SAMBUTAN KEMERDEKAAN 2022 : TONJOLKAN TOKOH SEZAMAN MAT KILAU

SAMBUTAN KEMERDEKAAN 2022 : TONJOLKAN TOKOH SEZAMAN MAT KILAU

Fenomena filem Mat Kilau telah berjaya membuka mata dan minda rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, fikiran rakyat Malaysia diarahkan untuk melihat kembali kepada tokoh-tokoh pejuang yang turut sama memerdekakan tanah air kita.

Walaupun sebelum ini usaha penjajah British yang cuba menghapuskan sejarah bahawa golongan agamawan terlibat sama untuk memerdekakan negara dan ianya disambut oleh pemerintah yang mahu rakyat Malaysia mengenangkan bahawa hanya mereka yang memerjuangkan kemerdekaan, kini terbukti bahawa kemerdekaan negara kita juga ditegakkan melalui darah dan nyawa, bukannya hanya melalui perbincangan, pen dan kertas.

Penjajah British sememangnya mahu menunjukkan dan meninggalkan catatan rasmi dalam sejarah kononnya merekalah yang berjaya menstabilkan Tanah Melayu dan menyediakan tanahair ini untuk kemerdekaan. Malah tanpa malu mereka mengisytiharkan bahawa merekalah yang membuka Pulau Pinang, membuka bandar-bandar di tanahair ini sedangkan penduduk di tanah ini telah lama berkemampuan untuk mentadbir negara ini sehinggalah berjaya menjadi pusat perdagangan dunia yang masyhur.

Akibat dari penjajahan, bermula tahun 1511 oleh Portugis, disusuli dengan Belanda, British dan Jepun sebelum kembali dijajah oleh British selama 446 tahun, penduduk negara ini khususnya di kalangan masyarakat Melayu ditekan dan ditindas sehingga menyebabkan orang Melayu semakin hilang kekuatannya.

Mat Kilau adalah sebahagian dari tokoh pejuang Kemerdekaan yang cuba dilupakan dalam lipatan sejarah. Generasi anak-anak muda bukan lupa tapi sengaja dilupakan dengan sejarah ini. Jika tidak kerana filem Mat Kilau yang diarahkan oleh Sutradara popular negara ; Datuk Syamsul Yusuf, tidak mustahil generasi baharu tidak tahu bahawa adanya golongan yang menumpahkan darah mereka untuk menentang penjajah.

Bulan ini, negara akan menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke 65. Inilah masa yang paling sesuai untuk kerajaan dan badan bukan kerajaan menonjolkan kembali tokoh-tokoh ini.

Anak-anak di sekolah mesti didedahkan kembali dengan tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah luput ditelan zaman dan dalam catatan rasmi. Bangkitkan kembali nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Tok Perak, Tok Gajah, Ngah Jaafar, Ngah Ibrahim, Datuk Laksamana Muhammad Amin, dan ramai lagi.

Kembalikan semula sejarah tanahair tanpa mengikut acuan yang dibentuk oleh penjajah.

Sekian.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
3 Muharram 1444 / 1 Ogos 2022

Ulasan