Pemimpin PN puas hati penjelasan darurat – PM


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan mengenai Ordinan Darurat.


Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa syukur dengan Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN petang semalam secara atas talian (VC) berlangsung dalam suasana akrab dan muhibah.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan telah dihadiri oleh 12 presiden parti dari BERSATU, Umno, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili timbalan presiden,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, malam tadi.

Menurutnya, mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat daripada Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Norhizan Ismail.

“Pelbagai isu telah dibincangkan dan kesemua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan panjang lebar mengenai Ordinan Darurat dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan imunisasi vaksin yang akan bermula pada bulan Februari 2021,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Presiden BERSATU menambah, Majlis Presiden Kerajaan PN akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politk dalam Kerajaan PN.

Ini, katanya demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

Ulasan