Perancangan Muhyiddin lebih berkesan


BATU PAHAT - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan perancangan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri dilihat berkesan sehingga hari ini.

Khairul Faizi turut memberikan contoh bagaimana kerajaan PN sewaktu pimpinan Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia divaksinkan dan perancangan pelbagai jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Bagaimana kaedah Muhyiddin menangani, walaupun pada masa itu timbul kononnya kerajaan gagal dan tidak berjaya dengan kes Covid-19 pada masa itu agak tinggi.

“Tetapi kita tidak melihat itu sebagai gagal sebab itu adalah fenomena yang kita hadapi ketika itu. Istilah gagal tidak boleh kita guna walaupun ada kelompok-kelompok sebelum ini gunakan perkataan gagal semasa Muhyiddin.

“Bagi kita, itu adalah fenomena yang perlu kita hadapi dan tangani bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Di bawah pemerintahan Muhyiddin, rakyat diminta untuk mengambil vaksin Covid-19.

Selain daripada itu, antara bantuan yang diumumkan oleh Muhyiddin bagi membantu rakyat berdepan penularan wabak Covid-19 adalah seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Pada 2 Mac, Muhyiddin kemudiannya melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’.

Muhyiddin berkata, PN menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpasukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

Mengulas lanjut, Khairul Faizi berpendapat dengan ikrar yang dilancarkan oleh Muhyiddin itu, calon PN bersedia untuk menjadikan agenda rakyat sebagai agenda utama.

“Rakyat menjadi tumpuan kita. Segala bentuk permasalahan rakyat, menjadi keutamaan kita.

“Dalam masa yang sama, untuk mencapai hasrat membantu rakyat kita letakkan integriti itu sebagai perkara yang paling utama dalam kerajaan PN yang kita akan bentuk pada masa akan datang,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pemberian bantuan yang diberikan menerusi bajet, Khairul Faizi menyifatkan pemerintahan pada waktu itu sangat kritikal sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

“Dengan pelbagai dana yang telah disalurkan kepada rakyat dengan pelbagai pakej. Pada masa itu adalah masa yang sangat kritikal.

“Ada yang menghadapi tekanan perasaan kerana tidak boleh keluar rumah dan ada yang tidak dapat berjumpa dengan keluarga dalam tempoh yang panjang,” ujarnya.

Khairul Faizi juga berpandangan sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, keadaan ekonomi negara sudah semakin pulih.

“Kalau kita lihat hari ini, tak ada isu orang sudah tidak boleh keluar kerja dan orang yang hilang kerja (sebelum ini) sebahagiannya sudah mendapat kerja.

“Ketika ini kita tidak mendengar orang kena buang kerja kerana ekonomi sudah berjalan,” jelasnya

https://pru.sinarharian.com.my/info-berita/4434/perancangan-muhyiddin-lebih-berkesan

Ulasan