KENYATAAN MEDIA : BENCANA BANJIR : SEMUA PIHAK PERLU TINGKATKAN KEWASPADAAN

KENYATAAN MEDIA : BENCANA BANJIR : SEMUA PIHAK PERLU TINGKATKAN KEWASPADAAN

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera,
1. Sejak beberapa hari yang lalu, Khidmat Malaysia Pusat telah menerima laporan berkaitan dengan hujan lebat yang mengakibatkan berlakunya banjir kilat di beberapa tempat di seluruh negara.
2. Ketika ini, negeri Sabah sedang berhadapan dengan banjir dengan kadar penurunan hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi tadi sehingga kini telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran. Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dilaporkan dibuka di negeri Selangor hari ini.
3. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telahpun mengeluarkan amaran cuaca waspada iaitu hujan lebat dijangka berlaku di beberapa lokasi di Sabah dan Labuan, sehingga hari ini. MetMalaysia juga beberapa hari yang lalu telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa lokasi seperti di seluruh Perlis dan Pulau Pinang, beberapa kawasan di Kedah, Perak, Johor dan Sarawak.
4. Walaupun fenomena ini bukan perkara luar biasa kerana mengikut laporan MetMalaysia bahawa ketika ini kita sedang berada dalam penghujung monsun Barat Daya dan pemulaan fasa peralihan monsun yang akan mengakibatkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang namun faktor kewaspadaan perlu dipertingkatkan kerana ianya berpotensi membawa fenomena seperti banjir kilat, tanah runtuh dan kepala air.
5. Khidmat Malaysia menyeru kepada semua penduduk yang terlibat dengan kawasan banjir supaya sentiasa berhati-hati, tidak mengambil risiko meredah arus banjir sama ada secara berjalan kaki ataupun menaiki kenderaan ringan kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa kerana adalah sukar untuk memastikan kedalaman air dan kekuatan arus deras semasa banjir berlaku.
6 Khidmat Malaysia Pusat mengarahkan supaya semua anggota bersiap sedia di semua peringkat bagi menghadapi berlakunya bencana banjir. Bilik Operasi di peringkat Negeri/Wilayah diarahkan dibuka untuk tujuan mengemaskini maklumat dan penyaluran laporan kepada Khidmat Malaysia Pusat.
7. Khidmat Malaysia Pusat akan mengemaskini maklumat dari semasa ke semasa di laman sosial Facebook dan akaun rasmi Twitter. Sumbangan boleh disalurkan kepada Khidmat Malaysia melalui akaun Maybank Khidmat Malaysia (No. Akaun 5642 9431 0529).
Sekian, wassalam.
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah
Khidmat Malaysia Pusat
21 September 2021

Ulasan