batu Pahat: 07-430 0817
Bilik Gerakan Daerah Kluang: 07-771 2687
PKOB Pontian: 07-688 2246
PKOB Kulai: 07-232 2481 – HARAKAHDAILY 3/1/2021

Ulasan