Setahun COVID-19 di Malaysia: KKM di landasan tepat


HARI ini genap setahun, warga barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia berdepan dengan kes COVID-19 di negara ini. Kes pertama ini membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif COVID-19 di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh. 

Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020. Begitu juga beberapa anugerah lain yang KKM terima dalam menguruskan COVID-19. 

Ini semua petanda, KKM telah berada di landasan tepat dalam melawan COVID-19 ini dan berjaya menangani gelombang pertama dan kedua virus ini pada tahun lepas. Kini semua rakyat Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19 sejak penghujung September, tahun lepas. 

Sehingga hari ini, seluruh warga KKM masih lagi komited, kerja tanpa putus asa dalam menghadapi virus COVID-19 ini. Hari ini kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini. 

Kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertinggi KKM dan juga barisan hadapan KKM yang sedang berjuang di hospital, PKRC, CAC dan klinik seluruh negara sekarang ini. Mesyuarat CPRC Kebangsaan secara virtual bersama dengan semua Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara. Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani COVID-19 dan memperkukuhkan 213 COVID-19 Assessment Center,CAC di seluruh negara.

Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus COVID-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA – HARAKAHDAILY 25/1/2021


https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/25/setahun-covid-19-di-malaysia-kkm-di-landasan-tepat/

Ulasan