2023 tuntut dasar baharu tingkat kelestarian ekonomi, alam sekitar

RAMAI penganalisis menjangkakan 2023 adalah tahun getir dari segi ekonomi. Ada ura-ura mendakwa akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, terutama kepada negara besar di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Russia.

Kemelesetan ekonomi di negara besar jangan dianggap tidak memberi kesan kepada Malaysia. Kesan besar mungkin dihadapi Malaysia adalah permintaan barang dan perkhidmatan dari negara ini akan merudum.

Apabila permintaan merudum dari negara terbabit, maka negara pengeluar produk dan komoditi seperti Malaysia iaitu pengeksport minyak sawit, kayu -kayan, barangan elektronik dan gas asli akan turut terkesan. Kurangnya eksport negara maka hasil negara juga turut berkurangan.

Jika ditanya faktor negara besar ini mengalami kemelesetan ekonomi, sudah tentu kerana beberapa faktor utama. Faktor utama ialah keadaan geopolitik tidak menentu angkara perang berterusan antara Russia dan Ukraine.

Peperangan itu menyebabkan krisis tenaga yang kritikal di Eropah kerana penutupan atau pengurangan penyaluran gas dari Russia ke Eropah. Ini menyebabkan bil elektrik melambung tinggi di Eropah.

Harga barang menjadi mahal dan inflasi meningkat dengan sangat tinggi. Di AS pula, kadar faedah dinaikkan begitu tinggi kononnya untuk melawan inflasi, menyebabkan pasaran rumah merudum dan meningkatkan pengangguran.

Di China, dasar sifar kes COVID-19 menyebabkan pasaran hartanah jatuh agak teruk dan membawa ketidaktentuan gara-gara dasar sangat ketat dalam hal pengawalan pergerakan rakyatnya.

Ekonomi negara masih terkawal

Setakat suku ketiga 2022, data menunjukkan ekonomi Malaysia terkawal dengan pengeluaran negara kasar kita antara tertinggi di dunia iaitu 14.2 peratus, inflasi pada kadar 4.0 peratus agak terkawal dan kadar pengangguran agak rendah 3.6 peratus.

Secara umumnya, data ini menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia masih baik, tetapi dijangkakan hasil negara berkurangan kerana eksport pada 2023 dijangkakan menurun.

Apabila hasil negara menurun, maka kerajaan terpaksa menilai semula perbelanjaan besar seperti subsidi. Subsidi diberikan kerajaan mencecah RM80 billion yang mana hasil negara pada 2021 ialah RM210 billion, iaitu kira-kira 38 peratus daripada pendapatan negara digunakan bagi pemberian subsidi.

Jumlah subsidi ini sangat tinggi. Pada tahun hadapan dengan pendapatan negara berkurang daripada hasil eksport, kerajaan terpaksa merasionalisasi semula pemberian subsidi kepada rakyat.

Ini sudah tentu menekan rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan. Justeru, bantuan tunai secara terus perlu diteruskan bagi mengurangkan tekanan ini.

Namun, aktiviti ekonomi negara kita tahun hadapan dijangkakan masih rancak. Empat komponen utama menentukan pengeluaran negara kasar ialah perbelanjaan isi rumah, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih.

Jika eksport bersih dan perbelanjaan isi rumah dijangka merosot tahun hadapan, kerajaan perlu mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dan pelaburan luar negara bagi mengimbangi kejatuhan di dua komponen ini.

Ekonomi yang tidak berkembang dalam dua suku tahunan berturut-turut dianggap kemelesetan ekonomi. Ekonomi meleset bermakna hasil negara merosot.

Hasil negara merosot bermakna kerajaan sukar untuk menguruskan perkara asas dalam pentadbiran seperti melunaskan perbelanjaan operasi seperti pembayaran emolumen kepada penjawat awam.

Untuk itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ahli Kabinet mesti berusaha menarik pelaburan terutama pelaburan asing. Setakat setengah tahun 2022, pelaburan asing mencatatkan hanya RM87.4 bilion dengan 1,714 projek diluluskan. Angka ini belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan.

Cabaran seterusnya ialah krisis tenaga berterusan pada 2023. Dunia pada 2023 dijangkakan masih bergelut dengan ketidakstabilan pasaran minyak dan gas.

Namun, usaha menggandakan penggunaan sistem tenaga lebih murah, bersih dan stabil akan dipertingkatkan. Penggunaan tenaga fosil dari semasa ke semasa akan dikurangkan kerana mencemarkan alam sekitar.

Banyak negara sudah mula merubah dasar untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidrogen dan angin.

Bagi negara kita, antara pengeksport gas cecair asli kelima terbesar di dunia mungkin berada dalam landasan terbaik tahun ini kerana permintaan tinggi dari negara Asia Pasifik dan Eropah kepada tenaga lebih bersih seperti gas.

Penjualan gas cecair asli melalui PETRONAS akan meningkatkan pendapatan syarikat itu, sekali gus dijangkakan mampu memberikan dividen lebih tinggi kepada kerajaan untuk menampung hasil dijangka susut tahun hadapan.

Begitu juga usaha PETRONAS melalui Gentari Sdn Bhd (GENTARI) dilancarkan baru-baru ini, adalah sangat penting untuk membantu Malaysia mencapai matlamat negara iaitu pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar pada 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Usaha menubuhkan GENTARI ini perlu disokong dan dipuji kerana ia meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat antarabangsa dalam bidang tenaga hijau ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berubah kepada sumber tenaga hijau

Kita tiada pilihan kerana dunia sudah berubah ke arah sumber tenaga hijau bagi menyelamatkan alam sekitar. Dasar negara harus berubah seiring tuntutan zaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil. Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia mampu mengeluarkan kereta elektrik sendiri seperti Tesla.

Pada 2023, yang paling dibimbangkan bagaimana akan berakhirnya perang Russia dan Ukraine. Sudah tentu peperangan ini meninggalkan kesan secara tidak langsung kepada Malaysia.

Apatah lagi jika Presiden Russia, Vladimir Putin akan menamatkan peperangan ini melalui senjata nuklear atau senjata kimia. Jika ini berlaku, ia suatu malapetaka kepada dunia.

Harapan kita ia tidak akan sampai ke tahap itu memandangkan sudah ada ura-ura Putin menghadapi masalah untuk mengekalkan kuasanya di Russia. Kemungkinan Putin lebih rela melupakan peperangan ini, dengan lebih menumpukan usahanya untuk mengekalkan kuasa di Russia.

Tambahan pula dengan pelbagai tekanan diterima pada peringkat antarabangsa, Putin mungkin tidak mampu bertahan lama. Tidak mustahil peperangan itu akan berakhir tahun ini.

Dengan kehadiran 2023, mari kita berdoa dan berusaha supaya Malaysia terus makmur dan aman.

Penulis adalah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)

Ulasan