URA-URA PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR : UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

URA-URA PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR : UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
1. Secara tiba-tiba tumpuan politik difokuskan ke negeri Johor, kononnya akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat. Kenyataan YAB Dato' Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor yang menggambarkan bahawa PRN perlu diadakan kerana ketidakstabilan kerajaan yang kini hanya mempunyai majoriti Satu kerusi sahaja masih belum lagi dapat dipastikan lagi sejauh mana keseriusannya.
2. Ia bermula dengan berita kematian Dato' Osman bin Sapian pada 21 Disember 2021 yang menyebabkan kerajaan pimpinan Dato' Hasni semakin berkurang majoritinya sehingga menyebabkan ada ura-ura perlunya diadakan PRN bagi menstabilkan kedudukan kerajaan negeri Johor.
3. Walaupun tidak ada kenyataan daripada mana-mana ADUN kerajaan khususnya daripada PAS dan BERSATU yang mahukan DUN dibubarkan ataupun mahu manarik diri dari menyokong kerajaan namun ia cuba diheret ke arah persepsi bahawa DUN perlu dibubarkan.
4. Saya masih ingat lagi satu kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebut bahawa kos untuk mengendalikan PRN Melaka baru-baru ini mencecah RM46 juta, bukan satu jumlah yang sedikit. Bukan sedikit jumlah wang yang telah dihabiskan untuk menghadapi PRN Melaka ini. Itu belum lagi kos yang telah dikeluarkan oleh parti-parti yang bertanding semasa PRN Melaka yang lalu.
5. Agaknya berapakah jumlah yang perlu diperuntukkan untuk mengadakan PRN di Johor? Sebagai perbandingan, negeri Melaka mempunyai 28 DUN berbanding Johor yang mempunyai 56 DUN dan jumlah pengundi di Johor sudah tentulah jauh lebih tinggi dari Melaka.
6. Menteri Besar Johor perlulah mempertimbangkan perkara ini dengan sebaiknya, perlu memikirkan apa yang perlu diutamakan ketika ini. Adakah berbaloi kerajaan menghabiskan wang untuk menghadapi PRN yang sebenarnya boleh ditangguhkan ketika ini.
7. Saya berpandangan, dalam soal ini, kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta proses untuk memulihkan ekonomi perlu lebih diutamakan setelah negara dan rakyat menghadapi bencana COVID19 yang masih lagi belum pulih sepenuhnya.
8. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Johor ketika ini tidak melihat bahawa pembubaran DUN adalah sebagai langkah yang perlu diutamakan.
9. Justeru perkara yang paling penting kita perlu fokuskan ketika ini adalah kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Johor. Saya percaya ia juga menjadi pertimbangan Dato' Hasni untuk membuat keputusan yang penting ini.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang
15 Januari 2022

Ulasan