KRISIS POLITIK DAN MASA HADAPAN SUDAN : SATU PEMERHATIAN



Muqaddimah

Melihat sendiri keadaan penduduk di Qadarif dan kawasan persekitarannya maka saya boleh katakan bahawa keadaannya di sini tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan keadaan di negara kita pada zaman 60an dan 70an dahulu. Keadaan jalan, bangunan, sistem perparitan dan pengurusan sampah memang jauh ketinggalan.

Sepanjang 3 hari kami di Qadarif, kami juga tidak bertemu dengan seorang pun warga asing melainkan kumpulan kami sahaja. Kami memang dilihat asing dan terasing, mujurlah bersama-sama kami beberapa orang wakil pertubuhan yang menguruskan kami di sini.

Pada mulanya kami berasa hairan kenapa mereka menegur kami "Hi Chinese!" namun dijelaskan kepada kami bahawa mereka lebih mengetahui orang China sahaja selain dari orang Arab. Mungkin bila disebut Malaysia pun ramai yang tidak tahu.

Umumnya, prasarana di sana masih mundur, sistem pendidikan masih tidak tersusun, sumber ekonomi dan sistem komunikasi yang terhad telah memberikan gambaran keadaan mereka di sana dan mempengaruhi kehidupan harian.

Faktor ketidakstabilan politik, muka bumi yang sangat luas dan tanah yang kurang sesuai untuk bercucuk tanam menyebabkan sukar untuk membangunkan ekonomi negara dan penduduk.

Sebahagian besar penduduk di Qadarif mengusahakan peliharaan haiwan (lembu, kambing dan unta) dan bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri.

Apa yang membanggakan adalah kehendak mereka kepada Islam. Masjid sangat mudah untuk di temui walaupun ada bangunan masjid keadaannya uzur.

Bila berada di perkampungan kawasan melaksanakan ibadah korban, mereka dilihat berebut-rebut mahukan senaskah al-Quran tanpa menghiraukan lembu dan kambing yang telah disiap dikorbankan.

Sudan Berpotensi Dibangunkan

Sudan telah pun mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1956, lebih awal dari Malaysia. Keluasan negara ini hampir enam kali ganda dari keluasan Malaysia yang sebenarnya sangat berpotensi untuk dibangunkan khususnya dalam bidang industri perkilangan dan penternakan.

Dengan jumlah penduduk seramai 45.7 juta orang, tenaga kerja sudah tentulah bukannya menjadi satu halangan besar.

Secara kasarnya, kita dapat melihat betapa muka bumi Sudan masih cukup luas untuk didiami dan diterokai namun hakikatnya masih belum dimajukan.
70% penduduk Sudan terdiri daripada Arab Sudan, 5.5% dari kaum Beja, 2.5% pula kaum Nuba, 2% dari kaum Fur dan 1.2% adalah etnik Mesir yang menetap di sini.

90% penduduk Sudan adalah beragama Islam dan bakinya adalah Kristian (5.4%) serta fahaman tradisi lain.

Islam adalah agama rasmi Sudan dan undang-undang Islam/Syariah dilaksanakan dari 1983 hingga 2020 sebelum kerajaan memutuskan untuk menghapus undang-undang Islam di Sudan.

Politik Negara Pengaruhi Kehidupan Rakyat

Sistem politik Sudan telah disusun semula apabila berlaku rampasan kuasa tentera pada 30 Jun 1989 yang dilakukan oleh Omar al-Bashir, ketika itu beliau adalah seorang Brigedier dalam Tentera Sudan, mengetuai sekumpulan pegawai dan menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Sadiq al-Mahdi.

Di bawah pimpinan al-Bashir, kerajaan tentera baharu menggantung parti politik dan memperkenalkan kod perundangan Islam di peringkat kebangsaan.

Beliau kemudiannya menjadi Pengerusi Majlis Perintah Revolusi untuk Keselamatan Negara (sebuah badan yang baru ditubuhkan dengan kuasa perundangan dan eksekutif untuk apa yang digambarkan sebagai tempoh peralihan) dan menyandang jawatan Ketua Negara, Perdana Menteri, Ketua Angkatan Tentera dan Menteri Pertahanan.

Selepas menginstitusikan undang-undang Syariah di bahagian utara negara bersama-sama dengan Hassan al-Turabi, al-Bashir mengeluarkan pembersihan dan hukuman mati di peringkat atasan tentera, pengharaman persatuan, parti politik, dan media.

