JKM Terengganu mula agih barangan keperluan hadapi Monsun Timut Laut


KUALA NERUS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mula mengagihkan barangan keperluan asas dan bekalan makanan ke pangkalan hadapan serta depoh mini di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir susulan musim monsun timur laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata proses pengagihan kepada 149 pangkalan hadapan dan 17 depoh mini itu dilakukan secara berperingkat mulai awal bulan ini.

"Proses (pengagihan) dijangka selesai dalam masa terdekat. Terdapat 300 lokasi dikenal pasti berisiko banjir tahun ini.

"Dengan persiapan awal, kita mampu tangani situasi itu (banjir) sekiranya tidak ada kejadian luar jangka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Terengganu 2022 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang turut dihadiri Pengarah JKM negeri Mazura Ngah Abd Manan dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Hanafiah berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta sebagai persediaan awal menghadapi banjir dan telah mengarahkan supaya diwujudkan hospital sementara di setiap daerah.

Beliau berkata inisiatif itu bagi memudahkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang mengalami masalah kesihatan mendapat rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Hanafiah berkata kerajaan Terengganu sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembinaan pusat jagaan warga emas Baitul Ummi.

Menurut Hanafiah, buat permulaan pusat tersebut akan ditubuhkan di peringkat negeri tahun ini sebelum diperluas ke daerah lain sekiranya berjaya.

"Perkara ini terkandung dalam pengumuman Bajet 2022 dengan peruntukan sebanyak RM500,000. Kita akan berkolaborasi dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan warga emas untuk penubuhan pusat jagaan ini bagi memberi perkhidmatan lebih selesa kepada golongan tua," katanya. – BERNAMA

Ulasan