12 PRK, empat PRN diadakan selepas PRU14




KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 2018 meninggalkan impak yang besar terhadap landskap politik Malaysia sehingga kini.

Sejak tarikh 9 Mei 2018, banyak perkara di luar jangka disaksikan rakyat Malaysia termasuk ‘panggilan’ Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) atas pelbagai alasan.

Sepanjang penggal Parlimen ke-14, sebanyak 12 PRK diadakan dengan empat PRK pada 2018, lima pada 2019 dan tiga berlaku pada 2020.

Tiga PRK tidak diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat bagi membendung penularan Covid-19 iaitu Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020.

Bagaimanapun, pada 6 Okt lepas Al-Sultan Abdullah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan ketiga-tiga PRK berkenaan.

Dalam tempoh empat tahun lepas, PRK pertama diadakan hanya selepas tiga bulan PRU14 berlangsung iaitu di DUN Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi itu.

Tiga lagi PRK yang berlaku pada 2018 ialah dua di Selangor pada 8 Sept 2018, masing-masing di DUN Balakong dan Seri Setia yang memperlihatkan PH mengekalkan kedudukan sementara satu di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan pada 13 Okt 2018 juga memberi kemenangan kepada PH.

Memasuki 2019, ‘panggilan’ PRK berkumandang sekali lagi pada 26 Jan 2019 di Parlimen Cameron Highlands di mana Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukan di kawasan itu. Tahun yang sama, PRK DUN Semenyih, Selangor diadakan pada 2 Mac dengan kemenangan memihak kepada BN.

Seterusnya pada 13 April 2019, PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan diadakan menyaksikan kemenangan kekal milik BN manakala pada 11 Mei 2019, PRK Parlimen Sandakan, Sabah diadakan dengan kemenangan berpihak kepada PH.

Di penghujung 2019, PRK Parlimen Tanjung Piai yang diadakan pada 16 Nov menyaksikan BN menang besar di kawasan itu.

Pada 2020, PRK Parlimen Kimanis, Sabah diadakan pada 18 Jan dengan kemenangan berpihak kepada BN manakala PRK DUN Chini, Pahang berlangsung pada 4 Julai 2020 menyaksikan BN kekal menguasai kawasan berkenaan.

PRK terakhir diadakan adalah di DUN Slim, Perak iaitu pada 29 Ogos 2020 dengan BN terus mengekalkan kedudukan di kerusi itu.

Sepanjang penggal Parlimen ke-14, sebanyak empat PRN diadakan melibatkan Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

Semasa PRN Sabah ke-16 pada 26 Sept 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Warisan apabila memenangi 38 kerusi.

GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) dan BN serta rakan sekutu Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mempunyai kelebihan satu kerusi majoriti mudah daripada keseluruhan 73 kerusi DUN.

PRN Melaka yang diadakan pada 20 Nov 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, PH memenangi lima kerusi dan PN dua kerusi.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt tahun sama, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Kurang sebulan selepas Melaka mengadakan pilihan raya, PRN Sarawak diadakan pada 18 Dis 2021 dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolot 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PRN itu mencatatkan rekod penyertaan tertinggi, menjangkau sehingga 349 calon.

Tahun 2022 menyaksikan PRN Johor diadakan pada 12 Mac dengan BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pada PRN itu, PH memenangi 11 kerusi, diikuti PN (tiga), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

Ulasan