Muafakat Nasional formula terbaik hadapi PRU15

 


Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR


KOTA BHARU: Hubungan antara PAS dan Umno di peringkat negeri khususnya di Kelantan dan Terengganu akan diputuskan PAS Pusat.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS masih lagi menganggap konsep penyatuan ummah yang digagaskan parti itu dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) tetap diteruskan.

Katanya, malah ia merupakan formula terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apa yang difahami PAS berdasar Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya MN boleh disertai mana-mana parti, NGO atau individu yang mempunyai matlamat ke arah penyatuan ummah,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA, Mohd Hashim Mustapha di kediamannya di Kampung Guchil Bayam.

Umno Kelantan pada awal tahun ini memutuskan hubungan rasmi dengan PAS. Begitu juga Umno Terengganu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15.

Takiyuddin juga berkata, PAS masih lagi berharap penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu-Islam, parti Bumiputera dan bukan Melayu yang tidak ekstrem.

Menurutnya perkara itu acap kali disebut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Parti-parti yang bersama dalam kerajaan sekarang tiada masalah, di mana kita kerap mengulangi slogan ‘Memperkasakan MN dan Memperkuat Perikatan Nasional (PN)’.

“Kita masih lagi mengharap sesuatu yang terbaik untuk masa depan rakyat di negara ini. Kita juga berharap Umno pun begitu juga,” ujarnya.

Kata beliau juga PAS dan Umno masih boleh berbincang seperti berlaku dalam Kabinet sekarang yang disertai banyak parti.

Oleh itu beliau berkata, tidak mustahil demi kepentingan masa depan negara memerlukan penyatuan dan perkongsian kuasa melibatkan semua etnik, kaum, bangsa dan agama di Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/5/2022

https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/06/muafakat-nasional-formula-terbaik-hadapi-pru15/

Ulasan