Pada tahun 1993, Sudan berubah menjadi negara satu parti totalitarian Islam apabila al-Bashir memansuhkan Majlis Perintah Revolusi dan mewujudkan Barisan Nasional Islam (NIF) dengan parlimen dan kerajaan baharu yang diperolehi semata-mata oleh ahli NIF dan mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden Sudan.
Omar al-Basyir Digulingkan

Pada 11 April 2019, al-Bashir dan kerajaannya telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Naib Presiden pertamanya dan Menteri Pertahanan, yang kemudiannya menubuhkan junta tentera yang memerintah hingga kini.

Majlis Berdaulat Sudan, badan tentera-sivil yang merupakan kuasa tertinggi dalam kerajaan peralihan, telah memerintah Sudan sejak kejatuhan Omar al-Bashir. Perdana Menteri Abdalla Hamdok ialah ketua awam kabinet.

Undang-Undang Syariat Islam dihapuskan walaupun Majlis Kerajaan Sementara Tentera Sudan (TMC) mahu undang-undang Islam kekal menjadi asas panduan dalam merangka draf perundangan baru negara itu kerana draf itu meminggirkan undang-undang Islam yang sepatutnya menjadi asas kepada semua undang-undang.

Sehingga Ogos 2021, negara itu dipimpin bersama oleh pengerusi Majlis Kedaulatan, Abdel Fattah al-Burhan dan Perdana Menteri Abdallah Hamdok.

Abdulla Hamdok Digulingkan Dalam Rampasan Kuasa

Pada 25 Oktober 2021, tentera Sudan yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan, menangkap Hamdok dan tokoh kanan kerajaan yang lain dalam rampasan kuasa. Kementerian Penerangan mengisytiharkan bahawa Hamdok masih pihak berkuasa peralihan yang sah dan menggesa pembebasan segera Perdana Menteri dan semua pegawai yang ditahan.

Pada 25 Oktober 2021 juga, Majlis Kedaulatan dan kerajaan Sudan telah dibubarkan selepas digulingkan dalam rampasan kuasa Sudan 2021.

Pada 21 November 2021, Hamdok dilantik semula sebagai perdana menteri selepas perjanjian politik ditandatangani oleh jeneral tertinggi Sudan Abdel Fattah al-Burhan untuk memulihkan peralihan kepada pemerintahan awam. Perjanjian 14 perkara itu menggesa pembebasan semua tahanan politik yang ditahan semasa rampasan kuasa dan menetapkan bahawa deklarasi Perlembagaan 2019 menjadi asas kepada peralihan politik.

Abdulla Hamdok Letak Jawatan

Pada 2 Januari 2022, Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dengan mengatakan bahawa negara itu berada pada titik perubahan yang berbahaya dan perbincangan meja bulat diperlukan untuk mencapai persetujuan baharu bagi peralihan politik Sudan kepada demokrasi.

Sudan Mesra Israel

Sudan adalah negara yang kuat menentang Israel sejak sebelum merdeka lagi. Namun segala-galanya berubah setelah kerajaan digulingkan pada tahun 2019. Kerajaan Sudan telah mula mewujudkan hubungan ekonomi dengan Israel.

Tiba Masanya Rakyat Tentukan Kerajaan Yang Mereka Impikan

Saya fikir bahawa rakyat Sudan mahukan peralihan politik yang aman untuk negara itu berkembang maju dan menuju ke masa depan yang lebih baik dan cerah. Saya amat percaya bahawa masa hadapan negara ini termasuklah Pilihanraya yang dijangkakan akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2023) dikendalikan sendiri oleh rakyat.

Negara Sudan berpotensi untuk dibangunkan dengan mencari peluang baharu dalam peluang ekonomi.

Masalah yang sering dihadapi oleh negara Sudan adalah kemerosotan kualiti tanah, peningkatan suhu, kemarau dan banjir yang kerap, hujan yang tidak menentu dan serangan serangga seperti belalang yang telah menurunkan pengeluaran pertanian, memperlahankan pertumbuhan KDNK dan memusnahkan mata pencarian.

Kemarau dan banjir yang berlaku menyebabkan 20% daripada kawasan yang dituai setiap tahun rosak dan menyebabkan kematian beribu-ribu ternakan. Risiko iklim bertambah teruk oleh eksploitasi sumber asli yang tidak mampan dan keupayaan institusi dan manusia yang lemah mempengaruhi produktiviti negara.

Penutup

Sudan perlu keluar dari halangan-halangan ini, perlu bertindak dan berfikir diluar kotak. Namun paling penting dan utama ketika ini adalah kestabilan politik dan pemerintahan negara.

Ianya bukan mustahil jika ada kehendak dan hasrat yang tinggi.

Dalam masa yang sama, masyarakat antarabangsa perlu teruskan usaha dan berganding bahu untuk membantu rakyat Sudan. Mereka adalah saudara kita, mereka perlu dibela.

Sekian. Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
15 Zulhijjah 1443 /14 Julai 2022
Khortoum, Sudan.

Ulasan