RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022



RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022

Salam sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas di dalam perbahasan ini yang melibatkan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022

Pindaan ini melibatkan pindaan seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] untuk meminda subseksyen 5(2) dengan menggantikan perkataan “empat ribu ringgit” di mana-mana jua terdapat dengan perkataan “lima ribu ringgit”.

Tujuan utama pindaan RUU ini adalah bagi menambah baik liputan keselamatan sosial dengan meningkatkan faedah tertentu yang diterima pekerja.

Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sumber Manusia kerana pindaan ini adalah wajar untuk memberi perlindungan lebih meluas kepada mereka berpendapatan lebih RM4,000-RM5,000. Mengikut rekod Kementerian, terdapat 7.78 juta pekerja warganegara dan sejuta pekerja asing berdaftar dengan Perkeso setakat Mei tahun ini. 19.7 juta warganegara dan 1.94 juta bukan warganegara pekerja berdaftar dalam sistem Perkeso. Manakala bilangan penerima faedah keseluruhan ialah 678,329 orang setakat Disember 2021.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ada membaca komentar seorang pakar Ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd Zouhair Rosli bahawa tiga daripada lima pekerja yang hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan selepas negara diserang coronavirus berusiadi bawah 40 tahun, dengan kebanyakan mereka daripada sektor tidak formal yang tidak menawarkan sebarang jaringan keselamatan sosial.

Dalam kaji selidik, beliau mendapati bahawa tiga daripada lima pekerja sektor tidak formal berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19, sebanyak 50 peratus daripada mereka kehilangan perniagaan.

Kerajaan juga perlu mengambil kira kedudukan rakyat Malaysia yang bekerja di sektor tidak formal. Dilaporkan bahawa sebanyak 2.5 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor tidak formal ini dengan bilangan belia berusia antara 20 hingga 30 tahun yang bekerja di sektor ini meningkat dua kali ganda daripada enam peratus pada 2016 kepada 12 peratus pada 2019, walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan pendapatan tetap.

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan perlulah sentiasa memberikan perhatian kepada keadaan dan persekitaran kerja golongan pekerja di negara ini melalui langkah-langkah positif termasuklah pindaan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 ini. Walaupun pindaan ini hanya melibatkan pindaan kecil namun ia memberikan impak yang besar kepada golongan pekerja yang berkaitan. Ia sebagai tanda hormat kerajaan kepada golongan pekerja yang turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan sebagai pemimpin terhadap orang yang dipimpin.

Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya"
(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Tuan Yang Dipertua,

Rakyat Malaysia masih lagi sedang berusaha untuk pulih daripada kesan pendemik Covid19. Pagi tadi saya ada terbaca satu laporan berita bahawa seramai 4,037 rakyat Sarawak hilang pekerjaan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, daripada jumlah itu, seramai 3,002 individu hilang pekerjaan pada 2020, manakala 1,035 lagi menerima nasib sama pada 2021.

Saya yakin bahawa perkara ini juga berlaku di seluruh negeri-negeri yang lain. Saya memohon Kementerian Sumber Manusia dapat memberikan statistik jumlah pekerja yang telah dibuang kerja dan jumlah mereka yang telah kembali mendapatkan kerja baharu sehingga bulan Julai yang lalu.

Tuan Yang Dipertua,

Dengan penghujahan ini maka saya menyokong RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022.

Sekian, Terima Kasih.

YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAN A/L NACHIAPPAN, JP



Ulasan