Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022




Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 

Tuan Yang Dipertua, 

Terima kasih kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas dalam Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 

Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2022 tidak banyak bezanya kerana fokusnya adalah untuk memberikan Ketua Pengarah kuasa untuk menentukan bentuk dan cara ataupun memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk membuat keputusan dalam hal-hal yang berkaitan di dalam pindaan inil 

Tuan Yang Dipertua, 

Cuma ada beberapa perkara yang saya lihat diberikan penekanan terhadap RUU ini iaitu berkaitan dengan aspek kawalan di Perlabuhan. 

Di dalam Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 ini memperuntukan pada Fasal 2 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pindaan am berhubung dengan seksyen 57, 59, 83, 86, 94, 163d, 163m dan 163t, dan subseksyen 16(1), 37(1), 38(2), 52(1), 54(1), 56(1), 58(1), 81(1), 84(1) dan 143(2), dan perenggan 93(1)(e), 128(3a)(b) dan 133(1)(g) adalah berkaitan dengan perkara teknikal, antaranya ; 

Perkara teknikal seperti pelepasan pelabuhan, akuan tentang suatu senarai lengkap keseluruhan kargo atas vessel dan apa jua perkara yang berkaitan dengan perlabuhan adalah perlu diserahkan urusannya kepada pihak Kastam Diraja Malaysia kerana ianya adalah urusan pentadbiran yang perlu disegerakan. 

Perkara seperti akuan apa-apa barang yang diimport melalui laut atau udara yang tidak berduti apabila diimport, akuan apa-apa barang yang diimport melalui jalan raya yang tidak berduti apabila diimport; akuan apa-apa barang yang dieksport melalui laut atau udara yang tidak berduti apabila dieksport dan akuan apa-apa barang yang dieksport melalui jalan raya yang tidak berduti apabila dieksport sememangnya sudah cukup diserahkan kepada Ketua Pengarah untuk membuat penilaian dan keputusan yang sewajarnya. 

Tuan Yang Dipertua, 

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Kastam Diraja Malaysia kerana telah berjaya melaksanakan tugas dalam merampas barangan seludupan, antaranya ; 

Pada 1 Ogos 2022, Kastam Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 10.2 juta batang rokok putih tidak berkastam dianggarkan bernilai lebih RM7.35 juta termasuk nilai cukai dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor. 

Pada 2 Ogos, sebanyak 66,000 tin dan botol minuman keras bernilai RM181,595.07 telah dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah gudang di Kampung Telok Gong dekat Pelabuhan Klang, Selangor. 

Terbaharu, pada 10 Ogos, Kastam telah berjaya mematahkan sindiket pengedaran daun ketum sebanyak 1,450 kilogram selepas serbuan dilakukan ke atas sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Ketereh, Kelantan. 

Semoga Kastam Diraja Malaysia akan terus memberikan komitmen untuk membasmi penyeludupan yang merugikan negara. 

Tuan Yang Dipertua, 

Saya ada beberapa soalan untuk diajukan kepada pihak Kementerian berkaitan RUU ini. Pertamanya, apakah mekanisme yang diwujudkan oleh pihak kerajaan dan Kastam untuk memastikan bahawa penyelupan di sempadan Malaysia-Thailand yang khususnya di sempadan negeri Kelantan, Kedah dan Perlis. 

Keduanya, berapakah tangkapan yang telah dibuat oleh Kastam terhadap penyeludupan minyak masak paket 1kg dan berapa banyakkah kuantiti yang berjaya dirampas sehingga bulan Julai 2022? Tuan Yang Dipertua, Saya dengan ini menyokong Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022 dengan dua soalan yang perlukan maklumbalas daripada Kemeterian. 

Sekian. 

Terima Kasih. 

YB SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP

Ulasan