31 HARI LAGI : MUKTAMAR TAHUNAN PAS PUSAT





31 HARI LAGI : MUKTAMAR TAHUNAN PAS PUSAT

Perbezaan antara Muktamar Tahunan dan Muktamar Khas
Dalam Perlembagaan PAS telah memperuntukan 2 jenis Muktamar iaitu Muktamar Tahunan dan Muktamar Khas (FASAL 18. Muktamar PAS)
⏩⏩
Muktamar Tahunan.
Muktamar Tahunan itu hendaklah diadakan sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan April, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya lapan orang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada bilangan ahli-ahli Muktamar itu selain daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
⏩⏩
Muktamar Khas.
Muktamar Khas PAS bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau satu pertiga daripada PAS Kawasan-kawasan. Maka dalam Muktamar Khas ini tidaklah boleh, dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan.
Senarai Mesyuarat Agung Khas PAS yang pernah dilaksanakan ;
1. Mesyuarat Agung Khas 1953.
Diadakan pada 26 September 1953 di Madrasah Al-Masriyyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan pendirian PAS untuk meneruskan penyertaan dalan Persidangan Kebangsaan (National Conference) atau keluar dan menyertai Perhimpunan Kebangsaan (National Convention).
Persidangan Kebangsaan ditubuhkan awal 1953 oleh Dato' Onn Jaafar (Parti Kemerdekaan Malaya), dan turut dianggotai oleh pertubuhan seperti Kongres India Malaya, Persatuan Ceylonese Malaya, Kerjasama Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC). Ia juga dihadiri oleh 16 orang kenamaan dari pelbagai kaum termasuk tujuh orang Menteri Besar seperti Datuk Nik Ahmad Kamil (Menteri Besar Kelantan), Dato' Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak). Ia telah mengadakan beberapa kali persidangan sebelum PAS menyertainya pada April 1953.
Perhimpunan Kebangsaan diadakan oleh Tunku Abdul Rahman, dan dihadiri oleh UMNO, MCA, PMS, PAS, Persetiaan Melayu Kelantan (PMK), Parti Buruh Se-Malaya (PMLP) dan Pertubuhan Pembayar Sewa Selangor (SRCA). Ia berlaku pada 23 Ogos 1953.
2. Mesyuarat Agung Khas PAS 1957
Diadakan pada 2 Mei 1957. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan pendirian PAS terhadap Penyata Reid 1957 yang menyentuh soal kerakyatan negara Tanah Melayu.
3. Mesyuarat Agung Khas PAS 1961
Diadakan pada 5 Oktober 1961 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini membincangkan isu penubuhan Melayu Raya yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.
4. Mesyuarat Agung Khas PAS 1962 (Mesyuarat gagal akibat kekurangan korum)
Ia cuba diadakan pada 22 April 1962 di Dewan Masyarakat Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
5. Mesyuarat Agung Khas PAS 1972
Diadakan pada 21 Disember 1972 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini diadakan bagi memutuskan persetujuan membentuk kerajaan campuran PAS-Perikatan di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Sekian, terima kasih.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
PSUA PAS
5 Oktober 2021
Info tambahan, rujuk ke ;

Ulasan