ISU PULAU BATU PUTEH : TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP PENGKHIANAT DISOKONG



Saya tertarik dengan gesaan supaya pengkhianat yang mengakibatkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas. Kerajaan Johor melalui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan bahawa walaupun ada pihak yang beranggapan pulau yang hanya sebesar padang bola itu tidak mempunyai kepentingan dari sudut ekonomi, namun ia cukup bererti dari sudut kedudukan maritim.

Pada 10 Jun 2018 saya telah menulis berkaitan dengan isu Pulau Batu Puteh dengan tajuk Penarikan Semakan Semula Pulau Batu Puteh Rugikan Masa Hadapan Negara dan telah saya siarkan di laman web saya.


Saya juga telah membuat ulasan terhadap perkara ini dalam harakahdaily pada 11 Oktober 2021,


Malaysia sebenarnya telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2 Februari 2017 berhubung Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Sangat jelas bahawa kerajaan Malaysia telah mempunyai bukti yang kuat dan kukuh melalui tiga dokumen yang dimiliki iaitu tiga dokumen penting untuk di bawa ke ICJ iaitu dokumen telegram sulit pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri-negeri Jajahan yang mencadangkan pembentukan koridor perairan antarabangsa kira-kira 1.6 kilometer dari pulau tersebut sekali gus menunjukkan beliau tidak menganggap Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

Dokumen Kedua pula adalah laporan insiden kapal pada 1958 yang menyebut tentang ketidakmampuan tentera laut Britain untuk membantu kapal Malaysia yang diekori oleh bot bersenjata Indonesia dekat pulau tersebut kerana ‘kawasan’ itu berada dalam wilayah perairan Johor. Manakala dokumen Ketiga adalah merupakan peta pada 1962 yang mempunyai nota tulisan tangan pada 1969 yang menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak melebihi sekitar Pulau Batu Puteh.

Namun segala-galanya musnah akibat daripada tindakan terburu-buru Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Penarikan balik semakan ini terus menjadi satu persoalan yang masih belum terjawab. Pelbagai andaian telah disebarkan namun masih bertemu dengan sebab yang sebenarnya. Dr Mahathir sudah pasti lebih mengetahui alasan-alasannya namun masih juga tidak mendedahkan butiran-butiran tersebut.

Pada 15 Mei 2022, Sultan Ibrahim Iskandar ketika pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes ini menegaskan bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum. Tuanku bertitah bahawa ia adalah soal kedaulatan negeri Johor dan rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan Pakatan Harapan mengambil keputusan untuk menarik balik.

Gesaan MB Johor untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengkhianat yang mengakibatkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan pengkhianat ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang telah dilakukannya.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
27 Zulkaedah 1443 bersamaan 27 Jun 2022

 

 

Ulasan