Iktibar Sungai Kim Kim, periksa kualiti udara


Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melakukan pemeriksaan tahap kualiti udara secara berkala di sekitar lokasi yang berpotensi dan disyaki menjadi tempat pembuangan sisa kimia.

Ahli Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi, berkata tindakan itu sebagai mengambil iktibar daripada insiden pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, tiga tahun lalu.

Menurutnya, insiden Sungai Kim Kim menyebabkan seramai 1,000 orang dirawat dan sebanyak 111 buah sekolah di sekitar kawasan itu ditutup.

“Pakar kesihatan memaklumkan mangsa telah terhidu bau kimia yang tersebar di udara dan seterusnya menyebabkan mangsa jatuh sakit.

“Gas terwap dari bahan kimia dipercayai bergerak mengikut pergerakan angin dan dihidu ramai orang di sekeliling,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Che Abdullah, insiden pencemaran Sungai Kim Kim sangat merisaukan memandangkan ia adalah pencemaran dalam bentuk air dan udara yang melibatkan ribuan nyawa.

“Mengambil pengajaran daripada insiden ini, adakah KASA melakukan pemeriksaan tahap kualiti udara di tempat yang disyaki berlakunya pembuangan sisa kimia in dari semasa ke semasa pada waktu ini?

“Selain itu, sejauh mana amalan prosedur operasi standard (SOP) yang diusahakan kementerian bagi menangani kesan pencemaran dalam skala besar selepas ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

Ulasan