YANG BERHORMAT SENATOR TUAN BALASUBRAMANIAM : UCAPAN PERBAHASAN SOSMA

 






YANG BERHORMAT SENATOR TUAN N. BALASUBRAMANIAM, JP
---------------------------------------------------------
UCAPAN PERBAHASAN
BAGI MESYUARAT KHAS, PENGGAL KELIMA, PARLIMEN KEEMPAT BELAS,
MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA

Terima Kasih Tuan Yang Di Pertua Dewan Negara kerana memberi saya ruang untuk membahaskan Usul Pelanjutan Tempoh Kuat Kuasa Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 selama 5 tahun lagi mulai 31 Julai 2022 seperti mana yang telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Tuan Yang Dipertua,

Dua bulan yang lalu, seorang lelaki yang bernama Murali Shunmugam yang berusia 36 tahun dari Bukit Selambau telah didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal sebelum salah seorang suspek melepaskan beberapa tembakan di depan sebuah restoran di Jalan Bakar Arang, di Sungai Petani Kedah dan tembakan itu mengenai kepalanya dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Lebih menyayatkan hati, peristiwa ini berlaku di hadapan isteri dan anak lelaki mendiang yang sedang berjalan keluar dari restoran di seberang jalan.

Peristiwa ini memang amat-amat mengejutkan. Malah lebih mengejutkan lagi apabila mangsa yang terbunuh dalam insiden itu dipercayai individu yang dikehendaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan pengedaran dadah.

Tuan Yang Dipertua,

Kita jangan lupa tentang isu krisis pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013  apabila seramai 104 warga Filipina yang disyaki ada kaitan dengan Jamalul Kiram III, salah seorang yang menuntut takhta Kesultanan Sulu, ditahan di bawah SOSMA. Mereka termasuklah beberapa ahli keluarga Kiram yang memasuki negeri Sabah menggunakan identiti palsu.

Tuan Yang Dipertua,

Kita juga baru dikejutkan apabila seorang Presiden Parti Politik di Sabah telah ditangkap dan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada bulan yang lalu selepas dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan 'kad kebal' kepada warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Sudah tentulah, perkara-perkara seperti ini memerlukan satu peruntukan undang-undang seperti SOSMA dan ianya perlulah diberikan peruntukan dan satu ruang masa yang lebih panjang supaya hasil siasatannya lebih meyakinkan dan adil.

Tuan Yang Dipetua,

SOSMA sebenarnya begitu jauh berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana prosedurnya yang lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik. Saya percaya bahawa inilah menjadi punca kenapa SOSMA masih lagi diragui oleh sebahagian dari rakyat Malaysia.

Terkandung di dalam subseksyen 4(3) yang menyebut "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya."

Walaupun telah dinyatakan secara jelas di sini namun ia mestilah benar-benar dapat dilaksanakan dengan adil tanpa campur tangan pihak lain khususnya daripada kalangan pemimpin kerajaan, seperti mana yang pernah berlaku ketika ISA dilaksanakan. ISA dimansuhkan kerana terdapatnya unsur salah guna terhadap peranannya yang dijadikan alat untuk kepentingan pihak tertentu.

Tuan Yang Dipertua,

Subseksyen 4(4) mestilah disusuli dengan Subseksyen 4(5). Tanpa Subseksyen 4(5), Subseksyen 4(4) yang memperuntukkan bahawa orang yang ditangkap dan ditahan boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi maksud penyiasatan tidak mampu untuk mendapatkan hasil penyiasatan yang tepat. Dibimbangi juga, dengan hanya tempoh 24 jam, pihak Polis akan cuba menggunakan pelbagai usaha termasuk kekerasan yang akhirnya akan menyebabkan mereka yang tidak bersalah terpaksa membuat pengakuan bersalah.

Subseksyen 4(5) pula memperuntukkan bahawa seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Jika subseksyen 4(5) ini tidak dilanjutkan dan diluluskan di Dewan Negara ini, pihak polis hanya boleh menggunakan subseksyen 4(4) iaitu tempoh siasatan selama 24 jam sahaja untuk menyiasat kes jenayah terancang, kes sindiket penyeludupan migran, kes kumpulan keganasan dan termasuklah kes penipuan atas talian (scammer) yang semakin berleluasa.

Tuan Yang Dipertua,

Apa yang penting dalam kita melaksanakan SOSMA ini adalah keadilan mesti ditegakkan. Kerajaan perlu memastikan bahawa kecaman dan bantahan yang telah dibuat terhadap ISA sebelum ini tidak berlaku kerana keadilan adalah dituntut di dalam agama Islam.

Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud ;

“Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil”
(Surah An-Nisa’ ayat 58)

Nabi Muhammad juga bersabda yang bermaksud;

“Barang siapa menganiaya sejengkal sahaja dari tanah, Allah akan mengalungkannya tujuh bumi kepadanya pada hari Kiamat.”

Tuan Yang Dipertua,

Apa yang penting di sini adalah keperluan untuk kita berikan ruang yang secukupnya kepada pihak polis untuk melakukan tugas mereka bagi memastikan negara kekal bebas daripada ancaman keselamatan khususnya serangan dan kegiatan pengganas.

SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memantau perjalanan SOSMA ini dengan sebaiknya. Jangan ulangi kesilapan ketika ISA dilaksanakan. ISA adalah satu akta yang penting untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara namun ianya mula dipertikaikan apabila ada tangan-tangan yang cuba menjadikannya sebagai alat politik yang akhirnya menyebabkan ISA terpaksa dimansuhkan.

Tuan Yang Dipertua,

Dengan ini, saya menyokong Usul yang dibentangkan ini.

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR BALASUBRAMANIAM A/P NACHIAPPAN, JP
Ahli Dewan Negara
27 Julai 2022

 


Ulasan