RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022



RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya peluang dan ruang untuk berbahas dalam Rang Undang-Undang RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 

Saya melihat bahawa pindaan ini adalah satu tindakan yang wajar dilakukan atas urusan untuk memperkemaskan struktur pentadbiran yang melibatkan penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas dalam prosiding perbicaraan rayuan jenayah, serta mengehadkan rayuan untuk kes-kes interlokutori sivil. 

Tuan Yang Dipertua, 

Islam meletakkan kepentingan di dalam pengurusan organisasi. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan ; 

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” 

Surah As-Saff ayat 4 Adalah sangat penting untuk kita memahami bawa pindaan ini tidak melupuskan hak pihak-pihak untuk merayu dan didengar kerana mereka masih mempunyai ruang menghujahkan kes dalam perbicaraan penuh dan mahkamah akan memberikan penghakiman berdasarkan merit sesuatu kes. 

Adalah penting juga bahawa pindaan ini adalah untuk menunjukkan bahawa hanya kes yang mempunyai merit akan didengar di Mahkamah Rayuan dan menjadikan pentadbiran kehakiman lebih efektif dan masa serta kos pihak terlibat dapat dijimatkan tanpa menjejaskan keadilan dan hak mana-mana pihak. 

Dalam dunia kmoden dan canggih ini, peningkatan pengurusan dalam penghantaran maklumat sememangnya sangat dituntut. 

Penghantaran maklumat secara manual atau serahan tangan akan menyebabkan pengurusan mahkamah akan ketinggalan. 

Saya beri satu contoh bagaimana Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah menggunakan kaedah menghantar laporan tahunan Pertubuhan melalui pengisian maklumat atas talian untuk semua pertubuhan kecuali Pertubuhan Politik. Ia telah membantu pengurusan dan sangat effisien. 

Oleh itu, RUU ini telah membolehkan cara alternatif kepada pihak terlibat berkaitan serahan rekod dan dokumen berkaitan rayuan jenayah secara dalam talian, termasuk serahan Notis Rayuan dan dokumen lain berkaitan prosiding rayuan. 

Ini bukan bermakna serahan secara manual dihapuskan kerana ia masih diperlukan pada keadaan-keadaan tertentu. 

Tuan Yang Dipertua, 

Dalam masa yang sama, saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada Menteri terhadap beberapa persoalan yang saya kemukakan ini ; 

Pertama ; Adakah kerajaan memperuntukkan bajet untuk penambahbaikan fasiliti dan kemudahan di setiap Mahkamah? 

Saya ingin memberikan satu contoh iaitu Mahkamah Jerantut yang perlu diperbaiki bilik air dan ketiadaan surau yang mencukupi. Begitu juga dengan status tapak projek Mahkamah yang baharu. 

Kedua ; Adakah segala usaha meningkatkan pengurusan mahkamah ini akan diserahkan kepada pihak pentadbiran atau ianya akan diswastakan? 

Tuan Yang Dipertua, 

Saya dengan ini menyokong Pindaan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 

Sekian. 

Terima Kasih. 

YB SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN

Ulasan